Home » » Disiplin perlu ketika berdiet - Schmeichel

Disiplin perlu ketika berdiet - Schmeichel

Kehadiran penjaga gawang yang disenaraikan salah seorang daripada 125 pemain bola sepak terhebat dunia oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Peter Schmeichel, 46, ke negara ini awal Mac lalu ternyata menjadi buruan peminat. Dalam pertemuan singkat, Mingguan Malaysia dipilih melakukan temu bual eksklusif bersama Schmeichel.

Bezanya kali ini, Schmeichel bukan sahaja berkongsi panduan bermain bola sepak dengan baik tetapi bagaimana dia menjaga kesihatan. Lihat sahaja badannya yang masih segak dan gagah walaupun pada usia 40-an. Selain latihan yang gigih, Schmeichel juga mengamalkan disiplin dalam diet dan tidak ketinggalan menghabiskan masa bersama keluarga untuk berehat. Tanpa bergantung kepada suplemen, dia percaya latihan fizikal seperti di gim membantu badan menjadi sihat dan kuat. Bahkan, Schmeichel menasihatkan generasi muda supaya lebih bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang dilakukan. Ikuti kisah Schmeichel yang berkongsi gaya hidup sihat sejak menceburi bidang sukan.

"Saya seorang yang ringkas. Apa yang penting adalah kerja keras. Untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya kita perlu mencapai satu tahap yang tertentu. Ia merupakan kerja 24 jam dan tidak pernah berhenti. Apabila anda bermain di negara seperti England, anda bermain dua perlawanan seminggu. Jika anda bermain untuk negara anda, ia dibawa ke Jun. Anda perlu fokus untuk apa yang anda buat.

"Jika bercuti, setengah orang gemar melakukan sukan air tetapi kami kurang melakukan kerana ia boleh menyebabkan kecederaan. Kecederaan akan menyukarkan pemain terlibat dengan perlawanan seterusnya.

"Bercerita tentang pemakanan, bagi saya, kanak-kanak perlu mendapatkan nutrisi dan vitamin yang cukup. Ini penting agar mereka memperolehi tenaga dan kekuatan melakukan aktiviti harian. Macam saya, susah nak kata. Tetapi saya suka makan. Tentang diet, saya memang berdisiplin.

"Saya sebenarnya bukan seorang yang mengambil suplemen secara rutin. Saya lebih gemar ke gim sejak dulu lagi. Gim bukan sahaja penting untuk tubuh yang sihat tetapi ia memberi kita tenaga. Latihan fizikal amat penting untuk badan.

"Apa yang penting, anda tahu apa yang anda lakukan. Nak makan boleh tetapi kena berhati-hati. Disiplin dalam diet penting jika ingin memiliki tubuh badan yang sihat. Makan dan minum mengikut peraturan amat penting. Selain pemakanan, fikiran yang tenang juga penting. Jika saya terlalu penat dengan kerja, isteri dan anak adalah pengubat segalanya.

"Nasihat saya kepada mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang ini, apabila anda inginkan sesuatu, ia datang daripada diri sendiri. Anda mengeluarkan segala yang terdapat dalam diri. Begitu juga dengan generasi muda, anda perlu tahu apa yang anda inginkan. Anda perlu fokus apa yang anda lakukan. Seperti peserta-peserta rancangan Tiger Futbol Starz anjuran biskut Tiger, mereka mempunyai peluang. Apa yang penting mereka perlu berani mengeluarkan bakat masing-masing.

"Ramai bertanya sama ada anak saya, Kasper, 23 yang turut mengikut jejak langkah saya sebagai penjaga gol, mengikuti saya ke United. Saya tidak tahu sama ada dia akan bermain buat Manchester United (MU).

"Untuk bermain di sana, anda perlu mencapai tahap tertentu. Saya menyertai MU ketika berusia 27 tahun tetapi Kasper sudah membuat penampilan pertama pada usia 17 tahun, keadaan jelas berbeza. Generasi muda sekarang lebih mempunyai peluang yang tinggi. Cuma perlu ada kesungguhan."

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH



 
Chatroom