Home » » Berani bergaya walau berisi

Berani bergaya walau berisi

Apabila bercakap mengenai fesyen, orang berbadan gempal pasti seboleh-bolehnya mengelak berbicara topik itu kerana tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Sebahagian besar wanita gempal pula langsung malas hendak berfikir mengenai soal berpakaian.

Untuk memilih jalan selamat agar (kononnya) tidak kelihatan terlalu menonjol, mereka lazimnya memilih warna gelap atau hitam sebagai rona 'wajib' sama ada pakaian ke pejabat, majlis rasmi mahupun apabila bersantai.

Sedangkan bentuk badan tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada sesiapa untuk bergaya, malah industri itu sendiri mengiktiraf kemunculan model bersaiz besar (plus-size) dalam dunia peragaan antarabangsa.

Justeru, kebanyakan butik pakaian kini menawarkan pilihan pakaian yang bukan sahaja mampu digayakan oleh gadis langsing dan bertubuh kecil malah wanita bersaiz normal, besar serta tinggi yang merupakan golongan majoriti pembeli.

Yang penting adalah keyakinan diri seseorang untuk memasuki butik-butik tersebut dan mencuba pakaian yang dirasakan sesuai serta selesa dengan bentuk fizikal masing-masing tanpa 'menyembunyikan diri' di sebalik pakaian.

Seperti Aimi Mahfuzah Mohd. Kamalludeen, 23, sejak kecil dia berdepan masalah berat badan sehinggalah apabila meningkat remaja.

Sebelum ini, dia hanya menjadikan kemeja-T besar dan seluar jean longgar sebagai pakaian harian namun apabila tamat sekolah, dia mula membaca majalah fesyen ikon seperti Elle dan Vogue untuk mencari identiti sebenar dirinya.

Beberapa tips penting yang dipelajari adalah hitam tidak semestinya menampakkan susuk seseorang itu lebih kurus, apatah lagi jika fabrik yang digunakan jenis mudah melekap seperti lycra dan berkait (knitted).

Pada masa yang sama, warna-warna lain seperti jingga, hijau atau merah boleh disesuaikan jika kena dengan cara pemakaian agar tidak kelihatan keterlaluan seperti hendak ke dangdut!

"Pemilihan aksesori juga penting. Usah pakai kalung, gelang dan anting-anting yang besar (chunky) sekali gus, sebaliknya cuba padankan gelang dan subang ringkas supaya tampak manis.

"Semua orang gemar berseluar jean, tetapi wanita bertubuh besar perlu elakkan potongan pinggang terlalu tinggi atau rendah (low-waist).

"Sebaliknya, pastikan pinggang seluar terletak betul-betul di bawah pusat untuk menampakkan punggung dan pinggang kelihatan kemas (tidak menggeleber) dan langsing,'' kata Aimi Mahfuzah yang bakal memulakan kerjaya sebagai guru Bahasa Inggeris tahun depan.

Perkara lain yang wajar diambil perhatian ketika memilih seluar jean adalah fabrik yang digunakan. Elak jenis denim mudah regang kerana ia menonjolkan lagi bentuk punggung yang besar.

Bagi yang berpunggung besar tetapi berpayu dara kecil pula, jangan sesekali cuba potongan jean skinny kerana ia menampakkan badan besar di tengah atau berbentuk epal.

Sebaliknya, potongan bootcut dan straight cut adalah paling cocok untuk mengimbangkan bentuk badan dan tidak membuatkan jean kelihatan sendat terutama di bahagian paha dan punggung.

Pada masa yang sama, Aimi Mahfuzah juga 'gila' kasut seperti kebanyakan wanita lain, tetapi seleranya agak ekstrem apabila menggemari tumit tinggi, stiletto dan wedges setinggi lebih empat inci pelbagai warna serta corak.

"Jangan takut-takut untuk mencuba sepasang kasut tinggi hanya kerana anda gemuk, siapa tahu ia boleh membuatkan anda kelihatan tinggi dan langsing jika kena dengan gayanya,'' katanya yang memiliki lebih 20 pasang kasut tumit tinggi termasuk but dan pump jenis stiletto, round toe, peep toe, open toe dan pointed toe.

Gaya rambut juga memainkan peranan penting dalam menyerlahkan lagi penampilan dan keyakinan diri seseorang.

Sama ada bertubuh besar atau tidak, kadang kala rambut yang terlalu panjang boleh menampakkan seseorang kelihatan lebih berusia atau menjadi gangguan kepada kecantikan sebenar wanita berkenaan.

Untuk wanita berbadan besar, potongan rambut paling sesuai adalah paras bahu atau lebih pendek kerana ia tidak akan membuatkan mereka kelihatan membosankan, berusia atau terlalu keibuan.

Tetapi awas, jangan basahkan rambut sehingga nampak nipis dan melekap ke kepala sebaliknya bubuh perapi rambut, keringkan serta berus dengan rapi agar kelihatan tebal dan sihat.

Akhir sekali pastikan solekan tidak terlalu tebal, kenakan mekap berwarna lembut dan semulajadi jika tidak yakin untuk melakukan shading sendiri kerana bimbang nampak keterlaluan.

"Jika sebelum ini terasa diri gemuk dan hodoh, lupakan semua itu dan katakan pada diri sendiri, 'No matter how fat I am, there will always be someone bigger and uglier than me' (Tidak kira betapa gemuknya saya, akan ada orang lain lebih besar dan hodoh dari saya),'' ujar Aimi Mahfuzah lagi.



1 Komen:

Farah berkata...

Bismillah,

tips kecantikan diri yang sungguh bagus.

Catat Ulasan

 
Chatroom