Kebahagiian merupakan sesuatu yang boleh dijangkiti dan boleh 'berhubung' melalui kumpulan-kumpulan sosial seperti keluarga dan rakan-rakan.
Namun begitu, laporan sebuah penyelidikan yang diterbitkan baru-baru ini, menyebut bahawa kebahagiaan tidak dapat dirasai dalam kalangan rakan sekerja yang kelihatan imun dengan mood satu sama lain.
Kesan itu menghasilkan rantaian individu yang gembira dan sebaliknya dalam aspek sosial dan geografi, kata kajian tersebut sambil memberi penekanan bahawa rasa puas hati 'bukan hanya dalam wilayah individu yang terpencil'.
Tetapi sementara mood jiran-jiran dan rakan-rakan boleh memberi impak yang lebih besar kepada orang lain berbanding dengan pasangan yang tinggal bersama, rakan sekerja didapati tidak menerima kesan gembira dalam kalangan mereka yang berada berdekatan, lapor kajian yang dilakukan oleh British Medical Journal itu.
"Perubahan dalam kegembiraan individu boleh disebarkan melalui rangkaian sosial sekali gus menghasilkan struktur skala dalam rangkaian tersebut, meningkatkan lagi rantaian individu yang gembira atau pun tidak," kata penulis-penulis kajian tersebut.
"Paling penting ialah mengenal pasti individu dalam rangkaian-rangkaian sosial tertentu. Tahap kesihatan dan kesejahteraan seseorang juga dilaporkan boleh memberi kesan kepada orang lain.
"Kegembiraan manusia bukan hanya dalam wilayah tersendiri individu," tambah kajian yang dilakukan oleh Prof. Nicholas Christakis dari Pusat Pengajian Perubatan Harvard dan Prof. James Fowler dari Universiti California, San Diego.
Menurut kajian tersebut, geografi juga boleh memberi kesan kepada kegembiraan iaitu sekiranya anda mempunyai seorang rakan yang bahagia dan tinggal dalam lingkungan 1.6 kilometer, ia akan meningkatkan kemungkinan 25 peratus untuk anda turut bergembira.
Mereka mendapati sebanyak lapan peratus pasangan yang tinggal bersama individu bahagia akan meningkatkan kemungkinan pasangan mereka turut merasai perasaan yang sama; adik-beradik bahagia yang tinggal berhampiran menambah aras kegembiraan sebanyak 14 peratus, manakala dalam kalangan jiran, 34 peratus.
"Rakan sekerja tidak memberi kesan terhadap aras kebahagiaan seseorang dan ini memberikan bayangan bahawa konteks sosial mungkin membatasi keadaan emosi," kata kajian itu lagi.
Prof. Andrew Steptoe dari University College, London dan Prof. Ana Diez Roux dari Pusat Pengajian Kesihatan Umum, Universiti Michigan pula melaporkan hasil kajian ini adalah sesuatu yang baru.
"Sekiranya, kebahagiaan mampu disebarkan melalui hubungan sosial, ia secara tidak langsung boleh menyumbang kepada transmisi kesihatan sosial. Ia juga memberikan implikasi serius terhadap rekaan polisi dan campur tangan yang digunakan," kata mereka.
Kajian tersebut melibatkan 5,124 responden dewasa berusia antara 21 sehingga 70 tahun, antara tahun 1971 dan 2003.
Untuk menilai tahap kebahagiaan, setiap responden ditanya sama ada mereka setuju atau tidak dengan empat kenyataan yang diberikan iaitu: "Saya berasa optimis terhadap masa hadapan", "Saya gembira", "Saya menikmati kehidupan" dan "Saya berasa baik seperti orang lain".
Kesimpulan kajian ialah kebahagiaan boleh didefinisikan sebagai persetujuan positif yang maksimum di antara keempat-empat kenyataan itu. - AFP
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...
0 Komen:
Catat Ulasan