Home » » Din Beramboi Tegas Di Rumah

Din Beramboi Tegas Di Rumah

Dunia hiburan kehilangan seorang pelawak berbakat besar seperti Din Beramboi.” Itulah yang dapat diungkapkan Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar mengenai pemergian pelawak, pengacara dan penyampai popular, Din Beramboi.


Katanya, Din Beramboi berjaya mencuit hati masyarakat dengan caranya tersendiri sama ada sebagai pelawak, pengacara dan juga penyampai radio.

“Din meninggalkan kesan mendalam terhadap rancangan TV3 seperti Apa Apa Aje, Senario dan Apa Ke Halnya menerusi saluran TV9 yang dihasilkan Primeworks Studio Sdn Bhd.

“Tanpa sebarang keraguan, Din Beramboi adalah seorang yang berbakat dan begitu diminati. Dia menyentuh kehidupan kita semua dan banyak menyumbang kepada industri. “Kami semua merinduinya terutama gelak ketawa yang dibawa dalam kehidupan kita semua,” katanya ketika ditemui di majlis menyampaikan sumbangan kepada keluarga Din Beramboi, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Media Prima menyumbang RM10,000 bagi membantu keluarga Din Beramboi yang berdepan kesukaran berikutan kematiannya kerana demam denggi berdarah, 2 April lalu.

Sumbangan berupa replika cek disampaikan Johan kepada balu Allahyarham, Suhaini Che Man diwakili anak sulung, Nil Aina Adibah di pejabat Media Prima di Sri Pentas.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Amrin Awaluddin serta Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan dua lagi anak Allahyarham, Mior Shafiq Ar Ridhwan, 12 dan Nir Ain Syuhadah, 6.

Nil Aina berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka menerima sumbangan daripada Media Prima.

“Kami terkejut diberitahu Media Prima menghulur sumbangan untuk arwah papa. Kami akan beri semua sumbangan kepada ibu yang masih berkabung dengan pemergian Papa. “Buat masa ini, kami tetap tabah dan reda dengan segala ketentuan Allah. Saya berterima kasih kepada banyak pihak dan rakan artis kerana mengambil berat. Ramai bertanya khabar mengenai kami sekeluarga.

“Dua adik saya begitu berasakan kehilangan Papa dan begitu merinduinya terutama sewaktu makan malam, aktiviti harian atau hujung minggu bersama keluarga.

“Bagi saya, Papa bapa penyayang dan begitu mengambil berat terhadap serba-serbi mengenai keluarga. Mungkin ramai mengenalinya sebagai seorang yang suka membuat lawak dan kelakar. Bagaimanapun, dia begitu tegas di rumah. “Dia selalu memastikan kami mematuhi peraturan dan berdisiplin. Memang terlalu banyak kenangan manis dilalui bersama Papa. Kami masih ingat dia akan melakukan apa saja kerja semata mata mahu memenuhi permintaan semua anaknya.

“Tidak ramai tahu, Papa juga suka mengukir. Kami pernah melihat Papa membawa balik sebatang kayu dan mengukir sendiri kalimah Alhamdulillah dengan tulisan jawi.

“Selain itu, walaupun padat dengan pelbagai program di konti atau program realiti seperti Raja Lawak, Papa pasti tetap mencari masa untuk diluangkan bersama kami. Papa akan cuba membawa keluarga jika ada tugasan di tempat jauh daripada rumah,” katanya.

Din atau nama sebenar, Mior Ahmad Fuad Mior Badri, 43, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang pada 2 April selepas empat hari terlantar kerana denggi berdarah. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Taman Ehsan di Kepong.

Pada 4 April lalu, Din Beramboi turut dicalonkan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands untuk kategori Penyampai Radio Lelaki Popular bersama AG, Aznil Nawawi, Faizal Ismail dan Kieran. Nil Aina turut hadir mewakili ayahnya dan anugerah itu dimenangi Faizal buat kali ketiga.



 
Chatroom