Home » » Belanja jangan sampai pokai

Belanja jangan sampai pokai

Belanja jangan sampai pokai

Masuk hari gaji, pening kepala masih tidak berkurang. Masakan tidak, pada waktu itu jugalah masalah di luar jangkaan seperti kereta rosak dan sebagainya mula timbul. Itu belum diambil kira bayaran sewa, bil perubatan, air, elektrik dan sebagainya. Menambahkan sakit kepala dan kempis poket, ialah wang yang diperlukan untuk keperluan persekolahan anak-anak dan keperluan tambahan yang lain.

Ada ketikanya pula, walaupun tiada perkara yang perlu dibayar, duit mengalir hilang entah ke mana. Bila dah tengah bulan baru nak fikir pasal bajet lari.

Akan tetapi, sedarkah anda bahawa masalah kewangan bagi kebanyakkan yang dihadapi sebenarnya dapat diatasi sekiranya kita bijak mengatur perjalanan kewangan? Pastikan Haluan Wang Anda - Langkah pertama mengatur kewangan adalah dengan menentukan ke mana hala tujunya. Catat semua pembiayaan atau perbelanjaan yang perlu dikeluarkan bersama jumlahnya setiap bulan.

Antara perkara yang perlu dipertimbangkan ialah:

1 Pembiayaan tempat tinggal sama ada disewa atau pemilikan tetap. Ini juga merangkumi pembiayaan untuk perbelanjaan rumah seperti elektrik, air, insurans rumah, makanan mahupun hiburan.

2 Senaraikan kategori-kategori yang sesuai dengan gaya hidup anda. Misalnya kategori berhubung pendidikan, perjalanan harian atau pembiayaan khusus.

3 Agihan yang melibatkan jumlah besar yang perlu dibayar secara berkala seperti insurans.

Jangan Main Bayar, Pastikan Tujuannya - Jika semuanya sudah disenaraikan dalam satu data, hitungkan untuk mendapatkan jumlah perbelanjaan. Kemudian kenal pasti jumlah pendapatan anda pada setiap bulan.

Jangan lupa untuk menyenaraikan pendapatan lain misalnya bonus, dividen dari pelaburan dan sebagainya. Apabila segalanya telah jelas, maka lebih mudah untuk anda mengesan lebihan perbelanjaan dan lebihan pendapatan. Akhirnya, anda boleh melihat ke mana wang tersebut bakal digunakan. Bahagikan kepada beberapa bahagian. Kirakan juga pembiayaan-pembiayaan yang tidak diduga misalnya untuk tujuan kecemasan.

Jangan lupa:

1 Tabungan hari tua atau persaraan

Biarpun mempunyai pencen mahupun KWSP, ini bukan bermakna anda boleh berpuas hati dengan apa yang ada. Jalan selamat ialah dengan memperuntukkan sejumlah wang bagi tujuan tersebut.

2 Sediakan tabung darurat atau kecemasan

Biarpun tampak berat, namun anda harus melakukannya. Tabung darurat adalah penyelesaian paling selamat untuk membantu anda kelak.

Biasa itu berbisa - Kategori bagi setiap aliran wang telah anda lihat. Kini, awasi kebiasaan anda kerana ia mungkin menjadi punca kepada tabiat kewangan anda.

Televisyen berbayar atau internet - Adakah ianya merupakan keperluan utama anda? Adakah anda perlu melanggan semua pakej yang ditawarkan? Adakah perlu meletakkan penggunaan internet tanpa had?

Mengeluarkan wang tunai yang banyak - Apakah anda tergolong dalam individu yang sering mengeluarkan hampir keseluruhan wang sebaik sahaja menerima gaji? Apakah kegunaan atau keperluannya? Adakah anda mengawal perbelanjaan anda apabila melihat wang yang banyak di tangan?

Kad kredit - Adakah kad kredit merupakan keperluan untuk anda? Sejauh mana anda mampu mengawal tabiat berbelanja dengan menggunakanya? Mampukah anda melangsaikan hutang tersebut?

Alah Bisa Tegal Biasa - Kewangan yang cemerlang memerlukan masa dan kemahuan. Jadi jangan mudah berputus asa jika bulan pertama masih belum menampakkan hasil.

Cari perkara yang boleh dijadikan panduan. Antaranya:

1 Tuliskan, jika tidak anda pasti terlupa dan tidak mematuhi peraturan yang telah dibuat.

2 Ketika anda mempunyai rezeki lebih, anda boleh buat pelaburan atau membayar hutang-hutang besar. Selain itu, tidak salah jika anda meraikannya bersama keluarga atau dijadikan penghargaan untuk diri sendiri.

3 Biasakan diri untuk berfikir ke depan. Jika anda mengetahui situasi akan berubah, misalnya bakal menimang cahaya mata, maka rencanakan kewangan anda ke arah itu bagi memudahkan anda kelak.

4 Ketika perbelanjaan mula meningkat, tinggalkan perkara yang tidak penting seperti berhibur, makan di restoran yang mahal, membeli barangan berjenama dan sebagainya.

Jangan biarkan masalah kewangan membelenggu diri anda. Kawal perbelanjaan anda dan mulalah mencari pendapatan-pendapatan tambahan untuk meningkatkan tahap kewangan anda.

Mahu tidak mahu, anda perlu merancang kewangan peribadi anda dengan baik. Untuk merancang dengan betul sudah tentu anda perlu mempelajari ilmu tersebut. Di dalam perancangan kewangan, anda akan melihat bagaimana perlunya menyediakan bajet atau belanjawan, menabung dan bagaimana anda membelanjakan wang anda sepanjang masa.

- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK



 
Chatroom