Home » » Periksa aras gula sebelum puasa (Panduan Pesakit Kencing Manis)

Periksa aras gula sebelum puasa (Panduan Pesakit Kencing Manis)

Mereka yang mempunyai tahap kesihatan membimbangkan harus mengikut garis panduan ditetapkan jika ingin berpuasa terutama pesakit diabetes.

Berpuasa akan mengubah aras gula dalam darah terutama pada waktu siang. Hampir 79 peratus pesakit diabetes melitus jenis dua (T2DM) beragama Islam atau kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia tetap ingin berpuasa, walaupun garis panduan menyarankan sebaliknya.

Hipoglisemia atau aras gula darah yang rendah adalah risiko yang diketahui berkait dengan amalan berpuasa pada waktu siang terutama bagi pesakit T2DM.

Ia berlaku apabila aras glukosa di dalam darah menurun sehingga menjadi terlalu rendah. Ini boleh mengakibatkan masalah perubatan yang serius seperti keadaan tidak sedar dan sawan yang memerlukan rawatan kecemasan.

Menurut Pakar Perunding Kanan Endokrinologi, Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin, pesakit T2DM di Malaysia yang bercadang hendak berpuasa sangat digalakkan menjalani pemeriksaan perubatan dengan pakar kesihatan sebelum Ramadan.

"Kemampuan merekodkan aras gula darah sepanjang hari sangat penting kerana ia membolehkan doktor memberikan sokongan lebih baik kepada pesakit yang perlu menguruskan penyakit mereka.

"Ia bagi mengelakkan pesakit mengalami risiko mendapat hipoglisemia atau komplikasi diabetes yang lain.

"Gejala hipoglisemia mungkin ringan hingga teruk. Antaranya, berpeluh, resah, cepat marah, denyutan jantung yang pantas atau berdebar, sakit kepala, bingung dan pening," katanya.

Disebabkan itu, pesakit diabetes perlu mengikut panduan disarankan doktor bagi mengelakkan mereka mendapat risiko lebih teruk selepas itu.

Bagi pesakit diabetes, ketika berbuka atau bersahur sebaiknya tidak mengambil makanan berat secara berlebihan kerana paras gula perlu dikawal dengan baik.

Ketika berbuka atau bersahur, sebaiknya mulakan dengan minum air kosong sebanyak dua gelas bersama satu atau dua biji kurma untuk mengisi perut yang kosong.

"Ia baik diamalkan terutama bagi mereka yang mempunyai masalah buah pinggang. Selain itu, amalan berbuka dengan dimulakan meminum air kosong juga dapat mengurangkan rasa lapar yang berlebihan.

"Selepas itu, ambil buah-buahan berserat tinggi atau sayuran seperti epal, jambu, pisang dan betik. Elakkan daripada mengambil minuman bergas.

"Setelah berehat seketika dan menunaikan solat, barulah nikmati hidangan utama seperti karbohidrat. Cara begini akan menghindarkan perut daripada rasa yang sangat lapar walaupun belum berbuka dengan sajian berat," katanya.

Sementara itu, bagi membantu pesakit diabetes berpuasa di bulan Ramadan, syarikat khidmat kesihatan, MSD melancarkan dua alat bantuan khas.

Antaranya, aplikasi mudah alih Apple `Bulan Ramadan Diabetes Saya' dan kit maklumat bertajuk `Fakta Tentang Amalan Berpuasa Pada Bulan Ramadan'.

Pengarah Urusan MSD, Annie Chin berkata, aplikasi mudah alih Apple mengandungi maklumat penting bulan Ramadan seperti waktu solat, imsak dan berbuka puasa berdasarkan lokasi pengguna serta kompas di dalamnya yang menentukan arah kiblat.

"MSD menyedari cabaran unik dihadapi oleh jutaan pesakit di seluruh dunia yang tetap ingin berpuasa pada bulan Ramadan.

"Dengan memanfaatkan kuasa dan capaian teknologi mudah alih, kami menyediakan peluang membantu pesakit beragama Islam untuk berpuasa.

"Kami berharap ia dapat membantu pesakit yang mengalami kesulitan kesihatan akibat mengubah pola pemakanan di bulan Ramadan," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan.

Ia juga mengandungi pengesan gula dalam darah yang memudahkan laporan aras glukosa dihantar kepada pengamal kesihatan atau perunding persendirian menerusi emel sepanjang Ramadan.

Pengurusan diabetes

Persatuan Diabetes Amerika Syarikat menyarankan pesakit T2DM harus menjalani pemeriksaan perubatan sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal.

Lebih daripada 371 juta orang menghidap diabetes dan 80 peratus daripadanya tinggal di negara yang berpendapatan rendah serta sederhana tinggi.

Kebanyakan penghidap diabetes di negara berpendapatan rendah dan sederhana tinggi berada pada peringkat separuh umur iaitu 45 hingga 64 tahun dan bukannya warga tua sekitar 65 tahun ke atas.

