Saluran televisyen Astro Oasis (Saluran 106) yang sebati dengan program-program Islamik seperti Kalam Suci, Jemputan Umrah, Sebutan Syariah dan banyak lagi akan mula menyiarkan program televisyen terbarunya iaitu Sehiris Peria Secawan Madu.
Program terbitan Karyawan Bestari Sdn. Bhd ini adalah berkonsep majalah dan bual bicara dengan durasi 30 minit akan membawakan pelbagai isu-isu semasa masyarakat.
Topik-topik yang bakal ke udara adalah Membelai Sakit, Tersesat Ke Penjara, Derita Bahagia OKU, Kejam, Padah Ibu Muda, Nur Ilahi, Dalam Gelap Ada Cahaya, Pelabuhan Terakhir, Jalan Terasing, Sepi Sendirian, Darah Muda, Pulang Ke Pangkal Jalan dan Menumpang Kasih.
Sebanyak 13 episod rancangan dengan 13 topik menarik telah bersiaran bermula 6 April lalu, seterusnya pada setiap hari Selasa pukul 7.30 malam. Siaran ulangannya iaitu pada Khamis 7.30 pagi, Jumaat 11 malam, Sabtu (6.30 pagi dan 3.30 petang) dan Ahad (12 tengah hari dan 9.30 malam)
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sebagai pelopor saluran gaya hidup Islam, pihaknya ingin terus menunaikan tanggungjawab untuk menyampaikan program-program yang dapat mendidik para penonton dari sudut kerohanian dan pengetahuan ilmiah menerusi program yang dilancarkan hari ini.
"Program ini dilihat dapat menerbitkan rasa sabar, insaf, keimanan dan kegembiraan, khususnya di kalangan mereka yang kurang bernasib baik dan sedang ditimpa musibah.
"Ia juga dilihat begitu istimewa apabila ia cuba untuk berkongsi masalah dan kepahitan orang lain dengan membongkar kemanisan dan kebaikan yang terkandung di sebalik ujian Allah itu.
"Hebatnya juga apabila program ini cuba untuk mencari buktinya daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih," katanya ketika ditemui Mega pada majlis pelancaran program Sehiris Peria Secawan Madu, di ibu negara, baru-baru ini.
Pada majlis itu, penerbit merangkap Pengarah Program, Abdullah Abdul Hamid berkata, objektif utama program adalah membangkitkan rasa sabar, insaf, meningkatkan keimanan dan melahirkan kegembiraan, khususnya di kalangan mereka yang kurang bernasib baik, lebih-lebih lagi yang sedang ditimpa musibah dan ujian Allah SWT.
"Sesungguhnya nasib manusia itu tidak sama. Jadi kita mahu mereka yang lebih bernasib baik itu agar sentiasa berkongsi, sekali gus dapat merasai keperitan orang lain. Kita juga berharap, mereka yang kurang bernasib baik juga tidak mudah berputus asa kerana masih ada yang mengambil berat.
"Dalam masa yang sama, ustazah Asni Mansor yang merupakan hos program juga bertindak sebagai pengacara akan menemubual secara eksklusif mangsa, insan malang dan tokoh-tokoh tertentu, seterusnya membongkar kemanisan dan kebaikan yang terkandung di sebalik musibah yang dihadapi.
"Ini supaya responden dan juga penonton memahami bahawa setiap kepayahan yang dialami itu, ada hikmah yang kita tidak ketahui kecuali Allah. Dengan kesabaran dan perasaan reda itu, dari situ akan hadirnya kemanisan iman," kata Abdullah yang sentiasa mendapat sokongan kuat daripada isteri tersayang, Zarina Jan Fazlay Rahman dan krew-krew penerbitan sepanjang empat bulan penggambaran.
Sementara itu, Asni mengakui pelawaan yang diterima itu umpama pucuk dicita, ulam mendatang. Ini kerana format program seperti itulah yang diimpikan selama ini.
"Keperluan untuk mendekati masyarakat terutamanya mereka yang kurang bernasib baik, menjadi alasan dan keutamaan yang membawa kepada persetujuan bergelar hos untuk program ini.
"Namun, ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana salah satu cabarannya ialah bagaimana untuk menghilangkan jurang antara saya dengan responden yang didekati. Ia memerlukan kekuatan dan ketabahan, lebih-lebih lagi melihat keperitan yang terpaksa ditanggung serta pengorbanan mereka untuk berubah.
"Sebab itulah, saya sentiasa letakkan diri saya di dalam situasi mereka agar lebih menjiwai dan menyelami perasaan responden," jelas Asni.
Beliau mengakui ada ketikanya air matanya tidak dapat menahan sebak serta hati kecilnya tersentuh dengan setiap topik yang dipaparkan.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...