Home » » Pembedahan Ikat Perut

Pembedahan Ikat Perut

Pembedahan ikat perut atau mengecilkan perut dianggap sebagai langkah terakhir yang boleh diambil bagi individu obes selepas semua kaedah lain seperti bersenam, mengubah tabiat makan atau mengambil ubat mengikut arahan doktor tidak memberi kesan diharapkan.

Pembedahan ini bukan untuk cantik, sebaliknya bertujuan meningkatkan tahap kesihatan kerana individu obes mempunyai risiko mendapat pelbagai penyakit, termasuk serangan jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan strok.

Walaupun gemuk, anda tidak semestinya layak mendapatkan rawatan ini kerana ia direka khusus bagi individu yang mempunyai Indeks Jisim Tubuh (BMI) melebihi 32 kg/m² bagi penduduk Asia atau 35 kg/m² untuk penduduk Barat. BMI dikira dengan membahagikan berat dalam kilogram dengan tinggi dalam ukuran meter yang diganda duakan.

Mengapa kaedah ikat perut ini dikhususkan bagi kumpulan tertentu saja? Menurut Perunding Bedah Gastrointestin Pusat Perubatan Pantai, Datuk Dr Abdul Fahmi Karim, bagi kumpulan ini, peluang menurunkan berat badan melalui kaedah konvensional (menjaga makan dan bersenam) amat rendah iaitu kurang daripada 10 peratus.

Sebaliknya, kumpulan ini paling banyak berdepan risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, paras kolesterol tinggi, penyakit jantung atau strok, terutama jika mereka mengalami masalah berat badan sejak muda.

Perut manusia yang terletak dalam ruang abdomen adalah kantung elastik berotot dengan bentuk seperti buah pir. Bentuk dan saiznya berubah mengikut kedudukan badan dan jumlah makanan yang masuk ke dalamnya. Ia berfungsi sebagai tempat simpanan makanan sementara dan di sinilah proses penghadaman makanan berlaku.

Secara purata, perut berukuran 30.5 sentimeter (12 inci) panjang dan 15.2 sentimeter lebar (enam inci). Kapasiti perut orang dewasa ketika rehat (tidak mengandungi makanan) ialah kira-kira satu liter.

Bagaimanapun, oleh kerana ia elastik atau kenyal, perut boleh mengembang dan menampung antara dua hingga empat liter makanan.

Dr Abdul Fahmi berkata, makanan yang dimakan akan masuk dan memenuhi bahagian bawah perut terlebih dulu. Apabila berisi makanan, perut akan mengembang tetapi ia masih tidak memberi isyarat kenyang kepada otak.

Isyarat kenyang hanya diberi apabila bahagian atas perut (dipanggil bahagian kardiak) mengembang dan isyarat ini mengambil masa untuk sampai ke otak.

Apabila isyarat kenyang diterima, biasanya kita sudah terlebih makan, khususnya bagi individu yang makan cepat (makanan tidak dikunyah hingga benar-benar lumat sebelum ditelan).

Ini menyebabkan berlebihan pengambilan kalori harian dan keadaan menjadi lebih buruk (berat badan bertambah) jika penggunaan tenaga tidak setimpal dengan kemasukan tenaga dalam badan. Tenaga berlebihan ini disimpan sebagai lemak dan akibatnya tanpa disedari, kita menjadi gemuk.

“Dalam pembedahan yang menggunakan sistem LAP-BAND, perut pesakit diikat di bahagian atas, menjadikannya berbentuk seperti ‘hour-glass’ atau balang waktu (tabung kaca yang berisi pasir untuk mengukur waktu). Bahagian atas ini sangat kecil dengan muatan antara 30 hingga 50 mililiter saja atau sebesar bola golf .

“Perut atas yang baru ini boleh mengembang dua kali ganda saiz asalnya (60 hingga 100 mililiter). Perut diikat menggunakan getah khas yang disambungkan dengan alat kawalan dipanggil access port yang ditanam di bawah kulit. Melalui alat kawalan ini, doktor boleh memantau dan mengubah saiz perut baru pesakit.

