Home » » Tahun Lembu Menurut Kalendar Cina

Tahun Lembu Menurut Kalendar Cina

Tahun 2009 menurut kalendar China, sang lembu mendapat penghormatan. Lebih tepat lagi, tahun ini adalah tahun lembu.

Lembu atau "niu" dalam bahasa Mandarin merupakan haiwan yang penting semenjak dahulu lagi. Pada zaman dahulu, lembu menjadi harta yang sangat berharga, hingga lembu dijadikan bidalan, "lembu kerbau penuh sepadang". Lembu juga menjadi alat yang penting dalam sektor pertanian dan pengangkutan kerana lembu digunakan untuk membajak sawah dan sebagai haiwan penarik pedati. Ia juga merupakan sumber makanan yang kita gemari, seperti susu, daging lembu goreng, stimbot daging lembu dan "baodu" atau perut lembu goreng. Pendek kata, lembu memainkan peranan yang tidak dapat digantikan dalam hidup seharian kita.

Kegemaran orang China terhadap haiwan ini dapat dikesan dalam beberapa cerita kalangan rakyat yang diwarisi sejak nenek moyang mereka. Antaranya, riwayat Niu Lang dan Zhi Nu, satu episod cinta yang klasik antara manusia biasa dengan dewi di kayangan. Dalam riwayat ini, seekor lembu tua yang dimiliki oleh Niu Lang sanggup mengorbankan diri untuk membantu tuannya terbang ke kayangan dengan memberikan kulitnya untuk dipakai oleh tuannya semata-mata untuk berjumpa dengan dewi Zhi Nu.

Apabila menyebut lembu, gambaran yang terlintas dalam fikiran kita ialah sifatnya yang rajin, penyayang, tegas, praktikal, sabar, tabah dan berani. Sasterawan China, Lu Xun pernah menyifatkan dirinya sebagai "ruziniu", iaitu ungkapan yang memuji golongan yang sanggup mengorbankan jiwa raga mereka untuk sesuatu kerjaya yang mulia tanpa mengira kepentingan diri.

Menurut zodiak China, lembu adalah simbol kekuatan, ketabahan serta sifat tidak pernah berputus asa dalam mencapai sesuatu matlamat. Mereka yang dilahirkan pada tahun lembu dikatakan mempunyai pendirian teguh serta boleh diharap. Ketibaan tahun lembu ini dianggap sebagai satu tanda perubahan, kemajuan dan tenaga positif. Oleh itu, mereka yang terlibat akan memakai tali pinggang dan baju dalam yang berwarna merah untuk mengharapkan nasib yang baik dan kesihatan sepanjang tahun.

Sebenarnya, bukanlah golongan ini sahaja yang berfikiran demikian, semua orang China memandang perayaan tahun baru ini sebagai titik perubahan nasib dan kehidupan mereka. Jadi, mereka akan mengamalkan beberapa tradisi untuk menyambut hari kebesaran ini.

Sebelum Tahun Baru tiba, rumah akan dibersihkan, dan dicantikkan dengan pelbagai hiasan yang menggambarkan lembu, seperti guntingan kertas, permainan yang dibuat daripada kain, lukisan tahun baru dan tanglung merah, serta buah limau sebagai simbol murah rezeki. Jamuan beramai-ramai seisi anggota keluarga, atau dikenali sebagai "tuanyuanfan" dalam bahasa Mandarin, diadakan pada malam sebelum Tahun Baru, ketika semua ahli keluarga, sama ada yang tinggal serumah atau yang datang jauh dari tempat lain, berkumpul untuk perayaan itu. Mercun akan dibakar pada tengah malam untuk menandakan bermulanya Tahun Baru, dan bagi menghalau puaka dan nasib malang.

Sambutan perayaan ini ditandai oleh amalan ziarah menziarah antara ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai. "Ang pau" selalu diberikan kepada orang muda dan kanak-kanak oleh orang tua. Hari kedua atau hari "membuka tahun" merupakan hari bagi anak perempuan yang telah berkahwin untuk menziarahi ibu bapa kandung mereka. Hari ketiga dipercayai sebagai hari yang tidak sesuai untuk menziarahi saudara mara, kerana hari ini dipercayai sebagai hari "mulut merah" atau "chikou", yang membawa pengertian "amat mudah untuk terlibat dalam pergaduhan". Hari ke-15 pula adalah hari terakhir perayaan Tahun Baru China yang diraikan sebagai Cap Goh Meh. Bergantung kepada amalan setempat, "tangyuan", iaitu bebola pulut manis dalam sup, biasanya dimakan pada hari ini.

Dalam masyarakat China, terdapat beberapa pantang larang yang masih lagi menjadi ikutan dalam perayaan. Antara beberapa amalan yang selalu dilakukan dan dipercayai akan membawa tuah, termasuklah membuka pintu dan tingkap yang dianggap dapat "menjemput masuk" tuah pada tahun baru; memakan gula-gula dan manisan untuk "memaniskan" nasib sepanjang tahun bagi pemakannya; membiarkan lampu menyala semalaman yang dipercayai dapat menghalau hantu dan puaka yang mungkin mempengaruhi nasib keluarga sepanjang tahun.

Untuk menghindari malang, orang China dilarang menggunting rambut ketika perayaan, kerana perbuatan ini dianggap sebagai "memotong hasil". Menyapu lantai juga dilarang pada hari pertama kerana ini akan menyapu keluar tuah bagi tahun baru.

Tahun Baru China selalu diserikan dengan ungkapan pembawa tuah, seperti "Gong Xi Fa Cai", "suisuiping'an" yang bermakna "semoga keamanan berkekalan tahun demi tahun", dan "niannianyouyu" yang bermakna "semoga wang tabungan bertambah setiap tahun".

Dipetik dari Radio Antarabangsa Cina



1 Komen:

Awanama berkata...

PE YAMG MU MEPEK NIE???KAWE X BAPE PHAM LGSONG.....

Catat Komen

 
Chatroom