Home » » Didik keluarga bijak kendali kewangan

Didik keluarga bijak kendali kewangan

Didik keluarga bijak kendali kewangan

Satu ketika dulu ketika sedang mengeluarkan duit dari mesin ATM, anak bongsu saya ketika itu masih setahun jagung mengatakan papanya dapat duit `free'! Mesin ATM terbabit memberi duit secara percuma kepada sesiapa saja yang memasukkan kad dan menekan butang pada skrin. Alangkah bahagia sekiranya ia benar!

Sebagai seorang dewasa, kita sudah biasa dengan perihal kewangan kerana ia menjadi sebahagian besar dalam hidup kita sejak mula bekerja sehingga kita terlupa mendidik anak kecil sehingga remaja mengenai asas wang.

Si kecil pastinya tidak tahu wang yang keluar di mesin ATM adalah hasil kerja kita pagi hingga petang setiap hari. Anak remaja juga pasti tidak tahu telefon pintar yang dibelikan si ayah menggunakan kad kredit perlu dibayar faedah sehingga 18 peratus daripada harga asal.

Akibat tidak didedahkan pada konsep kewangan dan penggunaan wang yang bijak, ramai muda-mudi hari ini diisytiharkan muflis. Jumlahnya agak menakutkan!

Apabila berkeluarga, tanggungjawab ibu dan ayah untuk mendidik asas perihal kewangan kepada anak. Di tadika, sekolah rendah hingga sekolah menengah, sememangnya tiada atau sekiranya ada pun, amat kurang pendedahan bijak membelanjakan wang kepada anak-anak.

Sememangnya satu masa dulu, berbincang mengenai wang dianggap sebagai sesuatu yang dilarang dalam sesebuah keluarga, namun hari ini amat penting untuk berbincang mengenai wang dari anak kecil sehingga remaja, bersama suami dan isteri kerana kos sara hidup hari ini semakin tinggi.

Pesanan kepada anak kecil:

Dedahkan asas kewangan kepada si kecil. Galakkan mereka menyimpan wang siling dan menabung. Beri mereka peluang untuk menggunakan wang dan lakukan bayaran di kedai apabila membeli sesuatu seperti gula-gula atau coklat yang mereka mahu. Pendedahan awal transaksi wang dan barangan akan membantu mereka faham untuk mendapatkan sesuatu (beli), perlu memberi sesuatu yang lain (bayar).

Apabila si kecil membesar dan lebih mengenali wang, dedahkan mereka kepada bajet dalam kewangan. Berikan sejumlah wang seperti RM5 seminggu sebagai bajet mereka membeli gula-gula atau coklat dan hanya terhad kepada jumlah itu saja sepanjang minggu. Ini mengajar mereka asas bajet!

Pesanan kepada anak remaja:

Anak remaja semakin bijak dan boleh didedahkan dengan perkara yang lebih rumit mengenai kewangan. Mulakan dengan menggalakkan mereka menyimpan rekod segala perbelanjaan dan pendapatan daripada ibu dan ayah dalam buku rekod atau dalam aplikasi telefon pintar.

Setiap minggu, perlu imbangkan perbelanjaan dan pendapatan seterusnya laporkan kepada anda baki yang tinggal.

Perkenalkan konsep simpanan dan kadar keuntungan atas simpanan dan pelaburan. Tidak lupa juga dengan faedah yang dikenakan atas pinjaman kereta, rumah dan kad kredit. Memahami konsep kewangan di usia yang muda pasti akan membantu mereka ketika melangkah ke alam bekerja.

Pesanan untuk isteri:

Selalunya wanita lebih bijak dalam mengendalikan kewangan. Sifat wanita yang lebih berhati-hati dengan kewangan membuatkan kaum isteri terbaik menguruskan wang. Dalam keluarga, perlu ada salah seorang - suami atau isteri - mengendalikan dan memantau kewangan keluarga.

Jadikan aktiviti berbincang mengenai wang sebagai satu rutin sebulan sekali atau sebulan dua kali untuk memberi gambaran kewangan keluarga kepada anak-anak. Tidak semestinya semua maklumat terperinci mengenai wang perlu diketahui anak-anak, tetapi memadai mereka turut terbabit dalam perkara kewangan seperti bajet untuk bercuti, simpanan untuk membeli-belah serta perbelanjaan musim perayaan. Ibu boleh jadikan perbincangan kewangan sebagai aktiviti yang menyeronokkan dan tidak membosankan.

Pesanan untuk suami:

Sebagai ketua keluarga, perlu menunjukkan contoh terbaik dalam mengendalikan kewangan. Mengajar si kecil berjimat dan anak remaja untuk merekodkan kewangan dan menjadi bijak wang tidak akan bermakna sekiranya si ayah boros dan tidak endahkan perihal kewangan. Ketuai keluarga dalam perihal kewangan dengan memberi contoh yang baik.

Untuk menjadi bijak wang, perlu sama ada kurangkan perbelanjaan, tambahkan pendapatan atau kedua-duanya sekali. Cari peluang dan ruang untuk berjimat kewangan keluarga. Juga, fikirkan peluang dan ruang dalam menjana pendapatan tambahan.

Menjadi kuat sekiranya terdapat sebarang masalah kewangan dan mencari penyelesaian terbaik bagi apa saja masalah antara sifat ketua keluarga yang hebat.

Perihal kewangan menjadi tanggungjawab keluarga bersama. Mengamalkan tabiat kewangan sihat dari kecil hingga dewasa akan membuatkan institusi kekeluargaan lebih rapat dan harmoni. Memang tidak dinafikan antara punca keretakan rumah tangga adalah isu kewangan. Oleh itu, seperti penyakit, pastikan sebelum terkena, segala langkah untuk menghindarinya sudah dilakukan.

Oleh Irfan Khairi
Sumber: Harian Metro



 
Chatroom