Karyawan seni dengan pengkhususan pelakon komedi dianggap istimewa. Menyaksikan wajah mereka sahaja, spontan kita mampu ketawa sehingga tidak kering gusi. Itu uniknya pelawak yang menyihir audiens melalui atmosfera semasa, aksi spontan, slapstik atau menggunakan peralatan.
Mengambil contoh beberapa pelawak masyhur dari Barat - Rowan Atkinson, Jim Carrey, Eddie Murphy, Steve Martin, Robin Williams, Bill Cosby, Keenen Ivory Wayans, Joan Rivers, Richard Pryor dan Bob Newhart, setiap daripada mereka menjadi produk paling mahal.
Maka, tidak hairan apabila nama-nama itu dilayang pelbagai apresiasi. Ada yang memainkan peranan utama dalam filem biarpun sudah melangkau usia emas. Tidak terkecuali, mereka ditawar peluang mengepalai program bual bicara sendiri. Tanpa banyak soal, pelawak antarabangsa dijulang sama darjat dengan selebriti tersohor Hollywood lain.
Begitupun, jenaka pelawak tanah air tidak kurang hebatnya. Deretan nama besar seperti Datuk Aziz Sattar, S. Shamsudin, M. Zain, Ahmad Nisfu, A.R. Tompel dan Ibrahim Din dicantumkan antara tukang lawak veteran. Mereka sinonim dengan himpunan filem komedi arahan Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee sejak lebih lima dekad lalu.
Selari peredaran masa, muncul pula nama lain seperti Hamid Gurkha, Datuk Ali Mamak, Datuk Jamali Shadat, Zaibo, Param, Acapan, Maidin Ibrahim, A.R Badul, Mr. Os, Abon, Yusof Chong, Salih Yaakob, Isma Alif, Imuda, Ahmad Busu, Zami Ismail dan Allahyarham Din Beramboi.
Selain itu, M. Rajoli, Jalil Hamid, Bob Lokman, Harun Salim Bachik, Sulaiman Yassin, Radhi Khalid, Afdlin Shauki, Harith Iskander, Helmi The Gimmick, Shamsul Ghau-Ghau, Sabrie Yunus, kumpulan Senario, Yassin Yahya, Saiful Apek, Nabil, Johan, Zizan dan ramai lagi turut mengharumkan dunia humor.
Bukan sekadar tukang lawak lelaki, golongan wanita juga boleh menjadi pelawak. Meskipun bilangannya tidak mampu menyaingi pelakon komedi lelaki yang lebih mendominasi skrin televisyen atau layar perak, mereka tetap punya pesona.
Antara pelawak berbakat besar yang pernah dan masih menghibur hati rawan penonton ialah Yusni Jaafar, Ruminah Sidek, Norlia Ghani, Wan Maimunah, Sheila Rusly, Syanie, Raja Azura, Adibah Noor, Enot, Didie Alias, Sharifah Shahira, Noorkhiriah dan Kenchana Devi.
Mengikut logik, pemain watak komedi tempatan punya masa depan cerah. Alasan relevannya, tidak banyak persaingan menanti di laluan depan mereka. Situasi itu dapat dibuktikan apabila ramai lebih teruja hendak bergelar penyanyi atau pelakon berbanding tukang lawak, khususnya golongan muda-mudi sekarang.
Namun, mereka berdepan malang dan keterbatasan menempatkan diri di gelanggang seni. Bayangkan apabila pelawak dilabel kasta tertentu. Lebih buruk lagi, mereka sentiasa berada dalam kelas kedua, yang selayaknya muncul pada acara selingan sesebuah acara formal hiburan atau program tertentu.
Bukan itu sahaja, hasil buah fikiran dan kreativiti individu-individu sealiran kerjaya tersebut dibayar dengan jumlah kurang masuk akal. Tetapi, suka atau tidak, para pelawak harus menelan kepahitan demi meneruskan kelangsungan hidup.
Berkongsi pengalaman sebagai seniman versatil, Aziz Sattar, 85, meluah kekesalan apabila pelawak sering berdepan situasi didiskriminasi oleh sebilangan pihak.
"Kita selalu lihat pelakon dan penyanyi dibayar lebih banyak daripada pelawak. Benda ini kurang adil kerana artis hanya menghiburkan peminat dalam masa lima hingga 10 minit. Sedangkan tukang lawak berceloteh sampai 30 minit bagi membuatkan penonton ketawa.
"Cuma saya lihat dalam soal ini ada pro dan kontra. Kalau diperhatikan, jangka hayat pelawak lebih lama dalam bidang seni sampai ambil 30 hingga 40 tahun. Jauh berbeza dengan pelakon atau penyanyi yang boleh bertahan hingga 10 atau 20 tahun saja.
"Terus-terang, saya masih amal konsep seperti dilakukan P. Ramlee di Jalan Ampas sebelum ini. Melibatkan diri dalam lapangan ini dimulakan dengan nawaitu. Seni bukan untuk wang, ia sebaliknya bagi merawat hati masyarakat.
"Sedikit kesal apabila ada sesetengah penggiat seni tidak ada fikiran macam ini. Tetapi tidak boleh juga salahkan mereka 100 peratus. Mungkin inilah waktu paling sesuai mengumpul wang sementara nama masih di puncak populariti.
