Jika setuju dengan jumlah dan jenis hantaran, esok terus kahwin. Jika ada hantaran yang tidak mampu diberikan atau di luar kemampuan, batal terus urusan perkahwinan, yakni bakal pengantin sekadar menggigit jari saja. Begitu mudah perkahwinan boleh dilaksanakan tetapi begitu besar juga risiko untuk ia dibatalkan.
Itulah antara proses dalam perkahwinan masyarakat Kimaragang yang sebenarnya sarat dengan adat budaya. Jika semua kehendak dan syarat yang ditetapkan pihak wanita dapat dipenuhi, proses perkahwinan menjadi begitu mudah tetapi jika ada satu syarat yang gagal dipenuhi, perkahwinan boleh terus terbatal tanpa peluang kedua.
Perubahan tamadun hidup dan pengaruh sensitiviti agama yang mula menguasai sebahagian masyarakat Kimaragang sebenarnya sudah menghapuskan beberapa adat yang dianggap tidak relevan, termasuk gaya pemakaian berkemban oleh pengantin wanita dan beberapa adat yang membabitkan penggunaan babi tetapi tidak boleh dinafikan sebahagian adat lain masih kuat diamalkan.
Jika diperincikan semua adat dalam masyarakat di pedalaman utara Sabah itu, begitu banyak istilah unik dan peralatan sebagai alat simbolik digunakan dalam proses perkahwinan. Bukan mudah untuk memastikan semuanya dilaksanakan tetapi masih ramai orang tua Kimaragang yang mahir dengan proses adat mereka.
Antaranya, Kerudin Masintai, seorang pakar rujuk dalam Persatuan Kimaragang Bersatu Sabah yang boleh dianggap mahir dalam menghuraikan adat rumit mereka itu.
Menurutnya proses adat dalam perkahwinan orang Kimaragang sudah bermula dari peringkat perkenalan lagi.
"Kedudukan wanita dalam masyarakat kami cukup dijaga. Sukar sebenarnya untuk melihat wanita kami berkeliaran dan mendedahkan dirinya di khalayak ramai. Malahan, dulu mereka tinggal saja dalam rumah. Jika ada tetamu datang ke rumah, mereka menyorok dalam bilik atau di bahagian atas rumah.
"Oleh kerana itu, sukar untuk melihat mereka. Jika ada pun sesekali ketika mereka ke kebun membantu ibu bapa. Itupun jarang berlaku. Justeru, selalunya dulu proses penyatuan anak dibuat oleh ibu bapa sendiri tanpa terlebih dulu anak mereka mengenali satu sama lain. Jika ibu bapa lelaki sudah memilih pasangan hidup anaknya, proses palabat dibuat.
"Palabat ialah proses awal di mana seorang wakil pihak lelaki sama ada jiran atau saudara terdekat mengunjungi keluarga perempuan untuk bertanya sama ada anak mereka sudah ada yang punya atau sebaliknya. Ia seakan-akan sama seperti merisik tetapi dalam Kimaragang, hanya seorang saja wakil yang membawa ole-ole seperti ikan.
"Jika anak perempuan itu belum berpunya, satu perjanjian untuk mangatud dot soputangan dibuat dalam masa seminggu. Proses ini tanda lelaki benar-benar serius dan mahu proses suntingan dimulakan. Rombongan kecil pihak lelaki membawa sirih, daun rokok, pinang dan kapur yang dibungkus dalam sapu tangan. Dalam pertemuan itu, pihak perempuan mengambil sapu tangan dan digantung di bumbung.
"Itu bukan tanda mereka sudah menerima peminangan itu tetapi jika selepas tiga hari sapu tangan itu tidak dikembalikan, barulah sahih pihak lelaki tidak bertepuk sebelah tangan. Perjanjian dibuat untuk menjalankan proses mikonan (penentuan barang hantaran) dalam masa enam bulan atau setahun selepas peminangan diterima," katanya ketika ditemui dalam demonstrasi majlis perkahwinan Kimaragang di Pitas.
Dalam proses mikonan, kedua-dua pihak akan berbincang mengenai berian (hantaran) dan paling unik ialah sekiranya apa yang diminta wanita dipersetujui dan mampu disediakan lelaki, perkahwinan akan diadakan segera iaitu keesokan harinya. Namun, jika ada yang bercanggah dalam permintaan, hajat berkahwin itu bubar dan perkahwinan dianggap gagal.
Selalunya barang yang diminta dan mesti disediakan lelaki ialah gong, soludon (gong kecil), botukul (gong lebih kecil), tawak (gong besar), selapa (bekas tembaga), gadur (piala tembaga), babi, beras, sumpitan dan pukotian (enam mangkuk tembaga dengan piring tanah liat). Jika perempuan mahu lebih, mereka meletakkan syarat tinantangap iaitu semua barang tadi disediakan dua set.
Ketika proses mikonan, semua keluarga lelaki hadir dalam majlis itu seperti sudah mahu berkahwin. Oleh kerana itulah jika mereka bersetuju dengan permintaan perempuan, perkahwinan akan terus dijalankan tetapi ia bukanlah satu jaminan. Satu saja tidak dipersetujui, pulanglah lelaki tanpa seorang isteri.
"Namun, jika keluarga perempuan bertimbang rasa, berlaku satu amalan dinamakan nababo iaitu tunggakan. Perkahwinan boleh diteruskan tetapi pihak lelaki mesti berjanji akan menyelesaikan semua hantaran dalam satu tempoh tertentu sama ada sebulan atau lebih.
"Cara untuk menyatakan apa dan berapa hantaran yang dikehendaki pula bukan dalam bentuk lisan. Hanya menggunakan simpulan pada tali dan setiap simpulan itu mempunyai makna. Paling atas ialah benda paling besar iaitu gong. Jika pihak lelaki bersetuju dan boleh menunaikannya, simpulan itu dibuka satu persatu. Simbolik simpulan itu dipanggil tingkolos.
"Tali itu pula dililit bermula dari tengah tapak tangan perempuan dan jika hujungnya kembali bertemu di tempat bermula, ia alamat paling bagus, menandakan perkahwinan itu akan bahagia tetapi jika tidak sampai atau terlebih ia tanda buruk dan sebagai penawarnya, perlu korbankan babi," ceritanya lagi.
Jika perbincangan itu positif, malam itu juga pihak perempuan akan ke rumah lelaki untuk mengambil haiwan bagi tujuan kenduri sama ada kerbau atau babi dan disembelih segera. Ia menandakan bermulanya proses perkahwinan.
Esoknya, lelaki akan bersiap di rumah jiran berhampiran rumah pihak perempuan, manakala perempuan pula akan berada di lamin iaitu bilik pengantin di rumahnya sendiri. Apabila semua sudah bersedia, paluan gong dan kulintangan akan mengiringi pengantin lelaki yang memegang sumpitan sebagai tanda dirinya sudah matang.
Sebelum lelaki boleh memasuki lamin, sumpitan itu perlu diletakkan di tindud iaitu satu ruang di siling rumah berhampiran pintu masuk ke bilik. Pengantin perempuan bersedia dalam lamin dengan hanya berkemban bersama kain lapoi tetapi tradisi berkemban itu sudah dihapuskan dalam generasi kini.
"Muka perempuan ditutup dengan selendang. Dulu, ramai lelaki yang tidak pernah melihat wajah bakal isterinya. Upacara persandingan itu juga sebagai satu simbolik kepada lelaki yang akan membuka penutup muka bagi melihat wajah isterinya buat kali pertama.
"Sebelum penutup itu dibuka oleh ibu lelaki, satu upacara dikenali sebagai 'miganti dotlinumbid danan' iaitu pasangan itu saling bertukar gulungan rokok daun sebelum saling menyuapkan cebisan dari sekepal nasi yang dikenali sebagai miganti dotbinlugud. Bingkin mongolim atau lipatan sirih pinang diserahkan lelaki kepada perempuan. Jika perempuan terima, ia adalah tanda perkahwinan itu sudah sah.
"Ada beberapa tebu dipacak di tepi tangga yang mana kedua-dua pengantin perlu menyepaknya sebelum turun ke tanah. Mereka diiringi penimbang (pengapit) dengan perempuan memegang tangga buluh. Mereka akan ke soliu iaitu ruang terbuka untuk bersalaman dengan orang tua," katanya.
