Home » » Tidur lena, sarapan berkhasiat

Tidur lena, sarapan berkhasiat

Masa tidur yang berkualiti dan sarapan pagi yang berkhasiat, kurang diambil berat di kalangan mereka yang bekerja disebabkan jadual harian yang sibuk.

Berdasarkan kajian tentang tekanan yang dijalankan pada akhir tahun lalu oleh Magnolia, kira-kira 63 peratus responden yang terdiri daripada golongan muda di negara ini yang tinggal di kawasan bandar di Semenanjung Malaysia selalunya akan tidur selepas pukul 12 tengah malam, manakala 55 peratus daripada mereka sentiasa letih sepanjang masa.

Memahami trend kehidupan golongan muda yang membimbangkan ini, Magnolia baru-baru ini melancarkan kempen gaya hidup sihat 'Good Night, Good Morning'.

Menerusi usaha ini, Magnolia menyeru golongan muda mempertingkatkan produktiviti dan merasa cergas sepanjang hari menerusi satu penyelesaian yang mudah iaitu tidur nyenyak yang mengembalikan tenaga pada waktu malam dan sarapan yang berkhasiat pada waktu pagi.

Menurut pakar panel kempen ini, Dr. Edward Chan, yang juga Perunding Psikologi Prinsipal untuk Persatuan Psikologi Malaysia, rehat yang optimum pada waktu malam dan makanan yang berkhasiat pada waktu pagi merupakan cara terbaik untuk menyediakan diri menghadapi cabaran akan datang.

''Malangnya golongan muda sebanyak mungkin cuba meningkatkan diri setiap hari demi kerja dan persaingan. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kebanyakan mereka terpaksa menanggung terlalu banyak tanggung jawab demi menyara diri dan keluarga. Beban ini pula ditambah dengan kesesakan lalu lintas setiap hari.

''Golongan muda yang bekerja kini hidup dengan bebanan tekanan dan kerisauan membimbangkan yang merupakan faktor utama gangguan tidur pada waktu malam,'' katanya.

Dr. Chan menerangkan, tanpa rehat yang mencukupi pada waktu malam, seseorang itu akan merasa pening dan terganggu sepanjang hari. Emosi pula akan menjadi tidak stabil dan sukar membuat pertimbangan yang jelas.

Akhirnya, mereka mungkin akan melakukan pelbagai kesilapan dan ini hanya akan menambah tekanan dan turut memberi kesan yang lebih serius untuk tidur pada waktu malam.

Selain daripada mendapat kualiti tidur yang optimum, sarapan pagi yang penuh berkhasiat juga penting untuk meningkatkan tahap tenaga dan produktiviti seseorang.

''Malangnya tekanan akan menjejaskan selera makan dan menyebabkan ramai yang tergesa-gesa pada waktu pagi. Akibatnya ramai yang tidak bersarapan tanpa menyedari bahawa tabiat ini membawa keburukan kepada produktiviti harian,'' katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Jenama Magnolia, F&N Dairies (M) Sdn. Bhd., Liew Ching Ching dalam ucapannya semasa majlis pelancaran kempen berkenaan memberitahu, untuk membantu golongan muda yang bekerja supaya dapat mengawal tahap tekanan mereka dan kekal bertenaga, Magnolia menggalakkan dua tabiat gaya hidup yang mudah, iaitu mengoptimumkan masa tidur pada waktu malam dan makan pagi yang berkhasiat pada waktu pagi untuk memulakan hari mereka.



 
Chatroom