Home » » Sindrom kejutan toksin

Sindrom kejutan toksin

Sindrom kejutan toksin (toxic shock syndrome - TSS) mungkin jarang berlaku di Malaysia. Di Amerika, misalnya TSS adalah kes yang biasa ditemui. Ia sering dikaitkan sebagai jangkitan dalam darah dan kerap kali dengan penggunaan tampon berdaya penyerapan tinggi.

Setiausaha Persatuan Kesihatan Seksualiti Sedunia, Dr Bervery Whipple, berkata TSS memang kes yang kerap berlaku di Amerika, namun jumlah itu semakin menurun sejak kebelakangan ini.

Misalnya, pada 1980, 814 kes TSS dilaporkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC), berbanding hanya lima kes TSS dilaporkan pada 1997.

"Tidak dinafikan kebanyakan kes TSS dikaitkan dengan penggunaan tampon ketika haid. Namun, tiada bukti khusus mengaitkan TSS dengan tampon walaupun kebanyakan pakar perubatan percaya memang ada kaitan antara TSS dengan tampon yang diguna ketika haid.

"Ini berikutan tampon yang memiliki daya penyerapan yang tinggi berisiko mendedahkan wanita dengan jangkitan," katanya,


Tangan mengelupas, simptom kejutan toksik.


TSS terjadi kerana toksin yang terhasil oleh bakteria. Daya penyerapan yang tinggi pada tampon dan pemakaian yang lama juga dikaitkan dengan kejadian TSS. Selain itu, penggunaan tampon jenis ini juga menyebabkan masalah kekeringan pada vagina.

Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Abd Aziz Yahya, berkata walaupun TSS boleh terjadi pada lelaki dan kanak-kanak, ia lebih kerap menyerang wanita datang haid yang menggunakan tampon.

"Kajian populasi merumuskan risiko TSS dikaitkan dengan daya penyerapan tampon. Lebih tinggi kadar penyerapannya lebih tinggi risiko TSS," katanya.

Sebenarnya, tampon sudah digunakan sejak zaman Mesir purba, tetapi tampon pakai buang pertama diperkenalkan ialah pada 1933. Tampon biasanya diperbuat daripada benang bulu kambing, kain linen, kertas dan rumput.

Tampon tidak begitu popular di Malaysia berbanding Amerika. Kira-kira 70 peratus wanita menggunakan tampon atau tuala wanita kerana TSS banyak berlaku di negara itu.

Pada masa ini, selain tampon, di negara itu turut diperkenalkan sejenis pelapik haid berbentuk cawan yang menadah di pintu vagina. Ia dinamakan instead, seakan cawan yang diperbuat daripada material bebas alahan bukan latex dan dimasukkan hingga ke pintu vagina. Instead dipakai di dalam, bukan di luar seperti tuala wanita.

Kejayaan instead dipasarkan di Amerika membawa kepada pengenalannya di Malaysia, baru-baru ini. Berbanding tuala wanita biasa, instead boleh bertahan selama 12 jam tanpa perlu ditukar.

Jika tuala wanita bertindak menyerap darah kotor, instead pula menadah darah kotor. Mungkin anda terfikir jumlah darah haid anda mungkin hingga dua cawan tetapi sebenarnya ia sekitar dua hingga enam sudu teh saja.

Pemakaian instead seharusnya tidak terasa dan selesa. Ia digunakan dengan cara dimasukkan hingga ke pintu rahim dan gegelungnya akan bertindak seperti cawan menadah di permukaan pintu rahim. Jika anda masih terasa gegelung instead, anda hanya perlu menolaknya jauh lagi ke dalam. Jangan bimbang, ia tidak akan hilang dalam badan anda.

Jika anda masih merasai gegelungnya, tarik semula ia keluar dengan hanya satu jari dan pakai semula. Jika masih tidak berjaya atau anda alah kepadanya, mungkin instead bukan 'peneman' terbaik anda.

Saiz instead dibuat mengikut tubuh wanita. Gegelungnya 70 milimeter (mm) garis pusat. Kebanyakan wanita memiliki saiz pangkal rahim dalam lingkungan antara 68 hingga 72 mm. Ini membolehkan saiz 70 mm diguna oleh semua wanita.

Pemakaian instead lebih mudah dan ringkas kerana anda tidak perlu membasuhnya sebaliknya hanya membiarkan tisu menyerap darah kotor dan membuangnya atau dengan hanya membuang terus darah kotor yang terkumpul. Ia juga tidak mendatangkan bau hanyir seperti yang biasa dialami sesetengah wanita yang datang bulan.

Namun, sejauh mana ia akan popular di Malaysia masih tidak dapat dipastikan kerana produk terbaru ini akan berhadapan dengan budaya perempuan Asia kerana kemasukan instead hingga ke pintu vagina tentu saja akan menjejaskan selaput dara.

Bagaimanapun, hujah pengeluar instead, untuk memastikan perawan benar-benar memiliki selaput dara sebelum berkahwin adalah sukar kerana ia lapisan yang sangat nipis dan lembut. Vagina juga adalah organ yang bersifat fleksibel. Oleh itu, terpulang kepada anda untuk 'menyelesaikan' masalah bulanan, tampon, tuala wanita atau instead.

Info: Simptom TSS
1) Demam
2) Muntah pening cirit-birit
3) Ruam merah diikuti kulit yang menggelupas selepas satu atau dua minggu terutama di tapak tangan atau kaki
4) Mata, mulut dan tekak merah
5) Keliru
6) Sakit kepala
7) Hipertensi
8) Kegagalan fungsi organ selalunya ginjal dan hati.

Oleh Hafizah Iszahanid



0 Komen:

Catat Ulasan

 
Chatroom