Home » » Nur Eilunie Natasha Nazri, beauty with brain

Nur Eilunie Natasha Nazri, beauty with brain

Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, gadis yang tiba-tiba popular gara-gara dikaitkan dengan penjaga gawang pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 23, baru-baru ini, disifatkan mempunyai pakej lengkap `beauty with brain' (jelitawan bijak).

Pada usia muda, dia bijak merangka masa depan dengan memiliki dua butik pengantin, mempunyai kemahiran dalam bidang solekan dan aktif menjalankan perniagaan menjual produk kecantikan di Internet.


Nur Eilunie atau mesra dengan panggilan Leuniey berkata, ketika rakan seusia melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan menikmati zaman muda dengan keluar bersama rakan, dia menumpukan hampir semua masanya dengan menguruskan perniagaan.

"Sepatutnya, selepas habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, tetapi saya memilih menguruskan perniagaan keluarga. Saya nekad untuk serius dalam bidang perniagaan untuk masa depan cemerlang.

"Saya juga mengambil kursus solekan di Jakarta, Indonesia sebagai pelengkap kepada perniagaan diuruskan. Selain itu, ibu dan ayah membantu memberi tunjuk ajar bagaimana menguruskan perniagaan butik pengantin," katanya ketika ditemui di butiknya bersama ibunya, Noor Laila Abu Bakar, 43, di sini, semalam.

Sebelum ini, nama Leuniey menjadi sebutan apabila didakwa putus tunang selepas jatuh cinta dengan Khairul Fahmi, membuatkan dia tampil memberi penjelasan dengan menafikan dirinya ada kaitan dengan penjaga gawang skuad bola sepak negara itu.

Selepas wajah Leuniey terpampang di hampir semua akhbar arus perdana, dia mula menjadi sebutan, malah namanya yang dulu tidak popular di Internet kini menjadi popular apabila mencatatkan ribuan carian menggunakan namanya.

Menurut Leuniey, selain perniagaan butik pengantin, dia mencuba menjual produk kecantikan di Internet dan mengadakan kelas solekan pada hujung minggu.

"Usaha menjual produk kecantikan di Internet nampaknya berbaloi dan saya bercadang menghasilkan produk kecantikan sendiri, tahun depan.

"Pada masa sama, saya merancang membuka sebuah butik pengantin di Kuala Lumpur. Beginilah kehidupan saya yang kebanyakannya tertumpu kepada perniagaan dan bidang solekan," katanya.

Ditanya bagaimana kehidupannya selepas tidak semena-mena terpalit kontroversi, Leuniey menganggap kehidupannya biasa saja.

"Saya bukan mencari glamor, tetapi mahu memaklumkan perkara sebenar supaya tidak timbul kekeliruan. Memang ada yang memandang sinis, tetapi saya tidak kisah.

"Yang penting, saya sifatkan segala yang berlaku sebagai dugaan dan membantu mematangkan diri. Saya tak layan sangat pun... buat pening kepala saja," katanya.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, dia kini tidak mahu terlalu memikirkan soal jodoh kerana ingin memberi tumpuan kepada perniagaan.

"Bagaimanapun, jika ditakdirkan menemui pilihan hati dan ada jodoh, saya terima," katanya.

Leuniey yang meminati bidang peragaan turut menyimpan impian untuk menjadi model iklan komersial, namun sehingga kini impiannya belum terlaksana akibat faktor jarak dan masa.

"Dulu, saya pernah dapat tawaran jadi model iklan komersial tetapi kerana saya tinggal di Kelantan, sukar untuk memenuhi undangan itu. Pada masa sama, saya sibuk dengan perniagaan.

"Bagaimanapun, satu hari nanti, jika tiada aral melintang, saya akan berusaha memenuhinya," katanya.

Ketika ditanya rahsia kecantikan, Leuniey memberitahu dia mengambil vitamin dan makanan tambahan, selain mengamalkan minum air kosong secukupnya.



 
Chatroom