Home » » Sinopsis dan Ulasan Shutter Island

Sinopsis dan Ulasan Shutter Island

Sinopsis dan Ulasan Filem Shutter Island

Filem: Shutter Island
Genre: Thriller Pengarah: Martin Scorsese Pelakon: Leonardo Di Caprio, Ben Kingsley, Michelle Williams, Mark Ruffalo
Tayangan: Mulai 15 April


Daripada pengarah tersohor, Martin Scorsese, hadir sebuah filem bercorak thriller misteri yang dianggap berupaya membuatkan penggemar filem corak berkenaan melekat di kerusi hingga ke saat akhir.

Shutter Island bercerita mengenai dua Marsyal Amerika Syarikat, Teddy Daniels (Leonardo DiCaprio) dan Chuck Aule (Mark Ruffalo), yang diarahkan menyiasat kehilangan seorang pembunuh wanita, Rachel Solando, dari sebuah penjara yang juga pusat rawatan untuk penjenayah gila.

Di pusat rawatan yang terletak di sebuah pulau itu, Teddy dan Chuck bertemu dengan pengawal, doktor, serta pesakit lain yang membantunya menyelesaikan misteri kehilangan penjenayah berkenaan. Namun, semakin jauh dia cuba membongkar misteri terbabit, semakin banyak kebenaran menakutkan yang ditemui.
Dari babak pembukaan lagi, Shutter Island bagai menjanjikan sebuah kisah yang akan membuatkan penonton tekun mengikuti siasatan dua lelaki ini. Ia dipersembahkan dengan gaya filem thriller era lama, yang tidak berpaksikan nilai-nilai komersial.

Dihasilkan daripada novel tulisan Dennis Lehane, filem ini pada mulanya bagai mengajak penonton mengikuti siri siasatan Teddy dan Chuck, bagaimana seorang penjenayah boleh menghilangkan diri begitu saja daripada biliknya yang ketat terkawal. Begitupun, apabila detik demi detik berlalu, siasatan itu bukan hanya mengenai kehilangan penjenayah wanita berkenaan, sebaliknya lebih jauh daripada itu.

Pengakhiran ceritanya sama-sekali tidak seperti mana yang penonton jangkakan. Kebijaksanaan si sutradara menyimpan rahsia sehingga ke akhir cerita membolehkan penonton berteka-teki sendiri, apakah yang sebenarnya terjadi?

Pada ketika pembongkaran dilakukan Teddy, ketika itu juga dia diganggu pelbagai kenangan masa lalu. Dia terbayangkan bagaimana isterinya terbunuh dalam kebakaran yang dilakukan seorang lelaki, yang turut berada di pulau terbabit. Dia diganggu bayangan anak-anak Rachel yang kononnya mati dibunuh ibu mereka sendiri.

Ditambah elemen debaran lain sepanjang proses siasatan dijalankan, penonton sebenarnya dipaksa kaku di kerusi, sibuk memikirkan jawapan pada persoalan yang membelenggu diri Teddy serta semua kejadian di pusat tahanan berkenaan. Diri penonton sendiri bagai tertekan dengan segala kekacauan yang disaksikan menerusi filem sepanjang 138 minit ini.

Begitupun, andainya penonton berhati-hati melihat segala petanda yang diberikan sejak minit pertama filem, tidak sukar untuk mereka mendapatkan jawapan kepada misteri yang cuba dibongkar Marsyal ini.

Shutter Island bukan sekadar kuat dari segi penceritaan, malah kehadiran beberapa pelakon hebat seperti Leonardo DiCaprio, Ben Kingsley dan Michelle Williams. DiCaprio kian menunjukkan lakonan yang matang, sesuai pengalaman dipungut pelakon itu selama ini.

Watak pegawai Marsyal yang tertekan dengan kejadian masa silam, kini berdepan misteri yang sukar diselesaikan di pusat rawatan untuk penjenayah gila, bukan calang-calang cabaran. Namun aktor berusia 35 tahun dari California itu mampu melaksanakan tuntutan berkenaan sebaik mungkin.

Cuma, sayang sekali apabila seorang lagi pelakon berbakat, Mark Ruffalo, bagai tidak diberikan ruang secukupnya untuk menyaingi persembahan rakannya tadi.

Begitu juga Shutter Island yang mengambil masa lebih dua jam untuk selesai tayangan dirasa agak panjang bagi sebuah filem misteri. Dek keadaan penonton yang berada dalam tekanan sepanjang tayangan, ia seharusnya dipendekkan sedikit supaya penonton mampu cepat-cepat dapat menarik nafas sebaik saja keluarnya tulisan kredit.



 
Chatroom