“Semua prosedur ini dilakukan dengan kaedah pembedahan lubang kunci. Pesakit tidak perlu bimbang kerana saiz luka pembedahan sangat kecil dan cepat sembuh. Malah, pesakit dirawat sebagai pesakit luar dan tidak perlu tinggal di hospital,” katanya.

Dalam tempoh enam minggu pertama, perut atas tidak mengembang kerana banyak tisu membengkak akibat kehadiran benda asing (getah pengikat). Selepas tempoh ini baru doktor membuat sedikit penyesuaian pada perut baru pesakit.

Pengurangan berat badan melalui kaedah ini juga tidak berlaku mendadak kerana ia direka supaya pesakit mengalami penurunan berat yang sihat iaitu antara dua hingga empat kilogram sebulan. Bagaimanapun, kadar penurunan berbeza antara pesakit; ada yang turun lebih banyak dalam tempoh sebulan.

Kaedah ini mensasarkan penurunan berat badan antara 50 hingga 70 peratus daripada berat yang berlebihan dalam tempoh dua tahun. Contohnya bagi individu dengan ketinggian 1.6 meter dengan berat badan 95 kilogram mempunyai BMI sebanyak 37.1 kg/m².

Berat badan normal untuk individu ini ialah antara 46 hingga 64 kilogram; tetapi berat unggul ialah 55 kilogram. Ini bermakna berat badan berlebihan ialah 40 kilogram. Jadi dalam masa dua tahun dia perlu mengurangkan berat badan antara 20 hingga 28 kilogram.

Walaupun rawatan ini direka untuk orang dewasa, ia juga boleh dilakukan pada kanak-kanak dan remaja, dengan syarat mereka faham pembedahan itu untuk kebaikan mereka dan mendapat persetujuan ibu bapa.

Yang menarik, pembedahan ini bersifat berbalik iaitu getah pengikat boleh dikeluarkan dan perut kembali ke saiz asal. Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, pesakit mahu ia terus kekal dalam badan supaya masalah pertambahan berat tidak berulang.

Namun perlu diingat, kaedah ini bukan untuk semua orang, kecuali bagi individu yang termasuk dalam kategori obesiti morbid iaitu kegemukan yang boleh mengundang pelbagai penyakit. Walaupun penggunaannya ke atas golongan muda (kurang 18 tahun) masih diperdebat, ia masih diberi pertimbangan.

Ini kerana kanak-kanak obes biasanya berdepan masalah psikologi dan sosial apabila mereka berasa rendah diri, terasing, diejek ahli keluarga dan rakan sebaya. Ini menyebabkan mereka lebih suka mengasingkan diri di rumah dan makan lebih banyak.

Masalah juga timbul jika ibu bapa kurang memberi perhatian kepada masalah berat badan dan menyediakan apa saja yang diminta si anak.

Dr Abdul Fahmi juga tidak menghalang jika ada yang mahu mencuba mengikuti program menguruskan badan anjuran pusat kecantikan.

Kaedah berkenaan berkesan jika dipatuhi sepenuhnya, tetapi kebanyakan (90 hingga 95 peratus) peserta program berhenti setengah jalan dan ini menjadikan kadar kejayaan hanya antara 10 hingga 15 peratus.

Bagi yang cekal dan kuat semangat, mereka boleh mengamalkan kaedah pengurangan berat badan konvensional yang mampu menurunkan sebanyak 25 peratus berat berlebihan.

Bagaimanapun bagi individu obes morbid, kadar ini tidak cukup untuk membolehkan mereka menikmati kehidupan lebih sihat.

Pun begitu, katanya, ia jauh lebih baik daripada tidak berusaha langsung kerana obesiti kini menjadi ancaman kesihatan paling besar kepada rakyat negara ini, termasuk kanak-kanak.

