Home » » Minyak Evening Primrose kawal kesihatan kulit

Minyak Evening Primrose kawal kesihatan kulit

Peranan kulit adalah untuk melindungi tubuh daripada jangkitan mikro organisma, pencemaran mekanikal dan radiasi sinar ultra lembayung. Kulit juga memiliki deria untuk merasa panas, sejuk, tekanan, sentuhan dan kesakitan.

Pada asasnya, kulit terbina daripada protein dan lemak yang terkumpul daripada pelbagai jenis asid lemak terutama Omega 6 (EFA), asid linoleik (LA) dan bahan lain yang diperoleh daripadanya.

Ketua Saintis Efamol Limited, Peter Clough, berkata antara petanda kekurangan EFA adalah kekeringan kulit, kehilangan air melalui kulit yang tinggi, penyembuhan luka yang perlahan dan lemah dalam melawan jangkitan kulit.

“Selain EFA dan LA, asid Gamma-Linoleik (GLA) penting untuk kulit. Bagaimanapun kulit adalah satu-satunya organ yang tidak dapat menghasilkan GLA. Bahan kimia yang kuat dan terkena pada kulit menyingkirkan lemak seperti LA dan GLA daripada permukaan dan merosakkan lapisan di bawahnya.

“Bagi masalah lebih teruk, ia boleh berkembang menjadi masalah yang dipanggil ekzema yang biasanya bermula di tangan dan merebak ke bahagian lain apabila terdedah kepada agen tertentu. Masalah ini boleh berkembang menjadi dermatitis yang kronik dengan kejadian rekahan kulit yang besar dan jangkitan kuman.

“LA dan GLA adalah asid lemak yang ditemui dalam minyak Evening Primrose (EPO). GLA menjadi semakin penting untuk kesihatan kulit kerana perubahan diet dan gaya hidup. EPO juga membantu masalah ekzema atopik dan ruam lampin yang dialami bayi,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian, menyapu GLA pada kulit mengurangkan kehilangan lembapan, meningkatkan kelembutan kulit dan mengekang kehilangan air daripada kulit.

“EPO, meningkatkan lembapan kulit sebanyak 13.9 peratus, menyekat kehilangan lembapan 10.2 peratus, ketegangan 19.2 peratus, keletihan 22.2 peratus, kelembutan 3 peratus dan keanjalan 3.5 peratus. EPO boleh memperbaiki dan mengekalkan kerosakan kulit disebabkan penggunaan sabun pencuci dan lain-lain seperti radiasi matahari, bahan kimia, kosmetik, pendingin udara dan asap rokok,” katanya.

Masalah kulit juga disebabkan asma, demam dan alahan terhadap makanan. Kajian mendapati 43.5 peratus kanak-kanak dan bayi menderita ruam lampin dalam tempoh 2 tahun pertama kehidupan.

“Jika dibandingkan dengan krim ruam lampin, EPO bertindak lebih aktif ke atas ruam lampin. Ia mengurangkan kekeringan dan radang pada kulit bayi. Sedikit sapuan pada kulit yang mengalami ruam lampin dapat membantu melegakan bahagian berkenaan,” katanya.

Ruam lampin
Ruam lampin menyebabkan bayi berasa tidak selesa dan kerap menangis, terutama apabila anda hendak memakaikan lampin baru. Begitupun, ia boleh dicegah dengan menukar lampin sekerap dan secepat mungkin apabila ia basah serta menyapukan krim ruam lampin pada peringkat awal ia dikesan.

Evening Primrose
Sejenis bunga liar berwarna kuning, digunakan sebagai bahan kesihatan sejak dulu lagi. Evening Primrose Oil (EPO) yang diperah daripada biji, kaya dengan Asid Gamma - Linolenik (GLA), sejenis asid lemak diperlukan kulit.

Oleh Halina Mohd Noor



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom