Home » » Tekad kuruskan badan kerana si gadis

Tekad kuruskan badan kerana si gadis

Tekad kuruskan badan kerana si gadis

Dalam keluarga hanya dia seorang berbadan besar sehingga pernah mencecah 129 kilogram. Ketika itu masalah paling utama adalah peluh berlebihan sehingga menyebabkan bau kurang menyenangkan. Lebih menyedihkan setiap kali keluar, ada rakan melemparkan kata-kata sinis, Mohd Azizol Abdul Aziz memakai selimut disebabkan pakaian besar yang dikenakan setiap hari.

"Hal ini amat memberi tekanan pada saya, apatah lagi melihat rakan sebaya ketika itu sudah mempunyai teman wanita menyebabkan saya berasa ada kekurangan pada diri disebabkan berat badan yang dimiliki ketika itu," katanya.

Sama seperti remaja lain, ketika di sekolah menengah Azizol sering memikirkan untuk kurus dan pernah mencuba ubat kurus diberikan kakak pada tingkatan lima.

"Tetapi saya merasakan ubat kurus itu memberikan kesan tidak baik kerana muka saya selalu pucat di sekolah dan ada guru bertanya sama ada saya mengambil sebarang ubat pelangsing. Sejak itu saya terus menghentikan ubat kurus berkenaan," katanya.

Mohd Azizol Abdul Aziz

Menceritakan kisah berat badannya mulai bertambah, ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat Universiti Teknologi Mara Kelantan ini, dia mula mengalami obesiti sejak dilahirkan.

Sebagai anak bongsu, Azizol mengakui dia sangat dimanjakan dengan pelbagai jenis makanan. Ditambah pula apabila ibu berniaga makanan seperti nasi minyak, lauk-pauk dan minuman manis menyebabkan dia tidak dapat mengelak untuk menikmatinya.

"Dalam keluarga hanya saya seorang berbadan besar. Mungkin kerana anak bongsu, saya mewah dengan makanan dan makan apa saja terutama makanan berlemak, berminyak dan manis. Makanan kegemaran saya ialah makanan ringan seperti ais krim, daging burger, kentang goreng dan air berkarbonat.

"Tiada siapa yang mampu mengawal pemakanan kerana apa yang saya inginkan pasti akan diperoleh dengan mudah. Hal ini menyebabkan saya terus membesar sehinggakan berat saya mencecah 90 kilogram ketika berumur sembilan tahun," katanya.

Oleh kerana Azizol langsung tidak menjaga pemakanan, dia makan apa saja tanpa memikirkan kesannya. Bayangkan setiap kali makan dia berjaya menghabiskan tiga pinggan nasi untuk makan tengah hari manakala malam dengan nasi berlauk.

Kemuncak perubahan pada diri Azizol apabila dia mula meminati seorang gadis ketika melanjutkan pelajaran di peringkat diploma. Orangnya cantik dan bertubuh kecil malah dia selalu mengambil berat mengenai diri Azizol.

"Walaupun dia tidak malu berkawan dengan saya, saya pula yang malu berjalan dengannya. Ditambah pula dengan hinaan kawan-kawan dan saudara-mara, saya tekad menguruskan badan sekali gus membuktikan saya juga boleh kurus. Sebab itulah saya mula berfikir untuk merubah 100 peratus demi keluarga dan paling penting kesihatan diri," ujarnya.

Perjalanan Azizol bermula pada November tahun lalu apabila teman sebilik mengajaknya melakukan riadah bersama.

"Saya tahu memang mustahil untuk berjoging dengan berat badan yang besar, sudah tentu ia menyukarkan. Oleh kerana tidak mahu menghampakan harapannya, saya ikut juga. Tidak sampai 100 meter wajah saya pucat manakala nafas tercungap-cungap.