Bilangan penghidap diabetes dianggarkan meningkat daripada 371 juta pesakit pada 2012 kepada 552 uta pada 2030.

Peningkatan kadar kelaziman diabetes jenis dua pula berkaitan dengan perubahan budaya dan sosial yang pesat, penduduk semakin tua, pembandaran meningkat, perubahan pemakanan, kurang bersenam serta corak gaya hidup atau tabiat tidak sihat.

Kira-kira 4.8 juta maut akibat diabetes pada 2012 dan hampir separuh daripada kematian berlaku dalam kalangan pesakit yang belum mencapai usia 60 tahun.

Kaji selidik dijalankan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011 (NHMS) menganggarkan pada 2030, Malaysia akan memiliki kira-kira tiga juta penghidap diabetes.

Laporan kajian berkenaan turut menyatakan, kelaziman diabetes berlaku dalam kalangan orang dewasa melebihi usia 30 tahun.

Berdasarkan kumpulan etnik pula, kaum India mencatatkan kadar kelaziman diabetes tertinggi (24.9 peratus), diikuti Melayu (16.9 peratus) dan Cina (13.8 peratus).

Diabetes dan komplikasinya dijangkakan antara ancaman besar terhadap sumber kesihatan awam sedunia pada masa depan dengan kos beban ekonomi dan sosial yang sangat besar terutama bagi negara membangun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, orang yang berisiko menghidap T2DM adalah orang dewasa dan kanak-kanak yang tidak aktif secara fizikalnya.

Pertambahan berat badan boleh mengakibatkan rintangan terhadap insulin iaitu badan tidak mampu menggunakan insulin dihasilkan dengan berkesan.

Pada masa sama, kekurangan senaman antara punca yang menyebabkan pertambahan berat badan turut menyumbang kepada rintangan terhadap insulin.

Selain itu, kumpulan etnik juga menjadi faktor risiko yang penting. Misalnya, kadar kejadian diabetes jenis dua yang lebih tinggi dilaporkan dalam kalangan orang berketurunan Asia dan Afrika, asli Amerika serta Australasia.

Sejarah keturunan keluarga berpenyakit diabetes juga boleh meningkatkan risiko penghidap diabetes jenis dua. Kajian menunjukkan orang yang mempunyai sejarah keluarga penyakit diabetes berisiko tinggi untuk menghidapinya.

Bukan itu saja, malah wanita yang pernah menghidap diabetes melitus gestasi menghidap ketika hamil turut mempunyai risiko lebih tinggi mendapat T2DM.

Gejala diabetes jenis dua mungkin serupa, tetapi lazimnya kurang ketara berbanding jenis satu. Akibatnya, diagnosis dibuat hanya selepas beberapa tahun menghidapinya apabila komplikasi kronik seperti penyakit kardiovaskular, kerosakan buah pinggang, saraf dan masalah mata mula muncul.

Simptom diabetes jenis satu seperti kerap membuang air kecil, sentiasa dahaga, selera makan meningkat, berat badan menurun dan penglihatan kabur boleh dirasa.

Selalunya, penghidap T2DM tidak menunjukkan sebarang gejala kepada pesakitnya.

Perkara berkaitan amalan berpuasa:

1 Dehidrasi atau kehilangan cecair dalam badan secara mendadak berlaku kerana kurang minum air semasa berpuasa dan keadaan ini mungkin lebih teruk dalam iklim panas serta lembap.

Antara gejalanya termasuk mulut kering, kejang otot, loya, muntah dan berdebardebar.

2 Peningkatan risiko berlakunya trombosis atau bekuan darah di dalam salur darah ketika dehidrasi.

Antara gejala trombosis adalah rasa sakit atau bengkak di tempat bekuan darah, lenguh yang teruk pada bahagian terjejas seperti kaki dan ruam kulit yang gatal serta terasa panas.

3 Ketoasidosis diabetes iaitu komplikasi serius yang berlaku apabila badan tidak dapat menggunakan glukos sebagai sumber tenaga.

Ia berlaku disebabkan badan tidak mempunyai insulin atau tidak mencukupi dan terpaksa menggunakan lemak. Risiko mengalami masalah ini lebih tinggi jika kita cuba mengurangkan ubat (terutama dos insulin).

Justeru, pastikan pesakit berbincang dengan pakar kesihatan mengenai aturan rawatan sebelum melakukan sebarang perubahan.

Panduan ketika berpuasa

Jika pesakit diabetes ingin berpuasa, mereka harus mematuhi panduan disarankan agar tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan diri sendiri.

Pesakit dinasihatkan untuk segera berbuka jika mengalami tanda hipoglisemia atau hiperglisemia (gula dalam darah tinggi) dan kehilangan cecair dalam badan.

1 Mesti bersahur dan makan secukupnya

2 Tidak dibenarkan melambatkan berbuka

3 Mengambil ubat atau insulin yang disyorkan

4 Sentiasa memeriksa kandungan gula dalam darah



 
Chatroom