Home » » Perubahan Gaya Hidup Sihat

Perubahan Gaya Hidup Sihat

Pengurusan dan kawalan penyakit gaya hidup ini sebenarnya bukan terlalu payah, cuma ia memerlukan kesedaran serta sedikit kesungguhan.

Perkara asasnya ialah kesediaan melakukan perubahan pada gaya hidup dengan menjaga pemakanan dan menjadi lebih aktif. Menjaga makan pun bukan susah sangat, tidak perlu berpantang, tetapi cukup dengan mengurangkan kadar pengambilan makanan berlemak, banyak garam dan gula serta melebihkan sumber serat (sayur-sayuran serta buah-buahan).

Kajian Kementerian Kesihatan pada 2004 mendapati, 30 peratus penduduk dewasa di negara kita mengalami masalah berat badan berlebihan dan 5.8 peratus termasuk dalam kategori obes.

Yang membimbangkan ialah dalam peringkat umur 25 hingga 64 tahun, jumlah wanita yang gemuk dan obes lebih ramai berbanding lelaki (13.6 peratus).

Mengapa perkara ini membimbangkan? Wanita biasanya ketua yang mengurus dan merancang hal ehwal makanan keluarga.

Bahkan anak biasanya mengikut tabiat pemakanan si ibu atau ayah yang akhirnya menjadi tabiat pemakanan mereka sehingga dewasa. Jika wanita kurang pengetahuan dalam ilmu pemakanan, corak pemakanan keluarga akan pincang.

Namun, rasanya perkara paling berat ialah untuk menjadi aktif. Kajian mendapati lebih 70 peratus rakyat negara kita tidak bersenam, manakala 37.3 peratus hanya bersenam ringan. Ketiadaan senaman atau pergerakan cergas boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dua kali ganda.

Suka atau tidak, kita perlu melakukan sedikit perubahan dalam hidup. Perkara paling senang ialah menjadi individu aktif dan proaktif dalam soal penjagaan kesihatan.

Menjadi aktif tidak semestinya perlu pergi ke gimnasium. Ia boleh dimulakan dengan rutin harian kita. Mulakan hari dengan senaman ringan yang boleh dilakukan di dalam rumah selama 10 minit.

Malah, ketika memberus gigi juga anda boleh melakukan senaman mengimbangkan badan dengan berdiri sebelah kaki atau seolah-olah duduk di atas kerusi.

Caranya — regangkan kaki, bengkokkan lutut dan bayangkan seolah-olah anda duduk di atas kerusi. Tahan selama yang anda mampu. Senaman ini menguatkan otot kaki.

Di tempat kerja pula, kurangkan penggunaan lif, sebaliknya gunakan tangga. Mula-mula memang anda terasa mengah dan tercungap-cungap, terutama bagi yang jarang bersenam.

Tidak mengapa, itu perkara baik kerana ia memaksa lebih banyak oksigen masuk ke dalam badan dan otak yang boleh membuat anda berasa lebih segar serta dapat mengelak rasa mengantuk ketika bekerja.

Selepas ini setiap kali rasa mengantuk, pergi daki tangga di pejabat (satu tingkat pun tidak mengapa) kerana ia bukan saja menghilangkan mengantuk, tetapi membuat anda lebih aktif.

Banyakkan berjalan. Jika anda perlu bercakap dengan rakan sekerja, pergi ke mejanya. Gunakan telefon hanya untuk mengetahui individu yang anda mahu temui ada di mejanya.

Mungkin ada yang menganggap tindakan ini membazir masa. Sebenarnya, anggapan itu kurang tepat kerana dengan berjalan, anda merangsang aliran darah berjalan lancar (supaya lebih banyak oksigen di bawa ke otak) yang meningkatkan kepekaan dan produktiviti serta mengurangkan risiko sakit belakang.

Duduk terlalu lama memberi tekanan berlebihan kepada bahagian bawah belakang badan. Balik daripada kerja, ajak pasangan dan anak untuk bersenam bersama.

Bab makan juga perlu diambil kira. Langkah mudah yang boleh diambil ialah lebihkan pengambilan sayur dan kurangkan nasi serta kuah berlemak. Jika mengantuk selepas makan, itu menandakan badan kita kekurangan air.

Cara yang baik ialah minum air sebelum makan atau sekurang-kurangnya setengah jam selepas makan. Jika terpaksa, minum dalam tegukan kecil.

Untuk langkah proaktif, mulakan amalan membuat pemeriksaan sendiri pada badan dan kulit jika ada benjolan, ruam, bengkak, perubahan warna kulit (seperti tompok merah atau pucat).

Perhatikan juga jika ada perubahan pada jadual buang air, badan menjadi lesu, pemandangan kabur, sentiasa letih atau lapar mahupun penurunan berat badan yang mendadak.

Menurut Akademi Dermatologi Amerika, kajian menunjukkan pemeriksaan sendiri boleh menyelamatkan 4,500 nyawa setahun kerana melalui amalan ini kita dapat mengesan tanda awal penyakit, contohnya kanser kulit.

Bila boleh buat pemeriksaan? Ia boleh dibuat ketika atau selepas mandi. Masalah biasa dihadapi kebanyakan pesakit ialah ramai tidak perasan bila tanda tidak normal muncul pada badan kerana tidak pernah diperiksa. Langkah ini membantu kita menjadi lebih peka kepada sebarang perubahan pada badan.

Ketahui nombor anda — maknanya Indeks Jisim Badan (BMI), ukuran pinggang (untuk mengelak sentral obesiti atau kegemukan di pinggang), tekanan darah, paras kolesterol dan paras gula. Buat pemeriksaan ini sekurang-kurangnya setahun sekali.

Selain itu, pergi jalani ujian air kencing untuk mengetahui air kencing anda tidak mengandungi protein (albumin — yang menandakan ada masalah buah pinggang). Bagi wanita, jangan lupa dapatkan ujian pap smear sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Cuci tangan sekerap mungkin, terutama selepas keluar dari tandas dan sebelum makan (walaupun anda makan menggunakan sudu dan garpu). Mencuci tangan adalah langkah pencegahan penyakit yang boleh merebak melalui sentuhan. Ini penting, terutama bagi keluarga yang ada anak kecil, khususnya kurang dari dua tahun.

Beri lebih perhatian pada penjagaan gigi dan gusi. Jika sebelum ini anda hanya memberus gigi, sekarang tiba masanya untuk mula menggunakan flos. Flos dapat membersihkan sisa makanan yang melekat di celah gigi yang tidak dapat dicapai berus. Kajian menunjukkan amalan membersihkan gigi dengan flos dapat memanjangkan hayat gigi selama enam tahun.

Ketahui juga sejarah kesihatan keluarga. Ia dapat membantu anda mengambil langkah berjaga-jaga, terutama jika ada ahli keluarga menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, strok, kencing manis dan kanser, kerana anda termasuk dalam kumpulan berisiko tinggi mengalami penyakit sama.

Paling penting — belajar bertenang, berehat dan menangani tekanan dengan baik. Luangkan masa untuk diri sendiri. Ia bukan saja baik untuk kesihatan badan dan minda, tetapi juga memberi kesan positif terhadap prestasi kerja serta hubungan sosial.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom