Home » » Kesihatan diri pilih makanan bersesuaian

Kesihatan diri pilih makanan bersesuaian

Meskipun sibuk dengan tugas harian, individu boleh menjaga kesihatan diri dengan merancang pemakanan yang betul mengikut keperluan badan. Pemilihan makanan yang bersesuaian membantu individu menyeimbangkan pelbagai zat makanan dalam diet seharian.

Pakar Pemakanan dan Dietetik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Norimah Abd. Karim berkata, untuk memastikan tubuh badan mendapat semua zat, individu harus memilih makanan dari gabungan makanan berdasarkan Piramid Makanan.

Dalam Piramid Makanan mereka dinasihatkan mengambil bijirin dan hasil bijirin serta ubi-ubian dalam kuantiti yang banyak.

“Pilih diet yang mengandungi banyak bijirin dan kekacang atau legum,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam Bengkel Gaya Hidup 2000 di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Bijirin ini katanya, perlu diambil sebanyak lapan hingga 12 sajian sehari kerana ia merupakan sumber tenaga utama.

Selain sumber tenaga, katanya, sajian ini penting untuk tumbesaran badan kerana ia mengandungi karbohidrat kompleks yang utama, vitamin, mineral, serat dan sedikit protein.

Dr. Norimah berkata, selain bijirin dan kekacang, individu perlu mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran.

Sebagai sumber vitamin, serat dan mineral yang terbaik katanya, buah dan sayur perlu berada dalam setiap sajian makanan.

Menurutnya, buah-buahan dan sayur perlu diambil melebihi lima sajian setiap hari.

Manakala ikan, ayam, daging dan kekacang yang mempunyai protein, vitamin B, zat besi, zink, kalsium dan magnesium boleh diambil dalam kuantiti sederhana iaitu dua hingga tiga sajian setiap hari.

Mengikut Piramid Makanan itu, individu dinasihatkan memilih diet yang rendah lemak dan tanpa kolestrol.

”Ini boleh dilakukan dengan mengurangkan pengambilan makanan bergoreng serta pilih makanan yang penyediaannya menggunakan rendah lemak dan pilih diet rendah kolestrol,” tambahnya.

Untuk menikmati kehidupan yang lebih ceria dan sihat, Dr. Norimah mengingatkan individu untuk memilih diet rendah gula dan garam. Antaranya:

* Kurangkan makanan proses dan makanan segera.

* Makan lebih makanan asli dan yang baru disediakan.

* Gunakan gula dan garam secara sederhana semasa memasak.

* Kurangkan pengambilan snek yang tinggi garam (masin), gula (manis) dan serbuk perasa.

* Kurangkan penggunaan perisa yang tinggi garam dan natrium.

* Mereka juga disarankan minum banyak air masak biasa dengan cara lebihkan minum air kosong dan kurangkan pengambilan minuman manis dan bergas.

* Makan makanan dan juga sumber penyediaannya bersih serta selamat.

* Makan di tempat bersih.

* Pastikan cara menyimpan, penyelenggaraan, penyediaan dan hidangan makanan yang selamat.

Beliau turut menasihatkan individu makan secara teratur untuk mengelak kelaparan tidak terkawal.

Apabila terlalu lapar katanya, individu tertentu kadangkala terlupa tentang pemakan yang baik dan seimbang.

Sebaliknya kata beliau, tabiat makan yang baik ialah pengambilan sarapan pagi, makan tenga hari, makan malam dalam saiz sajian yang sederhana mengikut keperluan seseorang.

Mengenai perancangan diet beliau memberitahu, diet yang lengkap dan seimbang ialah mengambilkira variasi di antara individu seperti umur, tahap perkembangan, kesukaan dan tabiat makan.

Antara prinsipnya:

* Pelbagaikan jenis makanan.

* Pilihan makanan yang mempunyai kepadatan zat yang tinggi.

* Mengikut Saranan Pengambilan Makanan RDA (Recommended Dietary Allowance) sehampir yang boleh iaitu tahap pengambilan zat berdasarkan pengetahuan sains pemakanan memenuhi keperluan semua individu yang sihat melalui pengambilan semua jenis makanan.

RDA jelasnya, ditetapkan pada tahap melebihi sedikit keperluan kebanyakan individu, untuk memastikan keperluan semua mengikut umur dan jantina.

Bagi wanita terdapat perbezaan bergantung kepada umur, perkembangan seks, status reproduktif dan kehamilan.



0 Komen:

Catat Ulasan

Affiliates

 
Chatroom