Home » » Masalah buang air besar berdarah (berak berdarah)

Masalah buang air besar berdarah (berak berdarah)

Berdarah semasa buang air besar sungguh merisaukan, lebih-lebih di kalangan mereka yang lanjut usia. Tetapi, masalah itu sukar dikongsi bersama kerana ramai menganggap ia memalukan.

Sebilangan individu pula memandang ringan dengan menyangkakan ia bukan masalah besar kerana pendarahan akan berhenti selepas beberapa ketika tanpa perlu mendapatkan rawatan.

Pakar Bedah Am Hospital Pantai Cheras, Dr Imtiaz Shahrir Hamid, berkata jika seseorang mengalami masalah pendarahan ketika buang air besar biarpun hanya sekali, mereka dinasihati berjumpa doktor.

"Mereka perlu berjumpa doktor, terutama pakar pembedahan am atau usus besar, pakar gastroenterologi untuk mendapatkan kepastian sama ada siasatan lanjut patut dilakukan bagi memastikan tiada masalah ketumbuhan kanser usus besar atau rektum yang kini semakin menjadi-jadi.

"Saya pernah melihat beberapa pesakit muda berumur 30 hingga 40 tahun berdepan masalah kanser usus besar. Selalunya ketumbuhan mereka sungguh agresif dan cepat merebak ke hati dan paru-paru," katanya.

Pendarahan ketika membuang air besar punya banyak faktor, antaranya ketumbuhan kanser di dalam usus besar (kolon) dan rektum (bahagian hujung usus besar yang menyimpan najis) atau dubur.

Penyebab lain ialah buasir, luka di kawasan dubur, luka di dalam kawasan rektum, kehadiran lubang kecil bersebelahan dubur yang mungkin pernah ada bisul dan polip iaitu ketumbuhan awal yang boleh bertukar menjadi kanser di kawasan usus dan rektum.

Penyakit divertikular iaitu dinding usus besar mempunyai lubang kecil juga menjadi punca buang air besar berdarah selain penyakit radang/bengkak usus yang sebabnya tidak diketahui dan jangkitan usus besar disebabkan kuman.

Selain itu, penyebab lain pendarahan ketika buang air besar ialah ischaemic colitis iaitu radang usus besar di sebabkan kekurangan bekalan darah ke usus, radiation proctitis (radang/bengkak rektum disebabkan rawatan radioterapi terdahulu) serta pendarahan daripada salur darah yang tidak normal di dalam usus besar.

Doktor akan bertanya soalan lazim seperti sudah berapa lama simptom berlaku dan kekerapannya. Pesakit juga akan ditanya sama ada pendarahan itu merah terang atau gelap.

Kebiasaannya, lebih terang warna darah bermaksud pendarahan berlaku di kawasan sebelah kiri usus besar, rektum atau dubur. Jika darah berwarna gelap, pendarahan berpunca daripada kawasan usus besar, terutama di sebelah kanan.

"Jika darah bercampur najis, ia mungkin disebabkan masalah daripada lapisan mukosa usus besar seperti kanser, bengkak usus, polip dan lubang divertikulum di dalam usus besar.

"Jika pendarahan berlaku selepas najis keluar dan menitis-nitis, ia mungkin disebabkan pendarahan daripada buasir," katanya.

Beliau berkata, doktor akan bertanya sama ada pesakit menyedari ada objek lain keluar atau boleh dirasai di kawasan dubur apabila membuang air besar. Jika ada, ini mungkin disebabkan ketumbuhan atau buasir.

"Doktor akan bertanya sama ada seseorang itu sakit apabila berlaku pendarahan. Jika sakit, adakah ia di kawasan perut (abdomen) atau dubur. Jika terasa begitu sakit di kawasan dubur ketika membuang air besar, diikuti pendarahan berwarna merah terang, ini mungkin disebabkan luka di kawasan dubur.

"Andai ada rasa tidak selesa, terutama pada bawah perut, ia mungkin kerana ada ketumbuhan usus besar atau radang/bengkak usus besar," katanya.

Pesakit juga akan diajukan soalan mengenai berapa banyak kuantiti darah yang keluar setiap kali ia berlaku dan adakah mereka rasa letih atau lemah, rasa hendak pitam atau sakit dada.

Masalah itu berpunca daripada kekurangan darah di dalam badan kesan pendarahan yang sama ada sudah lama, kerap atau banyak.

Pesakit yang mengalami pendarahan ketika buang air besar mungkin berasa tidak puas dan kerap ke bilik air tetapi tidak banyak najis keluar. Perkara itu sangat merisaukan kerana ada kemungkinan wujud kanser di kawasan rektum, terutama jika ada lendir dan darah turut keluar.

Jika pesakit mengalami penurunan berat badan dengan cepat dan banyak serta kurang selera makan, ia antara gejala merisaukan kerana boleh disebabkan kehadiran kanser usus, rektum atau dubur yang mungkin melarat atau merebak.

Kehadiran penyakit kanser di dalam keluarga, terutama ibu bapa atau adik-beradik pesakit, meninggikan risiko kemungkinan pesakit mengalami masalah sama.