Selesai upacara itu, bermulalah kehidupan berumah tangga dengan panggilan keluarga kepada menantu dan mentua. Menantu lelaki dipanggil daak, musau, ondu atau moyong manakala menantu perempuan pula dipanggil moyong, ayang, bayang, uku atau odong. Pengantin lelaki dan perempuan pula memanggil mentuanya sebagai iwan atau oboh.
Kemuncak kepada upacara perkahwinan ialah miloput atau misusur iaitu memperkenalkan pengantin kepada iparnya dan pengantin perlu memanggil ipar dengan panggilan ayau, angu atau along. Upacara bebas di mana pengantin perempuan melawat rumah lelaki dipanggil mengolusiu.
Siulan burung, babi bersin alamat buruk temui jodoh
MANA-mana etnik pun pasti ada pantang larang atau adat yang perlu diikuti dalam proses menguruskan perkahwinan. Bezanya sama ada ia masih dipraktikkan atau tidak tetapi sebagai masyarakat dalam rumpun Nusantara, lingkungan adat begitu kuat dipelihara menjadikan ia begitu unik.
Perkahwinan dalam masyarakat Kimaragang juga sarat dengan adat dan pantang larang serta denda jika sebarang kesalahan dibuat dalam tempoh bertunang hingga selesai majlis perkahwinan.
"Jika dalam proses untuk menyerahkan sapu tangan ada bunyi burung menguntik atau babi bersin, ia alamat tidak bagus. Sebenarnya pertunangan tidak sesuai diteruskan tetapi jika mahu juga menyatukan mereka, perlu sediakan babi yang digelar pisulun (pembuang badi) oleh pihak lelaki.
"Apa saja alamat buruk sama ada ternampak atau terdengar, sediakan pisulun. Paling pantang ialah meletakkan garam dalam sapu tangan. Garam ialah sejenis serbuk mudah larut, jadi ia petanda hubungan mereka tidak akan kekal lama. Dalam kepercayaan Kimaragang, gong ialah alat penting dalam hantaran kerana ia melambangkan bunyian. Jika tidak ada bunyian, kelak mendapat anak bisu.
"Selain itu, sengaja masyarakat ini mensyaratkan pelbagai denda terhadap sebarang kesalahan untuk memastikan berlakunya pongimbolobou. Ia simbolik seperti memberi embun, kesejukan kepada satu kepanasan. Bermakna, jika ada kesalahan, ia panas dan mesti disejukkan.
"Dalam masyarakat Kimaragang juga dilarang berkahwin dengan sepupu dan dua pupu. Jika mahu juga mengadakan perkahwinan itu, perlu ada kesumbangan iaitu dengan menyembelih seekor babi. Untuk menjarakkan lagi hubungan kekeluargaan itu, dibuat pula pigiangan dengan menyembelih seekor babi lagi. Pendek kata, ia simbolik untuk putuskan tali persaudaraan bagi membolehkan perkahwinan itu tetap dapat dilangsungkan," kata Kerudin.
Sebenarnya banyak lagi larangan dalam masyarakat Kimaragang yang boleh dihapuskan dengan membayar sogit (denda). Perkahwinan dengan sepupu tidak dibolehkan kecuali berlaku zina. Itupun perlu mendapat keizinan tujuh ketua kampung dan disediakan 12 babi serta berian (hantaran).
Babi yang dijadikan bayaran sogit perlu dipotong di atas tutuo (sejenis talam) dan darahnya dicelup dengan tombiyau (sejenis tumbuhan yang dibawa oleh setiap penduduk kampung) sebelum dipalit di dinding rumah masing-masing. Kemudian tombiyau diselitkan di atap berdekatan tangga rumah. Itu tandanya kepanasan itu sudah diredakan dengan sogit.
Daging itu pula tidak boleh dijadikan makanan kenduri tetapi diagihkan kepada semua penduduk kampung. Terpulang kepada mereka sama ada mahu memasaknya atau dibuat apa saja.
Jika mahu diperincikan, banyak larangan lagi dalam adat mereka tetapi kebanyakannya merujuk kepada pemotongan babi atau digantikan dengan kerbau sekiranya Islam. Meskipun banyak sudah diubah tetapi mereka masih mengekalkan beberapa adat yang dianggap relevan.
Oleh Azrul Affandi Sobry
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...