Home » » Budak umur 5 tahun, berat badan 57 kilogram

Budak umur 5 tahun, berat badan 57 kilogram

Seorang kanak-kanak baru berumur 5 tahun tetapi memiliki berat badan mencecah 57 kilogram dipercayai akibat nafsu makan yang kuat menyebabkan kedua ibu bapanya bimbangkan keadaan kesihatannya.

Akibat berat badan berlebihan, Mohammad Danish Asyraaf Mohd Darus menghadapi masalah pernafasan hingga menjejaskan kecergasannya serta terpaksa tidur dalam keadaan duduk.

Berat badan Mohammad Danish Asyraaf melebihi berat bapanya, Mohd Darus Ismail yang hanya 53 kilogram dan lebih separuh daripada berat ibunya, Normah Ahmad yang mempunyai berat 80 kilogram.

Normah, 36, berkata, berat badan anak kedua daripada tiga beradik itu pada tahun lalu cuma 15 kilogram, namun meningkat mendadak mencecah 57 kilogram.

Menurutnya, anaknya itu dilahirkan normal dengan berat 3.2 kilogram, tetapi disahkan menghadapi masalah pernafasan sejak lahir.

“Kami tidak tahu kenapa selera makannya berubah hingga berat badannya meningkat mendadak dan dia tidak dapat mengawal pemakanannya walaupun doktor menasihatkan kami berbuat demikian.

“Dia akan menangis dan memberontak jika kami menegahnya daripada makan terlalu banyak membuatkan kami buntu dan terpaksa mengikut kehendaknya,” katanya yang tinggal di Sungai Karang di sini.

Katanya, Mohammad Danish Asyraaf yang pemalu mudah memberontak selain tidak aktif bergerak kerana masalah kesihatan dihidapinya selain turut dijangkiti cacar air sejak setahun lalu.

“Pada masa ini, kami tidak dapat mengawal pemakanannya kerana dia belum boleh berfikir baik atau buruk, tetapi mungkin berbuat demikian apabila usianya semakin meningkat kerana sudah boleh memahami sendiri.

“Kami tidak memberinya sebarang ubat-ubatan untuk mengawal tabiat pemakanannya kerana bimbangkan kesan sampingan yang mungkin lebih memudaratkan kesihatannya nanti,” katanya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, kes kanak-kanak seperti Mohammad Danish Asyraaf jarang berlaku dan menyarankan kanak-kanak itu dirujuk kepada doktor untuk rawatan sewajarnya.

“Paling penting kanak-kanak itu perlu dirujuk doktor untuk mengenal pasti punca sebenar keadaannya sama ada disebabkan masalah diet atau faktor kesihatan lain sebelum rawatan seterusnya dilakukan,” katanya.



 
Chatroom