Home » » Sinopsis Filem When In Rome

Sinopsis Filem When In Rome

Sinopsis Filem When In Rome

Siapa yang mempercayai kuasa ajaib mampu membawa cinta kepada seseorang? Jika ada sekalipun, pastinya cinta itu tidak ikhlas dan bukan atas dasar kerelaan. Konsep sama dijadikan garapan untuk filem terbaru keluaran Touchstone Pictures ini.

Filem romantik komedi yang mengangkat pelakon popular dari siri Heroes, Kristen Bell ini cukup ringkas, namun sarat dengan elemen percintaan dan kepercayaan pada prinsip seseorang. Manakala pelakon Transformers, Josh Duhamel bersahaja membawa watak Nick.

Filem ini berkisar kepada sikap seorang kurator muzium di New York iaitu Beth yang komited terhadap kerjanya hingga putus asa bagi mencari cinta. Bukan saja sering dikecewakan, malah pengalaman lampaunya dengan bekas kekasih menghantuinya hingga Beth berasa fobia untuk bercinta lagi.

Namun apabila Beth terpaksa menghadiri majlis perkahwinan adik perempuannya di Rom, Itali, segala-galanya berubah. Ketika majlis resepsi, kejadian lucu berlaku menyebabkan Beth bertemu lelaki kacak idamannya yang juga wartawan, Nick.

Sekali lagi, jiwanya hancur selepas mendapati Nick bersama wanita lain dan membuatkan Beth hilang arah hingga mandi di sebuah kolam air pancut dalam keadaan mabuk. Namun takdir menyebelahinya apabila dalam kekecewaan itu, Beth mengutip beberapa wang syiling di dalam kolam itu dengan niat untuk bersama merasai rasa sedih. Kononnya mereka yang mencampakkan wang syiling ke kolam itu adalah mereka yang mencari cinta.

Selepas pulang ke Amerika, Beth berdepan beberapa lelaki yang menagih cintanya hingga membuatkannya rasa rimas dan takut. Mana tidaknya, pelukis jalanan, ahli sihir hingga penjual sosej mengejar dirinya. Namun siapa duga, Beth turut mengutip sekeping syiling yang dibaling oleh Nick sebelum itu.


Justeru, Nick yang sudah lama menjadi idamannya turut mengejar dan mencari cintanya. Bagaimanapun, selepas mendapati sebab sebenar lelaki-lelaki itu mengejarnya kerana tindakan Beth mengutip syiling yang punya kuasa ajaib, dia mula rasa bersalah dan menjauhkan diri daripada Nick walaupun dia sudah jatuh cinta pada wartawan itu. Bukan kerana hilang rasa cinta, namun Beth tidak mahu Nick mencintainya kerana kuasa ajaib yang ada padanya.

Kesudahannya, When In Rome mudah difahami dan plot ceritanya juga ringkas. Malah filem yang diterjemah daripada tulisan David Diamond & David Weissman ini bergantung sepenuhnya pada kekuatan lakonan. Menariknya, lakonan berkesan mereka disulam dengan insiden melucukan hingga beberapa babak mampu mengundang gelak-tawa penonton.

Walaupun ada beberapa babak longgar, filem yang mendapat sentuhan pengarah seni yang terkenal melalui hasil kerja sebelum ini termasuk filem The Incredible Hulk dan Lara Croft Tomb Raider: The Cradle of Life iaitu Kirk M Petruccelli masih sesuai untuk tontonan seisi keluarga atau mereka yang inginkan hiburan ringan di hujung minggu.

FILEM: When In Rome
PENGARAH: Mark Steven Johnson
PELAKON: Kristen Bell, Josh Duhamel, Will Arnett, Alexis Dziena, Jon Heder, Dax Shepard, Kate Micucci, Bobby Moynihan, Danny DeVito dan Anjelica Huston
TAYANGAN: 15 April 2010
ULASAN: Murshid Eunos



 
Chatroom