Home » » Anggur hitam 'superfruit' nombor 1

Anggur hitam 'superfruit' nombor 1

Walaupun sering dirujuk sebagai anggur hitam (blackcurrant), ia sebenarnya bukanlah sejenis anggur, tetapi lebih dekat kepada buah jenis berri seperti beri biru dan strawberi. Saiznya juga jauh lebih kecil daripada anggur biasa tetapi anggur hitam (blackcurrant) diakui salah satu sumber Vitamin C semula jadi yang tinggi.

Anggur hitam atau nama saintifiknya Ribes nigrum adalah suatu spesies beri Ribes yang berasal dari rantau Tengah dan Utara Eropah dan Asia Utara. Ia juga dikenali sebagai “cassis” dalam bahasa Perancis. Buah beri padat dengan bahan antioksida secara semula jadi. Antara beri lain, buah anggur hitam amat terkenal bagi nilai nutrien yang amat tinggi.

Ketua Program Kualiti, Kesihatan dan Pemakanan di Scottish Crop Research Institute (SCRI), Dr Derek Stewart, mengiktiraf anggur hitam sebagai “Superfruit No.1”.

Hasil penyelidikan oleh Dr Stewart telah menemui bahawa anggur hitam mempunyai kandungan vitamin, mineral dan bahan antioksida lebih tinggi berbanding 20 buah lain yang telah diuji.

Kajian itu melihat pada 20 jenis buah serta mengukur aras tahap bahan antioksida dan nilai pemakanannya. Dalam sebilangan besar situasi, anggur hitam telah jauh menjangkaui prestasi pesaingnya.

Selain anggur hitam, penyelidik juga telah menganalisis epal, aprikot, pisang, beri hitam, beri biru, ceri, kranberi, limau gedang, anggur, lemon, mangga, tembikai, oren, markisah (buah susu), pic, pear, buah delima, buah raspberi dan strawberi.

Anggur hitam mempunyai tahap vitamin dan mineral yang sungguh mengagumkan. Dari segi bahan antioksida dan Vitamin C, anggur hitam adalah salah satu sumber semulajadi yang tinggi.

Anggur hitam kaya dengan fitokimia yang dipanggil antosianin, terkenal bagi manfaat antikeradangannya. Antosianin adalah pigmen tumbuhan yang memberikan buah anggur hitam warnanya yang gelap - semakin gelap warna buahnya, semakin tinggi kandungan antosianin dan semakin banyak manfaat bahan antioksida.

Buah yang berwarna gelap ini padat dengan bahan antioksida dan secara am terbukti memiliki manfaat kesihatan yang ketara. Kajian menunjukkan bahawa bahan antioksida bolen mencegah pelbagai jenis penyakit. Lebih kurang 100gram buah anggur hitam mengandungi hanya 30 kalori, serta padat dengan kandungan vitamin dan mineral.

Maklumlah, kandungan khasiat buah anggur hitam ini sememangnya tinggi dan bukan sekadar itu saja, rasanya juga disukai ramai terutama apabila diperah dan dibuat jus. Jus buah anggur hitam mempunyai rasa yang menyegarkan dan sesuai diminum oleh semua lapisan umur, terutama kanak-kanak.

Buah ini memang sukar didapati di Malaysia kerana suhu tropika negara kita tidaklah sesuai dengan pertumbuhannya, meskipun di negara seperti New Zealand, musim buah anggur hitam adalah hanya musim panas iaitu bulan Disember hingga Februari setiap tahun. Oleh kerana itu nilai perolehan buah anggur hitam ini amatlah tinggi dari segi nilai khasiat dan keunikannya.

INFO: Rujukan

USDA Plant profile for Ribes nigrum L.
European black currant, Traitler H, Winter H, Richli U, Ingenbleek Y. Characterization of gamma-linolenic acid in Ribes seed. Lipids. 1984 Dec;19(12):923-8,
McGee, William, M.D., M.H.A., Assistant Professor of Medicine and Surgery, Tufts University School of Medicine; Medical Encyclopedia: Ascorbic acid.

Wood, Rebecca. The Whole Foods Encyclopedia. New York, NY: Prentice-Hall Press; (1988).
Ensminger AH, Esminger M. K. J. e. al. Food for Health: A Nutrition Encyclopedia. Clovis, California: Pegus Press; 1986.
Food Standards Australia and New Zealand - www.foodstandards.gov.au.
Linus Pauling Institute at Oregon State university http://lpi.oregonstate.edu.
USDA Nutrient database.
www.superfruits.org.

~ Berita Harian 24 Julai 2008



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom