Home » » Tiga kunci kesihatan Faizal Tahir

Tiga kunci kesihatan Faizal Tahir

Sebagai penyanyi popular, Faizal Tahir mengakui kehidupannya selalu sibuk di pentas persembahan. Undangan yang diterima, bukan sahaja melibatkan sekitar ibu kota malah juga ke luar kota.

Bukan itu sahaja, dia yang popular dengan lagu antaranya Sampai Syurga, Mahakarya Cinta dan Batu & Golek itu juga terlibat dalam bidang penciptaan lagu menyebabkan masa senggangnya turut dikongsi untuk menumpukan kepada bidang kreatif yang satu ini.

Tidak itu sahaja, Faizal juga menceburkan diri dalam bidang pengacaraan dan ketika ini, dia terlibat mengendalikan program realiti TV3, Gang Starz musim kedua bersama Fara Fauzana.

Namun kesibukan diri bukan alasan bagi penyanyi yang juga naib juara One In A Million (OIAM) musim pertama itu untuk tidak mengambil berat soal kesihatan dan penjagaan diri.

Malah baginya, kepentingan menjaga kesihatan diri merupakan antara elemen utama demi memastikan ia tidak menjejaskan urusan kerjaya yang seringkali menuntut kekuatan fizikal dan mental.

Perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan tabiat pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian, kata Faizal, ia juga membudayakan diri dengan penjagaan kesihatan sejak awal lagi.

Mengamalkan tiga kunci utama dalam penjagaan faktor kesihatan diri, tegas Faizal, amalannya itu mudah, ringkas dan amat menyenangkan.

“Saya banyakkan minum air mineral, menjaga tidur dan tidak lupa pengambilan vitamin C,” ujar Faizal yang juga bapa kepada dua orang anak, Ahmad Mikaeel, tiga tahun dan Siti Raudhah Nur Iman, setahun.

Suami kepada Siti Raihanim Noran itu berkata, biarpun kesibukan diri membataskan dirinya untuk mendapatkan tidur pada waktu yang sesuai, namun dia seringkali mencari waktu untuknya.

Justeru tegas Faizal, apabila ada kelapangan khususnya apabila bertugas di luar kota, dia akan mengambil peluang tidur awal.

“Untuk menjaga kesihatan diri terutama dalam mengekalkan kecergasan, di samping melakukan rutin senaman pilihan, saya percaya, kita perlu mendapatkan tidur yang mencukupi.

“Memang lapan jam sehari adalah waktu yang disarankan namun saya juga percaya, kita perlu tidur pada waktu yang betul. Maknanya, kita perlu tidur awal dan bangun awal.

“Walaupun sukar untuk melakukannya kerana kerja-kerja saya sebagai penyanyi dan pencipta lagu tetapi saya akan cuba mendapatkan kualiti tidur begitu.

“Selalunya saya banyak masa terluang apabila ke luar kota dan ketika inilah saya mengambil peluang ‘mencuri’ masa untuk berehat secukupnya.

“Selain itu, perubahan cuaca juga boleh memudaratkan dan dalam menjaga kesihatan diri, selain memperbanyakkan minum air mineral, saya juga mengelakkan penggunaan penghawa dingin secara keterlaluan kerana ia boleh membuatkan tubuh menjadi lemah,” ujarnya yang turut mengamalkan pengambilan vitamin C setiap hari untuk tujuan pembuangan toksin dalam badan.

Faizal juga memberitahu, dia gemar bersukan untuk membantu kecergasan diri dan mendapatkan kecerdasan minda seperti bermain bola sepak dan futsal seminggu sekali.

“Jika saya berpeluang ke gimnasium, saya akan melakukan senaman seperti melakukan treadmill tetapi selalunya saya sukar mencari masa untuknya.

“Tetapi saya memang suka bersukan dan memastikan meluangkan dua hari pada setiap minggu untuk turun ke padang bermain bola dan futsal,’’ katanya.

Dalam usaha mendapatkan kesihatan maksimum, Faizal mengambil berat soal penjagaan pemakanannya biarpun mengakui makan apa sahaja yang diingini.

“Saya suka makan tetapi saya makan berpada-pada. Saya gemar sayur-sayuran dan selalu mengambilnya dengan kuantiti yang banyak ketika makan.

“Selain itu saya tidak boleh tidak makan nasi tetapi hanya mengambilnya sekali sehari kerana bagi saya ia adalah sumber karbohidrat terbaik dan ia amat penting untuk mendapatkan tenaga,” katanya.

Faizal juga mengakui, mengambil susu kocak (milk shake) yang dibuatnya sendiri setiap hari antara waktu sarapan dan makan malam dalam usaha mengekalkan keseimbangan tubuh.

Malah dia juga mengamalkan pengambilan jus setiap pagi sebagai ganti kepada pengambilan buah-buahan.

“Bagi saya, walau bagaimana sibuk pun kehidupan seharian kita, kita patut dan wajar untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat kerana tubuh yang sihat akan menjamin minda yang cerdas dan seterusnya memberikan kita kualiti kehidupan yang sempurna,” tambahnya.



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom