Home » » Naik pangkat

Naik pangkat

Setiap individu tentunya mempunyai matlamat masing-masing dalam pekerjaan, tidak kiralah sebesar atau seserius mana matlamat yang dipasang.

Matlamat yang rata-ratanya dimiliki mereka yang bekerja pastinya jawatan tinggi yang menjanjikan gaji yang lumayan. Namun, ramai yang 'kurang selidik' bagaimana caranya untuk mengecap impian berkenaan.

Andainya kenaikan pangkat adalah matlamat anda untuk pada tahun ini ataupun tahun depan, pertama sekali, anda perlu memeriksa diri, adakah anda sudah melakukan apa yang sepatutnya dilakukan demi mencapainya?

Alangkah baiknya jika bakat dan usaha yang gigih memberi laluan mudah untuk seseorang memperoleh kenaikan gaji, jawatan serta tanggungjawab yang lebih penting. Tapi, realitinya adalah, lebih banyak daripada bakat dan usaha gigih diperlukan untuk bergerak ke peringkat yang lebih tinggi.

Paling utama, anda mestilah arif mengenai tugas yang anda sandang sekarang ini. Anda juga harus mempersiapkan diri dengan ilmu secukupnya mengenai bidang tugasan jawatan yang cuba anda raih itu. Buktikan bahawa anda boleh bekerja di peringkat yang lebih tinggi dan menjalankan tugas yang lebih penting daripada yang anda tangani sekarang. Dengan cara itu, pihak yang berkenaan dalam syarikat anda bekerja menyedari apa yang anda usahakan itu. Namun, anda harus berhati-hati. Tugas besar yang cuba anda pikul itu juga mempunyai risikonya, Kegagalan melaksanakannya dengan baik bukan saja menghancurkan usaha anda untuk naik pangkat malah anda mungkin terpaksa mencari pekerjaan baru. Oleh itu, anda harus memberikan yang terbaik dalam tugasan berkenaan dan tidak salah jika meminta bantuan rakan untuk menyiapkannya.

Pastikan diri anda dikenali dalam organisasi tempat anda bekerja. Luaskan jaringan perhubungan anda dalam organisasi dan kenal pasti juga siapakah yang bertanggungjawab memilih calon untuk jawatan yang anda inginkan itu, dengan siapakah mereka bekerja atau mendapatkan pandangan? Selepas itu, mulakan hubungan anda dengan individu ini, mungkin dengan menawarkan diri untuk membantu mereka dalam sesuatu tugasan agar mereka dapat melihat kebolehan anda.

Selain itu, berusaha untuk menjalinkan hubungan yang baik secara profesional dengan ketua anda. Ramai pekerja yang tidak begitu bernasib baik dan terpaksa bekerja lebih untuk memenangi hati ketua tapi mereka tidak sepatutnya berputus asa sebaliknya terus mencari jalan terbaik untuk menjayakannya kerana jika ketua anda tidak sukakan anda, peluang untuk anda naik pangkat amatlah tipis.

Memberikan kerjasama yang baik kepada ketua anda juga adalah suatu langkah yang baik kerana individu inilah yang akan menentukan sama ada anda akan dinaikkan pangkat ataupun tidak. Oleh itu, anda harus belajar untuk membuatkan ketua anda kagum dengan kebolehan yang anda miliki.

Walaupun kedengaran agak remeh, penampilan atau lebih tepat lagi, cara berpakaian turut memainkan peranan dalam usaha mendapatkan kenaikan pangkat lebih-lebih lagi dalam organisasi yang mempunyai kod etika berpakaian. Cuba-cubalah mengenakan pakaian yang dapat menampakkan ‘ketokohan’ anda untuk memegang jawatan penting dalam syarikat. Bukankah sayang jika orang meragui kehebatan anda semata-mata kerana penampilan anda tidak meyakinkan?

Anda juga mesti peka terhadap peluang yang ada di sekeliling anda. Rebut peluang berkenaan dan laksanakan ia bersungguh-sungguh. Kadangkala, peluang seseorang datang dari sesuatu perkara atau tugasan yang orang lain tidak mahu atau tiada orang yang dapat melakukannya. Mungkin dengan peluang ini, anda akan muncul sebagai orang harapan pula secara tiba-tiba.

Kesabaran juga satu elemen yang penting jika anda mengimpikan jawatan tinggi. Ia bukannya seminggu, sebulan atau setahun tetapi bertahun-tahun untuk seseorang itu dilihat layak untuk memegang jawatan tinggi. Jadi, bagi yang masih baru dalam alam pekerjaan, bertukar-tukar kerja dalam masa yang singkat bukanlah tindakan yang baik jika anda bercita-cita tinggi dalam pekerjaan.

Sekiranya anda serius melaksanakan langkah-langkah yang disenaraikan ini, tidak mustahil, anda berupaya menduduki jawatan atau posisi yang anda idam-idamkan dalam organisasi atau setidak-tidaknya menghampiri matlamat anda itu. Tapi, pastikan anda melaksanakannya secara ‘semula jadi’ dan jangan lupa, bersiap-sedia dengan pelan B yang lebih teliti sekiranya strategi anda itu tidak membuahkan kejayaan.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom