Home » » Buku Selera Malaysia Chef Wan

Buku Selera Malaysia Chef Wan

Buku Selera Malaysia Chef Wan adalah buku terbaru dihasilkan dan ia diabadikan khusus buat ibu tercinta, Noraini Abdullah, yang mencapai usia 80 tahun serta sempena meraikan ulang tahun ke25 tahun pembabitan Chef Wan dalam industri masakan.

Melalui buku itu, Chef Wan berkongsi 138 resipi dari seluruh Malaysia. Antara hidangan yang dipaparkan adalah masakan kegemaran keluarga dan juga masakan kegemaran yang didapati di kedai atau pun gerai makanan.

"Masakan yang didapati di kedai atau gerai adalah sebahagian daripada budaya pemakanan negara ini. Kini, makanan itu menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita," kata Chef Wan.

Katanya, kebanyakan resipi di dalam buku itu adalah kegemarannya. Justeru, memang sukar baginya untuk memilih resipi yang mana patut dimasukkan di dalam buku itu untuk dikongsi bersama pembaca.

Buku berkenaan mengandungi enam kategori hidangan yang dipilih khas daging, ayam dan itik, ikan dan makanan laut, kerabu dan sayuran, nasi dan mi serta sup.

Pembaca akan mendapati hidangan Malaysia yang klasik seperti kerutub daging terengganu, sotong goreng gaya nyonya serta nasi ulam dan juga hidangan khas dari rantau ini seperti ayam Chettinad, gulai daging Siam dan bihun goreng tom yam.

"Pembaca akan menjumpai resipi daripada budaya yang berbeza-beza, contohnya, laksa Peranakan, mi rebus, soto ayam, nasi kunyit, rendang, ketam cili dan ayam panggang. Semua resipi sudah disempurnakan di dalam dapur saya sendiri," katanya.

Buku itu sudah pun berada di pasaran sejak Ogos lalu pada harga RM79.90 senaskah.


Mengenali lebih dekat Chef Wan

* Dilahirkan di Singapura pada 1958.

* Anak sulung dalam tujuh beradik.

* Mula memasak ketika berusia 13 tahun apabila menolong makcik dan jiran sewaktu kenduri kahwin dan sambutan yang lain.

* Mempunyai dua cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan manakala cucu, seorang.

* Mempunyai kelayakan sebagai akauntan tetapi menunjukkan minat tinggi dalam bidang masakan dan akhirnya menjadi chef profesional.

* Mempunyai ijazah dalam Latihan Profesional dan Pengurusan Hotel dari California Culinary Academy di San Francisco, Amerika Syarikat.

* Memiliki Diploma Ritz Escoffier dari Ritz Hotel di Paris.

* Chef pertama di Malaysia yang dikurniakan gelaran Datuk.

* Dilantik menjadi Duta Kulinari oleh Pelancongan Malaysia pada November 2010.

* Pada 2011, menerima gelaran Icons of Malaysia, anugerah diberikan oleh Malaysia Book of Records kepada rakyat Malaysia yang terkemuka.

* Pada 2009, mendapat pengiktirafan tertinggi sebagai chef apabila memenangi gelaran Best Celebrity Chef Award di Gourmand World Cook Book Awards.

* Pada 2007, menerima anugerah Lifetime Jury Award di Prix La Maxille sebagai sumbangan duta kulinari.

* Sehingga kini sudah menjadi hos bagi beratus-ratus rancangan masakan dan menulis beberapa buah buku masakan.

* Walaupun pakar memasak, makanan istimewa dan paling digemari Chef Wan ialah nasi goreng yang dimasak oleh ibunya.



 
Chatroom