Amalan pemakanan selepas pembedahan

Beberapa hari pertama selepas pembedahan — Sejurus selepas pembedahan, pesakit hanya dibenar menghirup sedikit air atau mengulum ais. Pada hari kedua, baru minum lebih sedikit tetapi dalam kuantiti kecil pada satu-satu masa.

Selain air, pesakit perlu memilih jenis minuman yang mengandungi kalori bagi membekalkan tenaga. Untuk mengelak rasa mual dan muntah, jangan minum terlalu banyak.

Minggu pertama hingga keempat — Pesakit disaran makan makanan yang sangat lembut atau diet cecair seperti:

# Sup (tanpa memakan sayur, daging, ayam dan tidak berkrim)

# Dadih rendah lemak

# Susu (khususnya susu rendah lemak)

# Agar-agar

# Jus atau puri buah

Doktor atau pakar pemakanan akan memberi panduan mengenai pemakanan. Ketika ini, yang mustahak ialah memberi peluang badan membiasakan diri dengan sistem Lap-Band dan bukan mengurangkan berat badan.

Minggu keempat hingga keenam — Ketika ini pesakit dibenarkan makan makanan lebih berat seperti sup berkrim, ikan dan ayam cincang. Pertukaran daripada makanan lembut kepada yang lebih berat perlu dilakukan secara berperingkat dan perlahan-lahan.

Makanan yang lembut lebih mudah dihadam. Usah cepat sangat mahu beralih kepada makanan berat kerana sesetengah makanan seperti roti, nasi dan daging merah mungkin memberi masalah kepada pesakit.

Kunyah makanan anda hingga betul-betul lumat sebelum ditelan untuk mengelak rasa mual, muntah, keradangan perut atau kembung. Pesakit juga berdepan risiko saluran perut tersumbat jika makanan yang masuk tidak benar-benar hancur. Jika mengalami masalah ini, pesakit perlu kembali diet cecair.

Kerap muntah boleh meningkatkan kemungkinan ikatan pada perut teralih atau menyebabkan kantung perut atas meregang.

Pemakanan selepas pembedahan — 10 syarat utama

Pesakit perlu mengubah gaya dan tabiat makan sejurus selepas menjalani pembedahan.

1. Makan tiga kali sehari dalam kuantiti kecil — Sistem yang digunakan ini membentuk kantung perut yang kecil — yang hanya boleh menampung kira-kira setengah cawan (85 hingga 113 gram) makanan.

Jika pesakit cuba makan lebih daripada muatan ini, dia akan berasa mual atau muntah. Sebaliknya jika pesakit membiasakan diri makan banyak, kantung perut yang kecil ini akan meregang dan ia boleh merosakkan tujuan utama pembedahan ini.

2. Makan perlahan-lahan dan kunyah hingga lumat (15 hingga 20 kali) — Makanan boleh memasuki stoma (lubang atau laluan perut yang baru) jika ia benar-benar hancur. Jika sebelum ini anda biasa makan cepat, belajar untuk makan perlahan-lahan dan menikmati keenakan makanan.

3. Berhenti makan sebaik terasa kenyang — Apabila perut penuh, otak menerima isyarat bahawa anda sudah cukup makan. Bagaimanapun dalam keadaan biasa, penerimaan isyarat ini mengambil masa. Ada yang mengatakan otak hanya menerima isyarat kenyang dalam masa 20 minit dan ini sebabnya kita perlu makan perlahan-lahan.

Jika makan cepat, pesakit mungkin makan lebih daripada diperlukan, boleh menyebabkan mual dan muntah. Cuba mengesan rasa kenyang dan jika ada, berhenti makan ketika itu juga.

4. Jangan minum ketika makan — Pembedahan ini hanya berkesan jika pesakit makan makanan pejal. Jika pesakit minum ketika makan, makanan itu menjadi makanan cecair dan keberkesanan sistem ini terjejas.

