Home » » Penyakit Angin Ahmar (Strok)

Penyakit Angin Ahmar (Strok)

Penyakit angin ahmar atau lebih dikenali sebagai strok antara penyakit yang menyerang manusia secara senyap, tanpa sebarang amaran. Malah ramai antara penghidapnya tidak menyedari bahawa mereka mempunyai risiko diserang strok.

Di Malaysia, strok adalah pembunuh yang keempat terbesar selepas jangkitan kuman dalam darah (septisemia), penyakit jantung dan kanser. Berdasarkan statistik, kira-kira 40,000 rakyat di negara ini diserang strok setiap tahun.

Lebih membimbangkan, jika sebelum ini penyakit itu sering dikaitkan dengan golongan berusia, ia kini mula menyerang lelaki dan wanita muda yang berumur di bawah 40 tahun. Bilangannya juga semakin meningkat.

Apa yang pasti, kos rawatan pesakit strok adalah tinggi dan rawatan pemulihan bagi pesakit yang terselamat daripada maut mengambil masa yang panjang dan mahal apatah lagi jika ia dilakukan di luar negara.

Terdapat pelbagai kaedah rawatan strok di negara ini. Antaranya ialah terapi antiplatelet dan penggunaan agen trombolitik seperti alteplas e juga dikenali sebagai pemecah bekuan darah secara suntikan bagi membantu membuka arteri sekiranya berlaku sekatan.

Di samping itu, terdapat juga kaedah rawatan lain seperti terapi Sistem Embolik Cecair Onyx TM (Onyx LES TM) dan relung pasang tanggal Nexus TM (Relung Nexus TM) bertujuan merawat penyakit kecacatan arteri (AVMs) dan aneurisma otak bagi menghalang bagi berlakunya strok pada peringkat awal.

Salah satu kaedah yang cukup berkesan dan popular di luar negara iaitu rawatan serebovaskular kini ditawarkan di Hospital Gleneagles Intan, Kuala Lumpur. Pembedahan itu akan dikendalikan oleh sekumpulan pakar bedah dari Universiti Macquarie, Sydney, Australia diketuai Professor Michael K. Morgan.

Rawatan serebovaskular itu, merangkumi pembedahan pintasan otak atau brain bypass surgery. Pembedahan itu membolehkan darah masuk ke otak menerusi laluan alternatif.

"Proses itu sama seperti pembedahan pintasan jantung. Laluan alternatif yang dilakukan pada salur darah atau sambungan di antara salur darah dari leher ke salur darah di bahagian otak," kata Morgan selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) rawatan pembedahan serebovaskular antara Hospital Gleneagles Intan dan Universiti Macquarie.

Sambungan itu biasanya dibuat dengan menggunakan arteri darah yang diambil daripada kaki atau otot-otot di sekitar kepala.

Nyawa pesakit

Menurut Morgan yang merupakan Penilai Kanan Royal Australian College of Surgeon, pembedahan itu adalakalanya merupakan satu keperluan bagi menambah aliran darah untuk menghalang berlakunya strok. Lagipun aliran darah perlu diganggu bagi menghalang aneurisma atau tumor.

PEMBEDAHAN pintasan otak memberi harapan baru kepada pesakit strok.

Memandangkan pembedahan itu dikategorikan sebagai pembedahan mikro, nyawa pesakit tidak wajar diletakkan di tangan doktor yang kurang berpengalaman.

"Pengalaman sangat penting kerana proses ini melibatkan penyambungan salur darah kecil di bawah mikroskop. Daripada pengalaman kami keseluruhan prosedur hanya mengambil masa tidak lebih 30 minit.

"Sebelum ini, saya kerap berulang-alik ke negara ini sejak 15 tahun lalu kerana mengajar dan melakukan pembedahan. Saya sangat berbesar hati dapat membantu dan menyumbangkan kepakaran saya kepada pakar bedah saraf serta rakyat di negara ini," ujarnya yang pernah melakukan lebih 150 pembedahan setakat ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Intan, Amir Firdhaus Abdullah berkata, kerjasama yang dilakukan membolehkan rakyat di negara ini mendapatkan rawatan berkenaan di dalam negara tanpa perlu ke negara jiran, Singapura dan Australia.

"Secara amnya, kos pembedahan saraf di Australia menelan belanja di antara RM700,000 hingga RM1 juta menyebabkan hanya segelintir sahaja yang mampu melakukannya.

"Bagaimanapun kosnya kini hanya sekitar RM100,000, apatah lagi ia dilakukan oleh sekumpulan pakar yang berpengalaman luas dan diiktiraf," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah melabur sebanyak RM2.5 juta bagi membina dewan pembedahan yang lengkap dengan pelbagai peralatan canggih seperti Sistem Navigasi Laser bagi tujuan itu.

Ujarnya, perjanjian itu akan membawa faedah besar bukan sahaja di kalangan pesakit malah pakar bedah tempatan untuk bertukar-tukar pengetahuan dan bekerjasama dalam teknologi serta kepakaran antara kedua-dua negara.



 
Chatroom