Doktor juga akan bertanyakan soalan lain yang relevan kepada masalah anda. Ini kemudiannya diikuti pemeriksaan fizikal pesakit yang selalunya bertumpu ke bahagian abdomen untuk memastikan sama ada ketumbuhan usus besar boleh dirasai; dan dubur bersama kawasan pangkal rektum (pemeriksaan jari di kawasan luar dan dalam).

Jika pesakit tidak mempunyai masalah kesakitan di kawasan dubur, doktor akan memasukkan sebuah alat kecil dipanggil proktoskop untuk melihat kawasan pangkal rektum dan dubur.

Alat proktoskop

Selalunya selepas pemeriksaan di klinik, doktor akan cadangkan beberapa jenis siasatan. Satu daripadanya, prosedur kolonoskopi yang boleh dilakukan sebagai pesakit luar.

Peralatan kolonoskop

Kolonoskopi membolehkan doktor melihat bahagian dalam usus besar dan rektum, bermula dengan dubur hingga bahagian permulaan usus besar di sebelah kanan. Panjang usus besar dan rektum ialah 1.5 meter. Kolonoskop ialah alat gentian optik yang panjangnya di antara 120 ke 160 sentimeter (sm) dan pergerakannya dalam usus besar boleh dikawal.

Kolonoskopi di dalam usus besar

Prosedur ini memerlukan persediaan sekurang-kurangnya dua hari di mana pesakit dinasihatkan mengurangkan pengambilan bahan makanan berserat seperti sayur, buah-buahan, daging dan juga bahan tenusu. Sehari sebelum prosedur, pesakit dibenarkan makan sehingga jam 5 petang. Selepas itu, pesakit dinasihatkan hanya mengambil minuman dan `liquid diet' seperti sup kosong sehingga tengah malam.

Mereka akan diberi ubat julap untuk diminum bersama sekurang-kurangnya seliter air suam, biasanya pada jam 7 dan 9 malam untuk mencuci usus daripada segala najis. Keesokannya, prosedur selalunya dilakukan pada waktu pagi.

Pesakit selalunya diberikan ubat tidur yang juga berfungsi sebagai ubat tahan sakit secara suntikan sebelum prosedur. Prosedur ini boleh mengambil masa 15 minit sehingga 30 minit. Jika tidak, ia sukar melalui keseluruhan rektum dan usus besar.

Pesakit mungkin terasa kurang selesa dan juga sedikit kesakitan kerana prosedur ini termasuk memasukkan udara ke dalam usus untuk mendapat pandangan dinding usus yang jelas.



Prosedur kolonoskopi boleh memberi diagnosis (penyakit) melalui pandangan visual bahagian dalam usus besar dan rektum serta menolong memperoleh spesimen (biopsi) untuk pengesahan makmal patologi.

Kolonoskopi juga boleh memainkan peranan terapeutik seperti membuang ketumbuhan kecil seperti polip dan membolehkan suntikan ubat atau penjanaan elektrik terhadap kawasan usus besar atau rektum yang sedang mengalami pendarahan.

Posisi pesakit ketika kolonoskopi

Seperti mana-mana prosedur atau pembedahan, kolonoskopi mempunyai kemungkinan komplikasi yang rendah iaitu 0.3 peratus (3 dalam 1,000 kolonoskopi) tetapi boleh naik kepada dua peratus dalam kes pembuangan polip (2 dalam 100 kolonoskopi).

Komplikasi berkenaan seperti pendarahan, kecederaan dinding usus, komplikasi ubat tidur/lali dan juga daripada mengambil ubat julap. Walau apapun, kolonoskopi adalah siasatan paling sensitif dan popular di kalangan doktor pakar bedah dan gastroenterologi pada masa kini.

Siasatan lain yang boleh dilakukan ialah barium enema iaitu pengambilan beberapa imej X-ray pada perut selepas cecair kontras (yang boleh dilihat di dalam X-ray) dimasukkan ke dalam rektum dan usus besar melalui dubur. Ini juga memerlukan persediaan usus besar dengan memakan ubat julap.

Barium enema biasanya dilakukan jika kolonoskopi tidak dapat disempurnakan atas sebab kesusahan mengendalikan kolonoskop ketika prosedur atau kerana pesakit tidak dapat menahan sakit ketika prosedur.

Bagaimanapun, barium enema kurang sensitif jika persediaan usus tidak berapa rapi dan doktor tidak boleh mengambil biopsi daripada ketumbuhan untuk pengesahan.

Penyebab masalah buang air besar berdarah:

* Ketumbuhan kanser di dalam usus besar (kolon) dan rektum (bahagian hujung usus besar yang menyimpan najis) atau dubur;

* Buasir;

* Luka di kawasan dubur;

* Luka di dalam kawasan rektum;

* Kehadiran lubang kecil bersebelahan dubur yang mungkin pernah ada bisul;

* Polip di kawasan usus dan rektum;

* Dinding usus besar mempunyai lubang-lubang kecil;

* Penyakit radang/bengkak usus yang sebabnya tidak diketahui;

* Jangkitan usus besar disebabkan kuman;

* Ischaemic colitis;

* Radang/bengkak rektum disebabkan pernah menjalani rawatan radioterapi;

* Pendarahan daripada salur darah yang tidak normal di dalam usus besar.

Bagi mendapatkan panduan merawat buasir, anda boleh mendapatkannya di sini





 
Chatroom