Home » » Daya tahan Adat Perpatih

Daya tahan Adat Perpatih

Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Ia diasaskan oleh seorang pemimpin Minang, Sutan Balun yang bergelar Dato’ Perpatih Nan Sebatang dan mula diamalkan di Negeri Sembilan sejak 650 tahun lalu.

Apabila menyebut mengenai Adat Perpatih yang telah sekian lama menjadi darah daging masyarakat Melayu di Negeri Sembilan, ada segelintir masyarakat yang berada di luar lingkaran adat itu berpendapat adat tersebut menjadi penghalang ke arah kemajuan orang Melayu di negeri itu.

Mereka merasakan adat yang diamalkan sejak sekian lama oleh beberapa generasi sudah lapuk dan ketinggalan dek zaman dan tidak sesuai dipraktikkan pada zaman sekarang yang menuju ke era globalisasi.

Hakikatnya, Adat Perpatih yang diamalkan di negeri itu merupakan peraturan hidup atau undang-undang yang mampu bertahan sepanjang zaman.

Ini kerana Adat Perpatih lengkap dengan garis panduan meliputi Adat Sebenar Adat, Adat Yang Diadatkan, Adat Yang Teradat dan Adat Istiadat.

Adat yang masih diamalkan itu turut selari dengan ajaran agama Islam yang menjadi agama rasmi, seperti yang dijelaskan dalam kata-kata:

Adat bersendikan syarak
Syarak bersendikan Kitabullah
Syarak mengata
Adat memakai

Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman memberitahu, Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau di Sumatera, Indonesia.

Menurutnya, ia diasaskan oleh seorang pemimpin Minang, Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang dan mula diamalkan di Negeri Sembilan sejak 650 tahun lalu.

Katanya, adat yang dimaksudkan dalam pemakaian Adat Perpatih ialah undang-undang atau peraturan hidup yang lengkap meliputi aspek kehidupan masyarakat sama ada sosial, politik dan agama.

Beliau kesal kerana ada sesetengah masyarakat luar mempunyai pandangan sempit mengenai adat yang diamalkan itu apabila mereka berpendapat Adat Perpatih adalah adat sosiobudaya yang mudah digambarkan seperti adat dalam perkahwinan.

"Sebab itu, ia (adat) dimaksudkan sebagai undang-undang yang harus dipelihara sepanjang zaman. Contohnya, jika undang-undang tidak dipatuhi, sudah tentu ia tidak dapat memberi kesejahteraan kepada masyarakat.

"Masyarakat umum kena buka minda agar dapat lebih memahami tentang adat ini. Ia telah disusun elok untuk kesejahteraan dan kestabilan masyarakat," katanya ketika ditemui Kosmo! di Balai Undang Luak Rembau, Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurutnya, Adat Perpatih diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan yang majoritinya adalah keturunan Melayu Minangkabau.

Katanya, mereka terbahagi kepada beberapa puak yang dipanggil suku.

Muhamad Sharip memberitahu, pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah antara warisan Adat Perpatih. Begitu juga dengan pelantikan Undang Luak yang empat iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu yang kesemuanya berteraskan kepada adat berkenaan.

"Adat ini diwariskan dari generasi ke generasi merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, pelantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan serta pelbagai aspek lagi.

"Setiap peraturan atau adat dalam Adat Perpatih ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat tersebut," kata beliau lagi.

Ujarnya, pelantikan pemimpin, contohnya pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dibuat bukan mengikut keturunan dari bapa ke anak tetapi melalui kebulatan (mesyuarat) oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu.

Empat Undang Luak itu akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari Raja Raden Ibni Raja Lenggang untuk pemasyhuran menjadi Yang Dipertuan.

Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak.

Sharip berkata, kuasa Undang Luak adalah sangat luas dalam menjalankan pentadbiran dan Undang Luak juga mempunyai pembesar iaitu Lembaga yang menasihatkan Undang dalam pemerintahannya.

"Ketua bagi setiap suku dipanggil Lembaga dan mempunyai gelaran masing-masing. Lembaga berfungsi sebagai pentadbir kepada sukunya dan memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah berhubung dengan adat, harta, penceraian, pertelingkahan dan sebagainya," katanya.

Sekiranya Lembaga tidak dapat mencari jalan penyelesaian, maka perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan Undang Luak.

Dalam pada itu, Undang Luak Rembau itu juga berkata, masih ada segelintir masyarakat luar salah tafsir mengenai Adat Perpatih dalam pemberian harta pusaka yang memberikan kelebihan kepada perempuan.

"Sebenarnya, pemberian pesaka yang dimaksudkan dalam adat ini ialah pemberian tanah adat. Tanah adat adalah tanah yang dipusakai turun temurun daripada nenek moyang sesebuah keluarga.

"Tujuan tanah adat ini diberikan kepada perempuan semata-mata untuk menjaga kehormatan dan maruah kaum wanita. Anak lelaki pula dianggap lebih teguh dan tahu berusaha untuk terus hidup.

"Mengenai harta atau tanah yang diperoleh sebagai harta sepencarian, pembahagiannya menurut hukum faraid iaitu tidak ada kena mengena dengan tanah adat yang hanya dikhususkan untuk perempuan," katanya.

Menurut beliau, kata-kata 'Adat bersendikan syarak... syarak bersendikan Kitabullah...' merujuk kepada adat yang diguna pakai sejak dahulu hingga kini tetapi ia selari dengan ajaran agama Islam berteraskan al-Quran (Kitabullah).

"Kita sudah banyak kali mengadakan seminar dan membentangkan kertas kerja mengenai adat dan agama. Sememangnya dari dahulu lagi al-Quran menjadi pegangan dalam penggunaan Adat Perpatih.

"Sebab itulah adat ini bersifat global, menjadi amalan sepanjang zaman dan tidak akan lapuk dek zaman. Jika disusuri sejarah, kedatangan orang Minangkabau ke negeri ini turut melibatkan proses asimilasi kepada penduduk pribumi untuk menganuti Islam," katanya.

Menurutnya, bidalan 'biar mati anak jangan mati adat' yang sering diperdebatkan dan dipertikaikan oleh sesetengah pihak perlu difahami sedalam-dalamnya kerana pemakaian kata-kata itu adalah bertepatan dalam aturan hidup.

"Adat bermakna undang-undang. Maka kata-kata itu sebenarnya merujuk kepada undang-undang. Justeru, adat ini perlu dipatuhi dan tidak boleh dilenyapkan.

"Contohnya, jika ada individu bersalah atau anak-anak buah didapati bersalah, mereka mungkin dihukum mati. Hukuman itu harus dijalankan biarpun terpaksa mengorbankan nyawa. Jika undang-undang tidak diguna pakai dalam peraturan hidup, ia akan merosakkan sistem itu sendiri.

"Dengan kata mudah, kalau seseorang itu didapati bersalah di bawah Kanun Keseksaan, ia boleh dihukum di bawah akta itu. Jadi, mana boleh akta tersebut tidak diguna pakai," jelasnya.

Oleh RAIS YEOP JOHARI dan NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom