Home » » Makanan India kaya khasiat

Makanan India kaya khasiat

Penggunaan ramuan seperti rempah ratus, dadih dan bawang putih dalam masakan India bagaikan satu kemestian serta menjadi bahan utama dalam hampir semua setiap jenis hidangan. Penggunaan bahan ramuan seumpama itu dikatakan, penting kerana dapat membangkitkan aroma dan menambahkan rasa sedap masakan yang disajikan.

Maka itulah, penggunaan bahan rempah dan hasil tenusu menjadi aspek utama dalam masakan India, khususnya bagi sajian hidangan India Utara. Bagaimanapun, mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa bahan ramuan berkenaan juga memberi banyak manfaat dari sudut kesihatan dan perubatan.

Khasiat rempah misalnya, turut dibuktikan oleh ahli geografi dan botani Islam, Al Idrisi dalam bukunya, Kitab Al Jami Li Sifat Ashyatul Nabatat mengenai sifat pelbagai tumbuhan dengan mencatatkan rempah ratus boleh dijadikan ubat-ubatan. Selain itu, penulis Islam kurun ke-10, Istakhri ada mencatatkan pelayar Islam datang ke Sri Lanka untuk mengambil rempah ratus bagi dijadikan ubat. Kajian lain turut mendapati, rempah sebenarnya boleh bertindak sebagai sejenis antibiotik, menghalang pertumbuhan lebih 75 peratus kuman yang berpunca daripada makanan.

Kepelbagaian khasiat dan kebaikan terdapat dalam masakan India turut diakui serta menjadi kebanggaan jurumasak jemputan, Mohd Firoz Khan yang diterbangkan khas dari Mumbai, India bagi promosi Hidangan Terbaik Punjabi India Utara di Restoran Paya Serai di hotel Hilton Petaling Jaya, baru-baru ini.

Promosi bermula dari 7 hingga 20 Julai itu bertujuan memperkenalkan pelbagai resipi hidangan tradisional negara itu, dari nasi hinggalah aneka masakan utama dan pembuka selera serta pemanis mulut. Umumnya, masakan India terbahagi kepada masakan India Utara, India Selatan, India Barat dan India Timur, namun untuk promosi di hotel itu Mohd Firoz akan menyajikan istimewa masakan Punjabi yang terletak di bahagian India Utara.

Mohd Firoz berkata, walaupun ada kelainan dari segi rasa dan cara memasak, terdapat satu persamaan antara keempat-empatnya iaitu penggunaan bahan-bahan rempah. Malah, penggunaan rempah ratus dalam masakan memang terkenal dan sudah sinonim dengan budaya masyarakat India.

“Jika masakan India Selatan lebih menjurus cita rasa pedas dan lemak santan, masakan India Utara pula terkenal dengan keaslian rasa dan kemewahan masakan diraja serta baik untuk kesihatan. Selain itu masakan India Utara juga dikenali hidangan ‘Raja segala herba’ kerana penggunaan banyak rempah ratus seperti rempah kari, kunyit, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan sebagainya.

“Lazimnya, dalam sesuatu resipi masakan ada antara 12 hingga 13 jenis rempah ratus. Penggunaan rempah ratus itulah yang menyebabkan rasa masakan berkenaan lebih perisa dan enak,” katanya.

Selain memasukkan rempah ratus, masyarakat Utara India didapati kerap menggunakan bahan lain seperti bawang putih, keju, minyak sapi (ghi) yang secara saintifiknya mampu meningkatkan fungsi hormon dalam badan manusia dan susu masam (dadih) yang kaya dengan protein.

Katanya, dadih yang digunakan bagi menggantikan santan dapat memekatkan masakan berkuah selain menjamin kesihatan kerana tidak berlemak dan mempunyai pelbagai khasiat. Begitu juga dengan bawang putih yang baik untuk memanaskan badan dan menambahkan aroma masakan.

Antara hidangan makanan utama disediakan sepanjang promosi ialah kambing saagwala iaitu kambing yang dimasak pedas bersama rempah dan bayam, udang kashune serta ayam pashnda yakni ayak dimasak bersama sos krim di dalam periuk tanah. Terdapat juga telur massala yang bercita rasa kari dan Bombay aloo atau kentang bersama bawang. Untuk tempahan layari www.hilton.com

INFO: Khasiat atau kebaikan rempah ratus dan bahan ramuan lain yang sering terdapat dalam masakan Utara India

Kunyit
Kunyit sudah digunakan sejak zaman purba kala India. Kajian perubatan menunjukkan bahan ini mampu merawat barah pankreas, barah sel tulang (multiple myeloma) dan melawan jangkitan seksual cylamydia. Khasiatnya juga berupaya membantu mengatasi masalah penurunan mental dan melambatkan kesan penyakit pengurangan sistem saraf seperti Alzheimer.

Buah pelaga
Juga dikenali sebagai ‘Permaisuri Rempah Ratus’ kerana antara rempah paling eksotik di dunia dan mahal harganya. Selain digunakan sebagai bahan dalam masakan, buah pelaga juga muda digunakan untuk perubatan, wangian dan kosmetik.

Bunga cengkih
Dikenali kerana baunya yang wangi dan aroma yang tajam menusuk hidung. Bunga cengkih bukan saja digunakan sebagai pengawet makan, tetapi untuk mengubat sakit gigi, melegakan kahak dan menyembuhkan penyakit.

Jintan manis

Boleh digunakan untuk penyakit asma dan melegakan kesakitan dalam badan. Ia turut membantu melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus. Boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu di sekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata.

Kulit kayu manis
Sering digunakan dan hampir tiga suku penduduk dunia menggunakannya dalam campuran masakan. Selain menghasilkan aroma yang mampu membangkitkan selera, ia juga digunakan masyarakat sejak zaman Mesir purba untuk mengelak makanan daripada mudah basi. Khasiatnya yang lain ialah mengurangkan berat badan berlebihan, sakit gigi dan tekanan darah tinggi. Kajian turut mendapati ia membantu memberi ketenangan jiwa, mengatasi masalah keguguran rambut dan cirit-birit.

Bawang putih
Khasiat bawang putih yang sudah ditanam sejak 5,000 tahun lalu diperakui penyelidik dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Russia, Jerman dan Perancis. Antaranya elok untuk memanaskan badan dan membantu seseorang yang menghadapi tekanan, rasa cemas dan kesedihan. Bagi yang menghadapi masalah tingkah laku yang agresif, kurang tidur dan ingatan, bawang putih juga boleh dijadikan penawar.

Dadih
Terhasil daripada proses penapaian susu yang dilakukan dua bakteria, iaitu Streptoccus thermophilus dan Lactobacillus bulgaricus. Dadih membantu menggalakkan pertumbuhan bakteria dalam usus, menjadikan usus lebih sihat dan dapat berfungsi dengan baik atau boleh mengelakkan masalah sembelit. Mengandungi lebih banyak kalsium, vitamin A di samping kaya dengan zat besi, fosforus dan kalium.

Oleh Nor Affizar Ibrahim



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom