Home » » Panduan memilih makanan ketika berbuka

Panduan memilih makanan ketika berbuka

PUASA bukan sekadar bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga pada siang hari, malah yang lebih penting ialah membebaskan diri hasutan nafsu.

Mungkin anda berjaya berpuasa pada siang hari tetapi apabila tiba waktu berbuka, anda dengan penuh nafsu memakan semua juadah sehingga menyebabkan perut menjadi senak dan akhirnya solat ditinggalkan.

Sebenarnya gaya hidup bermewah-mewah dengan makanan sehingga ke tahap pembaziran bertentangan dengan matlamat dan semangat Ramadan.

Oleh itu kawal nafsu kita ketika makan dan bersikap sederhana. Ia bukan saja menambah pahala kita, malah dari sudut perubatan, kesihatan kita lebih terjamin.

Perlu diketahui, tubuh memiliki mekanisme tetap dalam mengurangkan kadar metabolik dan memastikan penggunaan simpanan lemak dalam tubuh ketika lapar.

Justeru, pengambilan makanan sepanjang bulan Ramadan seharusnya seimbang dan tidak jauh bezanya dengan waktu tidak berpuasa. Untuk kekal sihat, kuantiti makanan sepatutnya normal bukan dua kali ganda berbanding ketika tidak berpuasa.

Apa yang penting pengambilan makanan adalah berasaskan kumpulan makanan utama, karbohidrat (nasi, roti, bijirin) ditambah dengan produk tenusu, ikan, daging, kacang, sayur-sayuran dan buah-buahan. Pengambilan diet yang seimbang seharusnya membantu anda mengekalkan berat badan yang normal dan bukan menjadikan berat badan anda bertambah atau berkurangan. Bagaimanapun, jika anda yang obes atau terlebih berat, pengambilan makanan mengikut diet yang seimbang tentu saja dapat membantu anda menurunkan berat badan.

Tempoh berpuasa yang panjang sebenarnya banyak membantu kita dalam merangka diet. Misalnya, pengambilan makanan yang lambat dihadam lebih diutamakan. Antaranya makanan mengandungi serat.

Makanan seperti ini mengambil masa lapan jam untuk dihadam manakala makanan yang cepat dicerna hanya mengambil masa tiga atau empat jam. Ini menyebabkan anda mudah lapar.

FAKTA: Panduan memilih makanan


Makanan lambat dihadam (karbohidrat)- barli, gandum, oat, kacang, nasi


Makanan yang cepat dihadam (dikenali sebagai refined carbohydrates)- biasanya mengandungi gula dan tepung.


Makanan yang mengandungi serat - gandum, sayur-sayuran seperti kacang, bayam atau makanan kering seperti aprikot atau prun


Pilih makanan dalam kategori karbohidrat manakala kurma adalah sumber gula, serat, karbohidrat, potassium dan magnesium yang mudah ditemui. Selain itu, pisang juga sumber potassium, magnesium dan karbohidrat.


Minum sebanyak mana air suam atau jus buah-buahan yang mungkin antara waktu iftar dan masa tidur.

Makanan yang perlu dielakkan


Makanan bergoreng dan berlemak


Makanan yang mengandungi terlalu banyak gula


Makan terlalu banyak ketika berbuka puasa


Minum terlalu banyak teh - teh membuatkan anda kerap membuang air kecil dan mengambil garam mineral dalam tubuh yang anda perlukan pada siang hari


Merokok.

Masalah lazim pada bulan puasa


Sembelit - Masalah ini boleh menyebabkan buasir atau sukar membuang air besar. Ini berlaku kerana pengambilan air terlalu sikit dan serat yang tidak cukup dalam diet.

Penawar - tambah pengambilan air dan makanan berserat.


Masalah tidak hadam dan berangin - Berlaku kerana terlalu banyak makan makanan bergoreng dan berminyak, makanan pedas dan makanan yang berangin seperti telur, kubis dan minuman bergas.

Penawar - jangan makan terlalu banyak sekali gus dan minum lebih jus buah-buahan atau air suam. Elakkan makanan bergoreng.


Tekanan darah rendah - Peluh berlebihan, lemah, letih, kurang bertenaga, pening terutama setiap kali cuba bangun, pucat dan rasa sakit yang dikaitkan dengan tekanan darah rendah yang kerap muncul menjelang petang.

Masalah tekanan darah rendah perlu disahkan dengan pengambilan bacaan tekanan darah apabila simptom muncul.

Sebab - kurang minum air, kurang pengambilan garam

Penawar - lebihkan minum air dan pengambilan garam


Sakit kepala

Sebab - mengambil kaffeine dan tembakau yang terlalu banyak dalam satu hari, kurang tidur. Ia akan menyebabkan rasa lapar pada siang hari dan semakin teruk pada hujung hari. Jika dikaitkan dengan tekanan darah rendah, sakit kepala itu mungkin teruk dan boleh menyebabkan muntah selepas berbuka puasa.

Penawar - kurangkan kaffeine dan tembakau secara perlahan-lahan


Tahap gula dalam darah yang rendah

Ia akan menyebabkan rasa lemah, pening, penat, sukar memberi tumpuan, menggigil, sakit kepala, berdebar-debar dan berpeluh

Sebab - di kalangan mereka yang bukan pesakit diabetes - mengambil terlalu banyak gula pada waktu sahur. Tubuh menghasilkan terlalu banyak insulin yang menyebabkan tahap gula dalam darah merosot.

Penawar - kurangkan pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kadar gulanya


Kekejangan otot

Disebabkan pengambilan kalsium, magnesium dan potassium yang kurang

Penawar - tambah pengambilan makanan yang kaya dengan kalsium, magnesium dan potassium


Pedih ulu hati, ulser peptik, gastritis dan hernia

Peningkatan tahap asid dalam perut yang kosong menyebabkan keadaan ini berlaku. Ini menyebabkan rasa seakan pedih pada perut hingga ke tekak. Makanan pedas, kopi dan minuman bergas memburukkan lagi keadaan.


Batu karang

Ia biasanya muncul di kalangan mereka yang kurang minum air.



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom