Adakah kecergasan penting? Jika soalan cepu emas ini ditanya kepada setiap orang, pasti jawapan yang diberikan akan bersetuju bahawa kecergasan adalah penting dan baik untuk kesihatan manusia, tetapi tidak ramai mengetahui makna sebenar kecergasan.
Secara mudah, kecergasan adalah keupayaan manusia melakukan kerja fizikal dalam kehidupan harian dan pada masa sama, mempunyai tenaga untuk menghadapi sesuatu yang berlaku di luar jangkaan.
Kebanyakan orang dewasa yang normal mampu melakukan pelbagai kerja seperti mengangkat tong atau yang minat menanam bunga, tidak menghadapi masalah seperti keletihan dan mengah apabila menggali dan menanam pokok bunga.
Keupayaan melakukan tugas harian ini menyebabkan ramai yang menyangka bahawa mereka cergas, sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya. Sesetengah orang menyatakan bahawa mereka jarang sakit, tetapi ini tidak bermakna keadaan fizikal orang itu adalah baik.
Dari segi kesihatan, strategi untuk berada dalam keadaan cergas adalah dengan bersenam sekurang-sekurang tiga kali seminggu.
Walaupun fakta ini diketahui umum, aktiviti yang baik untuk kesihatan ini masih berada di tempat terbawah dalam senarai keutamaan yang perlu dilakukan setiap minggu.
Manusia memang bijak dan suka memberi alasan, apatah lagi untuk aktiviti seperti senaman. Antara alasan yang dicipta, termasuk sibuk, tiada masa dan penat.
Inilah masalah di kalangan majoriti masyarakat Malaysia walaupun kebaikan melakukan senaman amat banyak. Antara kebaikan senaman, termasuk menjadikan hati dan paru-paru bekerja lebih cekap serta menguatkan otot lebih kuat dan bentuk badan lebih menarik.
Tanyalah kepada orang suka bersenam. Antara jawapan mereka ialah berasa lebih tenang, tidur lena dan mampu menangani tekanan setiap hari dengan lebih berkesan.
Menjadikan bersenam sebagai budaya hidup akan menjadikan kehidupan lebih aktif dan lebih penting ialah menikmati kehidupan sihat dan jangka hayat lebih panjang.
Bersenam secara konsisten sebagai gaya hidup adalah langkah positif untuk menjadikan diri kekal cergas dan sihat.
Senaman sebagai aktiviti jasmani memberi banyak kebaikan kepada organ tubuh manusia seperti hati, paru-paru, pengedaran darah, otot, tulang, sendi dan minda.
Kesan kebaikan senaman dapat dilihat dalam jangka masa pendek dan panjang dengan cara meningkatkan kecekapan fungsi tubuh dan membantu melawan penyakit. Jika pekerjaan anda tidak menggunakan banyak tenaga fizikal, anda perlu bersenam untuk memastikan terus sihat dan aktif sepanjang masa.
Selain itu, satu fakta menarik kebaikan bersenam ialah jangka hayat adalah lebih panjang di kalangan orang yang dikategorikan mempunyai kecergasan sederhana, berbanding mereka yang tidak cergas.
Dalam satu kajian di Barat membabitkan sekumpulan penduduk dengan mengkategorikan mereka mengikut kumpulan, iaitu paling kurang cergas dalam satu kumpulan, sederhana cergas dalam satu kumpulan lain dan paling cergas dalam satu kumpulan berbeza.
Kadar kematian setiap kumpulan dipantau dan selepas beberapa tahun, hasil kajian mendapati kadar kematian kumpulan orang yang tidak cergas adalah sekali ganda lebih tinggi, berbanding mereka dalam kumpulan sederhana cergas.
Terdapat perbezaan antara kumpulan sederhana cergas dan paling cergas, tetapi perbezaan itu tidak terlalu ketara.
Fakta: Bersenam mencegah penyakit
Mencegah sakit belakang - Senaman menguatkan tulang belakang dan otot perut, memperbaiki postur atau posisi tubuh, sekali gus mampu mencegah sakit belakang.
Mengatasi obesiti - Senaman berterusan dan pada masa sama, mengamalkan diet seimbang, membantu mengawal masalah berat badan berlebihan. Obesiti meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan batu karang.
Mengurangkan risiko kanser - Kajian perubatan mengesahkan bahawa tahap kecergasan yang rendah akan meningkatkan risiko mendapat sesetengah jenis kanser.
Menangani perasaan bimbang dan tekanan - Bersenam secara konsisten mampu meningkatkan perasaan menghargai diri sendiri dan menjadikan diri lebih positif dan tenang.
Menguatkan tulang - Senaman sederhana secara tetap menguatkan tulang dengan cara meningkatkan kandungan mineral, sekali gus mengurangkan risiko mendapat osteoporosis dalam jangka masa panjang. Osteoporosis menyebabkan tulang menjadi haus dan lama-kelamaan rapuh serta mudah patah.
Mengurangkan risiko penyakit jantung - Senaman membantu mencegah obesiti, kolesterol tinggi dan tekanan darah tinggi.
Mengurangkan kesakitan kedatangan haid - Sesetengah wanita mendapati senaman mengurangkan simptom kesakitan prahaid dan ketika haid.
Meningkatkan kualiti tidur - Senaman menggalakkan tidur lena apabila keletihan akibat aktiviti fizikal menyebabkan badan dan minda lebih mudah untuk tidur.
Kebaikan bersenam dalam jangka masa panjang
Bersenam dalam jangka masa panjang akan meningkatkan kecekapan kebanyakan organ tubuh manusia.
Kulit - Meningkatkan pengaliran darah ke kulit membuatkan perawakan kelihatan lebih sihat dan menarik.
Paru-Paru - Memperbaiki kecekapan paru-paru mengambil oksigen dari udara.
Jantung - Jantung yang lebih cekap meningkatkan pengaliran darah ke seluruh tubuh.
Sendi - Sendi yang kuat mengurangkan risiko kesakitan dan ketegangan apabila umur meningkat.
Otot - Kekuatan dan kecekapan menggunakan oksigen membolehkan otot bekerja untuk tempoh lebih lama.
Oleh Ziauddin Sharuddin dan Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
3 Komen:
Semanan amat baik untuk semua orang untuk terus kekal sihat dan hindari penyakit.....
Hidup kekal sihat amalkan senaman......
kesihatan perlu sentiasa dijaga...bagaimana menjaganya????gunalah segala maklumat dan panduan dari internet, bahan bacaan mahupun pakar dalam kesihatan....informasi yang diberikan itu dapat membantu anda menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat..
wow! bagus info ni... selalu sangat culas nak bersenam... ;-)
jemputla melawat blog saya.. ada juga tip2 kesihatan sebagai panduan...
www.cintahealth.com
salam ukhwah,
msraiza
Catat Ulasan