Semuanya kerana kebaya yang dipakainya sewaktu membuat persembahan sempena Malam Gala Ratu: Penghargaan Untuk Wanita Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam ini dikatakan berharga berjuta-juta ringgit.
Bagaimanapun harga sebenar kebaya tersebut hanya akan disahkan dan diumumkan oleh pihak berkenaan pada bulan depan.
Turut hadir menyaksikan malam gala yang turut meraikan ulang tahun kelima Cosry itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman serta Pengasas dan Pengarah Urusan Cosry Wise Sdn. Bhd., Ariff Quasri Md. Nor.
Kebaya rekaan Putra Aziz daripada butik Cosry itu sememangnya begitu eksklusif kerana perinciannya bertatahkan ratusan permata dan berlian jenama Mouawad yang cukup terkenal di dunia.
Dengan harganya yang begitu tinggi, ia sekali gus berjaya diiktiraf sebagai kebaya paling mahal di dunia.
Kerana itu jugalah, kawasan sekitar KLCC juga dikawal ketat dan rapi oleh pihak polis sepanjang persembahan berlangsung.
Sewaktu ditemui selepas majlis berakhir, Sheila tidak dapat menyembunyikan perasaan gementarnya apabila memakai kebaya tersebut.
"Hanya Allah sahaja yang tahu betapa takutnya saya malam ini apabila memikirkan kebaya yang bernilai berjuta-juta ringgit disarungkan ke tubuh saya," ujarnya.
Sementara itu, bagi Putra pula untuk menyiapkan kebaya itu merupakan cabaran yang cukup mengujinya sebagai seorang pereka fesyen.
Apatah lagi apabila memikirkan perinciannya merupakan salah satu jenama termahal di dunia yang seringkali menjadi pilihan selebriti terkenal antarabangsa.
"Saya mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan kebaya ini dan bayangkan, untuk menyiapkannya, setiap gerak-geri saya diperhatikan dan dikawal oleh polis.
"Tidak dapat saya menggambarkan betapa gementarnya saya tetapi Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," jelasnya yang juga Pengarah Eksekutif Kreatif Cosry.
Kebaya itu akan dipamerkan di butik Mouawad yang terletak di Starhill Gallery, Jalan Bukit Bintang di sini dalam waktu terdekat ini.