Antara sifat kesempurnaan dan kemuliaan yang menyeluruh dalam Islam ialah ihsan. Ia adalah sifat kesempurnaan Allah yang sangat dituntut supaya dicontohi manusia sejagat.
Sifat ini mendapat kedudukan tinggi dalam Islam.
"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan dan telah mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah mengambil Ibrahim menjadi kesayangan-Nya." (an-Nisa':125)
Di dalamnya juga terkandung sifat kemuliaan yang asas seperti sifat rahmat, ikhlas, pengorbanan, teliti serta ada pengawasan dalam usaha dan amalan.
Apa itu ihsan? Ihsan ialah sifat hati yang mempunyai daya penggerak untuk berkorban melakukan kebaikan zahir dan batin semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.
Istilah ini lebih mudah difahami sekiranya melalui perbandingan, misalnya antara sifat ihsan dan adil.
Adil ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan saksama sama ada pada perkara tersurat atau tersirat.
Tabiat keadilan seperti diketahui adalah tegas, keras dan tepat dengan peraturan yang termaktub tanpa mengira perasaan belas dan simpati, suasana yang mempengaruhi suatu perbuatan atau kesalahan dilakukan.
Keadilan adalah keperluan dalam kehidupan, kerana ia suatu cara penting bagi mengawal ketenteraman dan kesejahteraan.
Tetapi, keadilan semata-mata tidak memadai, sebagai manusia kita tetap memerlukan sifat ihsan.
Sifat ihsan Allah melimpahi dan mengatasi daripada sifat adil. Cuba lihat maksud ayat 58, dari surah al-Kahfi: "Dan Tuhanmulah yang maha pengampun lagi mempunyai rahmat. Jika Dia hendak mengazab mereka kerana perbuatannya, tentu Dia akan menyegerakan azab baginya, tetapi bagi mereka ada waktu yang tertentu (untuk mendapat azab) yang mereka sekali-kali tidak akan menemukan tempat berlindung daripadanya."
Masyarakat yang dapat melaksanakan keadilan dalam lingkungan daya kemampuan manusia adalah masyarakat yang masih belum mencapai tahap kesejahteraan sempurna, kerana mereka menunaikan setakat had yang dituntut.
Justeru, adalah suatu yang bersifat tabii bagi masyarakat yang ingin mencapai taraf kesejahteraan sempurna melaksanakan sifat ihsan, iaitu sifat yang melebihi adil.
Dalam Islam ada tiga sikap yang semuanya diakui tetapi berlainan dari segi nilai akhlaknya, iaitu:
1. Orang teraniaya dan dizalimi. Ia berhak mendapat pembelaan dan keadilan dengan mengenakan balasan setimpal ke atas pihak yang menganiayanya. Ini disifatkan sebagai adil.
2. Orang teraniaya dan berhak mendapat keadilan, malah mampu untuk mengenakan balasan setimpal, namun tidak mahu mengambil tindakan terbabit, sebaliknya dengan kerelaan hati bersedia memaafkannya.
Dengan memaafkan kesalahan terbabit, terlepaslah orang yang sepatutnya menerima hukuman yang adil atas kezalimannya. Tindakan ini termasuk dalam peringkat ihsan.
Sifat ihsan jika diterima dengan penuh rasa insaf dan tanggungjawab dapat membuka jalan kebaikan yang lain seperti melepaskan banyak kesusahan kepada diri dan keluarga yang dimaafkan, memberikan peluang kepada yang salah untuk memperbaiki kesilapan dan menyuburkan sifat tolak ansur.
3. Orang merasakan tidak memadai hanya dengan memberikan kemaafan, sekalipun sudah termasuk dalam golongan sifat ihsan.
Tiga sifat itu disimpulkan dalam ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka sesiapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim." (as-Syuuraa:40)
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan