Home » » Perkiraan 6ixth Sense

Perkiraan 6ixth Sense

Untuk buah tangan ketiga kumpulan ini, mereka mahukan respons yang berbeza. Ini demi perjuangan baru lima anak muda di bawah payung kumpulan 6ixth Sense. Kepelbagaian bermuzik bersertakan eksperimentasi dalam penyusunan lagu dan kretiviti penulisan disalurkan secara total dalam album bertajuk + - x /.


"Tambah, tolak, kali dan bahagi adalah perkara-perkara yang merujuk kepada kehidupan. Jika dalam 6ixth Sense, tambahan ini merujuk kepada jumlah album, bertolak ansur, menggandakan karier kami dan peminat serta membahagikan masa juga cinta," ujar Wan yang merupakan pemain dram.

Isu biasa dalam menerbitkan sesebuah album baru sentiasa berkisar terhadap kelainan yang ingin ditonjolkan. Jadi untuk album ketiga yang kerap dianggap album penentu kejayaan bagi sesetengah pemuzik, mereka berusaha keras menyiapkan eksperimentasi untuk menjadikan ia halwa telinga pelbagai untuk khalayak. Rasa gentar juga semakin kuat jika album ini tidak diterima kerana tabu album ketiga memang kuat untuk resam perjalanan anak band. Namun mereka mengambil sikap positif walau pun sedikit sakit jiwa menghasilkan sebuah album dalam tempoh tiga bulan sahaja.

"Untuk album ini kami sempat terbang ke Bandung, Indonesia selama seminggu untuk mencari bunyi dan udara yang berbeza. Kami sempat merakam lagu Cinta Matiku, Haruskah dan Yang Sempurnakanku di Studio Massive, Bandung. Variasi dalam muzik kami dicapai sambil merasa merakamkan album di sana," ujar Adi yang merupakan anak kelahiran Indonesia dan vokalis grup 6ixth Sense.

Mereka sempat mendendangkan beberapa buah lagu. Nyata untuk lagu pertama yang bertajuk Yang Sempurnakanku, 6ixth Sense memberikan sentuhan yang berbeza. Melihatkan reaksi sedikit berbeza selepas sesi 'pradengar', Adi, Wan, Athan, Ayoy dan Gigie akhirnya mengukir senyuman. Inilah yang mereka cari untuk album edaran Universal Music Malaysia.

"Ini yang kami mahukan. Respons yang berbeza dan tanda tanya adakah lagu ini datang daripada grup kami. Ertinya kami sudah dapat mecari variasi pendengaran malah tindak balas khalayak terhadap album terbaru ini sangat baik," ujar Adi yang menerangkan bahawa album itu ditujukan untuk peminat muzik urban dan luar bandar.

Merujuk kepada intipati album yang dilancarkan pada 14 April lalu, 6ixth Sense merasakan mereka cukup serasi dengan muzik dan pembaharuan yang dimasukkan ke dalam album berkenaan.

"Secara jujurnya kita mengikut kehendak pasaran tetapi dalam bentuk yang idealis. Kami juga merancang untuk memasuki pasaran Indonesia. Itu salah satu harapan kami," ujar Adi yang teringin suara dan lagu-lagu ciptaannya serta rakan-rakan lain berkumandang di negara kelahirannya.

Merangkumkan lima kepala menjadi satu adalah sesuatu yang paling sukar untuk lakukan. Namun anak-anak muda yang rata-rata berusia 20-an itu mempunyai resepi tersendiri untuk merungkaikan komplikasi dan pergeselan kecil dalam kumpulan.

"Jujur, kami berpelukan untuk mengeratkan hubungan persahabatan. Jangan salah faham tapi kami rasa berpeluk adalah satu solusi untuk sebuah kumpulan selepas 'bertengkar' dan berbincang," rungkai Adi sambil memerhati kesemua rakan-rakannya.

Sepakat membawa berkat, kini mereka semakin berdebar menunggu respons yang bakal diberikan para peminat.

Setelah Khatimah Cinta terjual melebihi 500,000 unit manakala lagu Tanpa mencapai angka 600,000 unit dalam bentuk muat turun, harapan 6ixth Sense kini tertumpu kepada + - x /.

~ Kosmo



 
Chatroom