"Yang pasti, sikap bertolak ansur ini sedikit sebanyak kena ada dalam diri masing-masing. Jangan terlalu mementingkan diri semata-mata," katanya sambil menyokong program Raja Lawak yang berperanan mencungkil bakat-bakat baru menjadi pewaris pelawak.
Sambung Aziz yang pernah berlakon dalam filem Nujum Pak Belalang pada tahun 1959, khalayak berfungsi menghakimi bakat sebenar tukang lawak agar mereka kekal berada dalam liga tersendiri.
"Sama halnya dengan program realiti TV Akademi Fantasia yang sudah memasuki tahun kelapan. Kita sendiri tahu tidak semua bekas peserta termasuk juara-juara rancangan ini terus berada dalam industri ini.
"Masyarakat seharusnya sokong individu-individu disukai sebelum ini. Mereka kena konsisten memberi perangsang kepada artis kegemaran masing-masing. Satu sikap kurang bagus dalam komuniti kita apabila minat mereka gemar berubah mengikut keadaan.
"Kalau ada orang baru, yang lama pula dilupa begitu saja. Oleh itu, pelawak-pelawak sedia ada kena cari ketulenan sendiri agar nama mereka tidak hilang walaupun kemunculan bakat-bakat baru lebih berkualiti.
"Jangan sampai lakukan transisi jauh berbeza. Cukuplah tonjolkan kelainan walaupun sedikit asalkan khalayak tidak lekas jemu menyaksikan corak persembahan kita. Tukang lawak baru ini juga boleh menjadikan pelawak senior sebagai rujukan mereka," jelas Aziz yang pernah dihampiri kumpulan Sepah meminta tunjuk ajar dan kata-kata hikmah daripadanya sebelum ini.
Pembahagian kelas
Pendapat peribadi pelawak yang mempunyai pengalaman berpuluh-puluh tahun menggembirakan jiwa penonton, Datuk Ali Mamak agak berbeza.
Menurutnya, pembahagian kelas tertentu terhadap golongan pelawak memang wujud. Namun, sebagai anak seni, mereka harus melihat kekurangan diri sebelum melatah tidak tentu fasal.
"Saya tidak salahkan sesiapa dalam keadaan ini. Kita sebaliknya kena meninjau diri sendiri kerana peminat yang berada di bawah pentas sentiasa menilai mutu kerja pelawak. Jangan sesekali perasan kita hebat sampai melupakan apa disukai atau tidak digemari orang lain.
"Peminat kini bijak mentafsir apa yang dihidangkan kepada mereka. Kalau penyanyi menyanyi, sedikit sebanyak mereka tahu mana yang kedengaran merdu atau sumbang. Sama juga dengan tukang lawak yang buat persembahan.
"Kalau berkali-kali sebut kepala otak kau semasa berlawak, pasti timbul keraguan terhadap diri audiens tentang apa yang cuba disampaikan dalam sketsa ini. Saya tidak menyalahkan mereka. Tetapi bertanya sendirian, perlukah diulang banyak kali ayat sama," jawab Ali yang melihat dirinya selama ini sebagai seorang pelawak dan bukan pelakon.
Menyimpulkan seluruh definisi pelawak, Ali Mamak menganggap insan-insan dikurniakan bakat melawak umpama pendakwah yang melampias mesej tersendiri dalam pertunjukan masing-masing.
"Jangan senang beri jolokan pelawak nombor satu negara kepada sesiapa melainkan P. Ramlee yang kita sudah tahu kemampuan Allahyarham selama ini. Pelawak ibarat produk hiburan. Kalau bagus, orang akan beli. Mereka juga dianggap taukeh kerana menentukan hala tuju sendiri dengan stail melakukan aksi komedi.
"Sekarang ramai yang buat lawak daripada melawak. Tiada gunanya kalau berlawak semata-mata dengan tiada bahan sebagai pengisian," terangnya yang tidak mampu menolak persepsi orang di sekeliling dia memiliki wajah kelakar walaupun sedang berbicara serius.
SHARIFAH SHAHIRAH merupakan antara pelakon komedi yang terus menyerlah walaupun disaingi muka-muka baru.
Ironinya, bukan mudah melunaskan tanggungjawab pelawak terutama mereka yang menitikberat profesionalisme mengenengah jenaka dan komedi masing-masing. Lawak kepada sesetengah orang mungkin sekadar berhibur. Tetapi bagi sebilangan lainnya, mereka inginkan pengisian.
Dalam konteks ini, sesiapa sahaja boleh bergelar pelawak. Cuma dalam bahasa lebih dekat, pentauliahan untuk digelar pelakon komedi tidak harus bermulut celupar dan bersifat pembuli. Malah, tidak perlu menjadi badut dalam pertunjukan sarkis. Mereka sebaliknya perlu menjadi insan kreatif agar peminat tidak jelik mendengar telatah dan gelagat tukang lawak.
Andai pelawak bijak mengisi canda dan jenaka, kemungkinan untuk terus berada di gelanggang lawak pasti menyebelahi diri. Tetapi, kalau setakat humor basi, merapu-meraban dan tiada kreativiti dipersembahkan, nampaknya hayat mereka boleh berakhir sepantas mungkin tanpa disedari.
Oleh FAIZAL SAHARUNI