Jangan minum dalam masa satu hingga dua jam selepas makan. Kaedah ini membuatkan anda berasa kenyang lebih lama.

5. Jangan makan di antara waktu makan — Mengambil snek atau makanan ringan boleh menjadi punca utama kegagalan dalam mana-mana kaedah mengurangkan berat badan. Tabiat ini perlu dihentikan segera. Pesakit yang makan dengan cara betul biasanya tidak berasa lapar sehingga tiba waktu makan seterusnya. Jika anda kerap berasa lapar, bermakna ikatan pada perut terlalu longgar dan segeralah berjumpa doktor untuk membetulkannya.

6. Makan makanan berkualiti saja — Oleh kerana tidak boleh makan banyak, pesakit perlu makan makanan berkhasiat saja. Jangan sekali-kali mengisi perut baru yang kecil itu dengan makanan ringan.

Makanan anda perlu mengandungi protein dan vitamin. Contoh makanan yang kaya khasiat ialah sayur-sayuran segar, buah-buahan, daging, ikan dan bijirin. Elakkan makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula seperti minuman ringan dan berkarbonat, sirap, kek, biskut, manisan, jem, madu, coklat, pai, kerepek dan keropok serta pastri.

Anda boleh makan epal dan oren, tetapi elak jus epal atau oren yang mengandungi banyak gula. Mungkin timbul kebimbangan tidak cukup zat jika pengambilan makanan dicatu ketat. Bagi yang ingin mengambil pil makanan tambahan, berbincang dengan doktor terlebih dulu.

7. Elak makanan yang tinggi serat — Makanan banyak serat seperti asparagus boleh membuatkan lubang masuk ke perut (stoma) tersekat. Ia kerana serat tidak dapat dihancurkan melalui kunyahan atau tindakan air liur. Bagaimanapun, bukan anda tidak boleh makan asparagus langsung. Jika teringin, masak hingga lembut, hiris halus dan kunyah hingga lumat.

8. Minum air secukupnya sepanjang hari — Jika berat badan anda turun, kandungan lemak dalam badan juga berkurang. Ia dikeluarkan sebagai bahan kumuh. Justeru, anda perlu minum banyak air sepanjang hari supaya proses penyingkiran bahan buangan ini lebih mudah.

Walaupun keperluan setiap individu berbeza, secara umumnya kita memerlukan antara enam hingga lapan gelas air sehari. Ingat, anda sepatutnya hanya minum air masak. Boleh juga minum teh dan kopi tetapi mestilah tanpa gula, krimer atau susu. Ingat juga untuk mengasingkan waktu makan dan minum.

9. Minum minuman rendah kalori saja — Tidak kira apa jenis minuman, semuanya boleh melalui lubang masuk ke perut dengan mudah. Jika anda minum minuman berkalori tinggi, penurunan berat badan tetap berlaku tetapi jumlahnya kecil walaupun semua syarat lain dituruti.

10. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari — Bagi meningkatkan kejayaan mengurangkan berat badan, pesakit perlu bersenam kerana senaman menggunakan tenaga dan membakar kalori. Saiz badan anda mungkin menyukarkan anda bersenam, tetapi jangan patah semangat. Buat sekadar yang mampu. Lebih banyak berat badan anda turun, pergerakan menjadi lebih mudah.

Mulakan dengan senaman mudah seperti berjalan atau berenang. Tingkatkan aktiviti secara beransur-ansur dengan berbasikal, jogging atau melakukan senaman aerobik. Pada masa sama, ubah aktiviti harian dengan berdiri berbanding duduk atau menaiki tangga berbanding menggunakan lif.



2 Komen:

Tanpa Nama berkata...

tolongggg nak kurus tapi tak nak ikat perutttt

Tanpa Nama berkata...

dimana saya boleh mendapatkan rawatan, dan individu yang berkaitan untuk dihubungi.

Catat Ulasan

 
Chatroom