Home » » Jangan salah guna Internet

Jangan salah guna Internet

Jangan salah guna Internet

Internet merupakan salah satu medium yang penting pada zaman ini dimana semua urusan dapat dilakukan di dalam sekelip mata tidak kira untuk mencari informasi mahupun isu-isu yang ingin diketahui. Ia digunakan oleh semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau pun muda.

Kebebasan penggunaan internet menyebabkan wujud sebahagian individu-individu yang tidak bertanggungjawab dan biadap. Kesan kebiadaban di dunia siber memberi kesan terhadap rakyat di Malaysia yang berbilang kaum serta agama.

Kebebasan yang disalahertikan dan penyalahgunaan medium utama ini boleh menyebabkan kucar kacir serta perbalahan antara kaum serta melemparkan kata-kata kesat yang tidak berperikemanusiaan antara satu sama lain.

Segelintir rakyat di Malaysia kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan "kebebasan bersuara" yang telah digariskan oleh kerajaan serta falsafah demokrasi sehingga ada di antaranya yang menyalahertikan sebagai kebebasan mutlak bersuara.

Undang-undang Malaysia seperti Akta Hasutan Seksyen 2 dan 3 (1) yang mengatakan bahawa setiap perbuatan, percakapan, atau penerbitan tidak dianggap hasutan selagi ia tidak mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan kebencian terhadap mana-mana pihak.

Perkara ini menerangkan bahawa setiap individu diberikan kebenaran untuk meluahkan pendapat mereka selagi tidak menimbulkan syak-wasangka daripada mana-mana pihak lain supaya sejarah lama tidak akan berulang contohnya seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969. Pastinya ia akan memberi satu tamparan buruk serta pengalaman pahit yang tidak mahu diulangi oleh semua orang.

Remaja-remaja Golongan Y harus belajar dan dididik untuk tidak terjebak dengan kebiadapan sebegini kerana mereka merupakan waris pemimpin masa depan kita.Golongan ini seharusnya dididik dengan perlembagaan negara serta nilai-nilai murni yang perlu diterapkan dalam pemikiran setiap insan serta menghormati satu sama lain sekiranya mereka mahu diri mereka dihormati.

Pada masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet Facebook, My Space, Friendster dan sebagainya yang mudah diakses oleh masyarakat menjadikannya satu medium untuk mengisi kekosongan waktu bagi kebanyakkan orang. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di Malaysia.

Penggunaan laman sosial seperti Facebook yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut.

Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini terjadi kerana terdapat banyak kes penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan.

Penggunaan laman sosial yang keterlaluan juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan tenaga kerja yang kurang berkualiti.

Kesan penggunaan laman sosial yang tidak terkawal turut menyebabkan berlakunya penyebaran pornografi yang mudah didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan, gambar dan video mudah diakses, dan disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut.

Penggunaan laman sosial dengan tidak bijak dapat mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral masyarakat.Kesimpulannya, penggunaan laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama.

Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat di seimbangkan tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.

* Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com








 
Chatroom