"Ia membuatkan saya sedar yang diri saya memang terlalu besar lantas saya tekad membuat perubahan drastik menguruskan badan. Ketika melayari Internet, saya bertemu laman sesawang kevinzahri.com yang berkisar mengenai kecergasan dan pengalamannya mengurangkan berat badan," jelasnya.

Azizol bukan setakat mendapatkan panduan dari laman sesawang semata-mata sebaliknya mengawal pengambilan makanan. Pada mulanya amat susah mengubah corak pemakanan kerana nasi makanan ruji orang Malaysia. Namun jejaka berusia 21 tahun ini tekad mencuba dengan menukar corak pemakanan, tidak mengambil nasi dan menggantikan dengan bijirin.

Disiplin tinggi

"Pagi biasanya saya mulakan dengan dua gelas air suam, roti, biskut atau bijirin. Tengah hari pula dengan segenggam nasi bersama lauk dan sayur manakala malam hanya sup ayam atau sup sayur. Kini saya gemar makan bijirin untuk menghilangkan rasa ketagih kepada nasi.

"Sayur, telur, ayam dan daging juga menjadi makanan utama saya sekarang kerana sangat mengenyangkan. Saya juga tinggalkan semua makanan manis seperti kuih-muih dan mula mengambil air suam. Saya tidak makan sebarangan kerana takut kembali seperti dulu.

"Untuk senaman setiap hari saya luangkan masa kira-kira dua jam dengan berjoging, skipping dan latihan angkat bebanan. Saya juga masih meneruskan latihan kecergasan lima hari seminggu untuk pemulihan otot.

"Latihan kecergasan ini harus selari dengan pengamalan diet seimbang untuk mempercepatkan proses penurunan berat badan," katanya yang berjaya menurunkan berat badan sehingga 54 kilogram dalam masa lima hingga lapan bulan menjadi berat ideal 75 kilogram.

Daripada ukuran baju XXXL dan saiz seluar 42 inci, kini Azizol sudah mampu memakai baju berukuran M dan seluar berukuran 30 inci.

Dia juga mengakui perubahan paling ketara apabila dia tidak lagi berpeluh serta mengeluarkan bau badan yang tidak menyenangkan. Keluarga dan kawan semakin gembira menerima perubahan ini. Kadang-kadang ada juga yang ingin berkenalan lebih rapat.

Kini Azizol sangat berpuas hati dengan berat badan yang dimilikinya ini. Baginya untuk kurus sebenarnya tidak memerlukan kawan-kawan kerana penggerak utama ialah diri sendiri, mengamalkan senaman dan diet seimbang. Namun tidak salah mengambil makanan tambahan.

"Contohnya saya ada mengambil makanan tambahan pembakar lemak pada bulan pertama tetapi untuk bulan seterusnya, saya mencuba secara semula jadi. Alhamdulillah tiada masalah malah ia berjaya. Mengenai makanan tambahan, saya terfikir untuk mengambil whey protein bagi memulihkan otot dan menaikkan jisim otot yang hilang. Ini kerana saya bercita-cita mendapat- kan badan seperti model kecergasan suatu hari nanti," ujarnya.

Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, Azizol menasihatkan supaya membuat pelbagai kajian misalnya melalui buku dan Internet serta bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman. Ingat, untuk gemuk mengambil masa bertahun-tahun, begitu juga kurus memerlukan masa yang panjang.

10 tip Azizol:

1. Kurangkan pengambilan karbohidrat dalam makanan serta memperbanyakkan protein dan sayuran.

2. Amalkan pengambilan bijirin bukannya nasi.

3. Latihan kardio lima kali seminggu selama satu jam 30 minit sehari.

4. Latihan pemberat 30 minit sehari.

5. Mencuba pelbagai diet.

6. Tinggalkan semua makanan segera.

7. Tidur lapan jam sehari.

8. Amalkan air mineral dalam kehidupan.

9. Pastikan ada penimbang bagi memantau berat badan.

~ Majalah Metro



 
Chatroom