Home » » Ibu didera beri kesan pada anak

Ibu didera beri kesan pada anak

Di sini ingin dibincangkan tentang satu isu yang berkaitan dengan penderaan terhadap kaum wanita terutama oleh suami ke atas isteri. Kesan langsung akibat didera ialah penderitaan fizikal yang ditanggung oleh isteri.

Tetapi pada masa yang sama mangsa turut menanggung penderitaan emosi yang tiada siapa tahu.

Yang lebih penting pernahkah kita membayangkan apa pula emosi yang melanda anak-anak kepada isteri yang menjadi mangsa dera?

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik perubatan di Bangladesh mendapati anak kepada ibu yang didera akan terbantut tumbesarannya.

Kajian terperinci mendapati keganasan suami terhadap isteri yang sedang mengandung pula mempunyai kecenderungan untuk melahirkan bayi yang tidak sihat atau mungkin juga mati pada usia muda.

Untuk memahami senario tersebut secara langsung, Dr. Kajsa Asling-Monemi, dari Uppsala University di Sweden serta kumpulan penyelidiknya telah menentukan berat badan 3,164 kanak-kanak.

Mereka juga memantau perkembangan tumbesaran anak-anak itu sehingga mereka berusia dua tahun.

Ibu kepada kanak-kanak tersebut yang kesemuanya berjumlah 4,436 orang telah berkahwin dan menjadi suri rumah. Umur ibu-ibu terbabit pula adalah dalam purata 26 tahun.

Separuh daripada ibu tersebut melaporkan bahawa mereka menjadi mangsa penderaan suami sepanjang perkahwinan.

Sebanyak 14 peratus daripada ibu tersebut memberitahu pernah ditampar, disepak terajang, dicekik, dipukul, diseret dan sebagainya. Manakala sebanyak lapan peratus dari responden mengalami penderaan ketika sedang mengandung.

Sebagai tambahan, 24 peratus wanita melaporkan mereka juga didera secara seksual manakala 28 peratus lagi mengalami penderaan emosi dengan cara dimalukan dan sebagainya.

Pada saat kelahiran bayi, purata berat badan mereka ialah dalam lingkungan 2.7 kilogram (kg). Daripada jumlah kanak-kanak yang terlibat dalam kajian tersebut, sebanyak 33 peratus telah dilahirkan lebih ringan iaitu kurang daripada 2.5 kg.



Boleh dikatakan antara anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang didera, sebanyak 42 peratus mengalami berat badan di bawah julat ideal, 13 peratus tidak mendapat zat yang mencukupi dan lebih dari 55 peratus mengalami pertumbuhan tidak normal hingga umur mereka dua tahun.

Kesimpulannya, kaitan antara ibu yang didera dan anak mereka amat kuat. Hal ini juga mengambil kira latar belakang pendidikan si ibu, jumlah kelahiran anak dan agama anutan si ibu. Penyelidik turut membuat penyelidikan antara ibu beragama Hindu dan Muslim di mana ibu dari agama Hindu lebih berkecenderungan mendapat bayi yang lebih kecil daripada ibu Muslim. - Agensi



 
Chatroom