Home » » Jangan Elak Makan Nasi di Bulan Ramadan

Jangan Elak Makan Nasi di Bulan Ramadan

Amalan diet tanpa nasi semasa Ramadan hanya mampu menurunkan berat badan untuk tempoh sementara, kata Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Mushidah Zakiah Mohd Akran.

Tabiat itu boleh memberikan kesan terhadap berat seseorang yang boleh naik mendadak selepas Aidilfitri apabila mengambil nasi dalam kuantiti yang banyak.

Menurutnya, lebih buruk lagi, seseorang boleh mudah lesu dan pening kepala apabila mengurangkan pengambilan nasi yang menjadi sumber karbohidrat utama dengan amat ketara ketika berbuka puasa.

"Menjaga pemakanan tidak seharusnya menjadi amalan pada Ramadan saja. Ini memandangkan selepas hari raya, pengambilan makanan termasuk nasi boleh menjadi dua atau tiga kali ganda. Jadi tidak mustahil berat yang sebelum ini hilang boleh naik kembali kepada berat asal hanya seminggu selepas Aidilfitri. Jadi jangan sesekali tidak makan nasi langsung," katanya.

Orang ramai perlu bijak mengamalkan diet seimbang ketika berbuka dan bersahur dengan memilih karbohidrat kompleks dengan serat tinggi yang lebih mengenyangkan seperti beras perang dan roti gandum tulen.

Pada masa sama katanya, mereka perlu mengelak minuman manis dan makanan bergoreng yang banyak didapati di bazar Ramadan dan bufet buka puasa yang mempunyai kalori tinggi meskipun dalam jumlah pengambilan sedikit.

Orang ramai juga sering mengabaikan pengambilan buah-buahan, tetapi pada masa sama memilih kuih-muih yang mempunyai banyak gula, sekali gus menyumbang kepada peningkatan berat badan.

Kurma pun boleh dijadikan pengganti kepada buah-buahan. Tetapi jangan amalkan makan kuih berlebihan.

Menyentuh berhubung pengambilan air, orang ramai boleh mempraktikkan amalan minum air kosong sekurang-kurangnya 1.5 liter secara berperingkat-peringkat mulai waktu berbuka, selepas Tarawih dan ketika bersahur.Ini bagi mengelakkan berlaku kurang air dalam badan.

Masalah gastrik secara umumnya disebabkan pengambilan makanan bergoreng yang mempunyai minyak yang tinggi, makanan terlampau pedas atau masam.Oleh itu, pastikan badan mempunyai ketahanan untuk mengambil makanan tertentu pada bulan puasa ini.

Tip diet ketika berpuasa:

* Jangan makan berlebihan terutama sewaktu berbuka puasa. Ini untuk mengelakkan kembung perut atau ketidakhadaman makanan.

* Kurangkan pengambilan makanan yang bergoreng dan berlemak.

* Kurangkan makanan tinggi gula.

* Elakkan makanan yang diproses terutamanya yang mengandungi perisa dan pewarna tiruan serta pengawet.

* Kurangkan makanan yang terlalu berempah atau pedas.



 
Chatroom