Home » » Tip Bersenam Di Gimnasium

Tip Bersenam Di Gimnasium

Bersenam di gimnasium antara cara yang baik kerana di sini anda sentiasa ditemani pengunjung lain; atau setidak-tidaknya jurulatih bertugas. Yang penting ialah semangat. Pun begitu, tidak dapat dinafikan ada kalanya anda terasa bosan. Jika perasaan negatif ini mulai timbul, ubah tempat bersenam — seperti di taman atau setidak-tidaknya sekitar kawasan perumahan.

Bersenam di gimnasium juga ada kelebihan dan kekurangannya. Seorang teman berkali-kali menolak apabila diajak bersenam di gimnasium yang terletak hanya beberapa minit dari tempat kerja. Katanya, dia berasa ‘geli’ memikirkan peluh pengguna yang melekat pada peralatan di gimnasium.

Namun hakikatnya dia bimbang mendapat jangkitan di gimnasium, terutama jika anda menggunakan tuala yang disediakan di sana. Kemungkinan atau risiko jangkitan memang ada, tetapi peratusannya rendah kerana peralatan di gimnasium dibersihkan setiap hari.

Beberapa cara boleh dilakukan untuk mengelaknya iaitu dengan:

# Memastikan peralatan sentiasa bersih. Jika masih ragu-ragu dengan kebersihan peralatan, jangan berlengah membersihkan diri selepas tamat bersenam. Elak menyentuh mata atau hidung ketika bersenam.

Mungkin ada yang terfikir mahu menggunakan cecair pencuci tangan antibiotik. Ini bukan tindakan bijak kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan. Kajian menunjukkan penggunaan bahan pencuci antibiotik yang lemah sebenarnya boleh membuatkan sesetengah bakteria lebih berdaya tahan terhadap rawatan antibiotik. Perkara ini juga berlaku di hospital dan rumah.

Kulit kita juga ada banyak bakteria dan bukan semuanya tidak baik. Sesetengahnya memang diperlukan untuk kesihatan kulit. Jarang-jarang mikro organisma yang ada di atas kulit menyebabkan masalah kesihatan.

# Cuci tangan setiap kali selepas menggunakan peralatan awam, selepas keluar dari tandas dan sebelum makan — tidak kiralah walaupun anda makan menggunakan sudu dan garpu. Ini kaedah paling mudah dan murah yang mampu menyekat jangkitan, terutama virus yang boleh menyebabkan selesema dan hepatitis A.

# Bernafas menggunakan hidung dan bukan mulut ketika anda bersenam. Hidung kita mempunyai lapisan pelindung yang boleh memerangkap kuman, terutama dalam tempat yang ramai orang dan tertutup seperti di gimnasium.

# Rancang masa untuk ke gimnasium. Pilih waktu yang paling sedikit pengguna bagi mengurangkan kemungkinan mendapat jangkitan, terutama jika ada yang batuk atau bersin.

# Jika anda batuk atau berasa tidak sihat, bercuti seketika daripada mengunjungi gimnasium. Ia antara langkah mengelak jangkitan kepada orang lain.

# Bawa tuala mandi anda sendiri. Malah, lebih baik jika anda mempunyai peralatan asas sendiri seperti tikar yoga.

# Mandi sebaik habis bersenam. Jangan ke sana ke sini dengan baju yang dibasahi peluh kerana ia menimbulkan rasa kurang senang pada orang lain.

# Elak berkongsi sabun mandi. Bawa cecair mandian anda sendiri.

# Lindungi kaki dengan memakai selipar ketika mandi di bilik mandi awam untuk mengelak jangkitan fungus. Jangan berkaki ayam dalam bilik persalinan atau ketika mandi. Apatah lagi jika tandas di dalam bilik persalinan itu juga digunakan orang luar yang tidak mengunjungi gimnasium.

# Jika mahu mandi sauna, perhatikan jika ada luka atau lebam. Ini kerana sesetengah jenis bakteria menjadi aktif dalam suasana panas.

# Beri perhatian pada tanda yang ditunjukkan badan seperti luka, lebam atau bengkak. Jika ia berlarutan, segera berjumpa doktor.

Kebimbangan terhadap kemungkinan jangkitan di gimnasium tidak sepatutnya menghalang anda daripada meneruskan tekad untuk bersenam. Ia tidak mendatangkan masalah jika kita mempunyai daya ketahanan badan yang kuat. Banyak cara boleh diamalkan untuk meningkatkan daya ketahanan badan seperti:

# Kurangkan tekanan. Belajar cara untuk menangani tekanan. Jadikan setiap tekanan sebagai cabaran untuk lebih mematangkan diri.

# Banyakkan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu; 20 hingga 30 minit setiap sesi.

# Jangan takut dengan sinar matahari, terutama pada waktu pagi. Sinaran matahari pagi adalah sumber vitamin D paling murah dan baik.

# Kurangkan pengambilan gula, garam dan lemak.

# Makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.

# Mendapat rehat dan tidur secukupnya.

Elak jangkitan di gimnasium

> Memastikan peralatan sentiasa bersih.

> Cuci tangan setiap kali selepas menggunakan peralatan awam, selepas keluar dari tandas dan sebelum makan

> Bernafas menggunakan hidung dan bukan mulut ketika anda bersenam

> Rancang masa untuk ke gimnasium

> Jika anda batuk atau berasa tidak sihat, bercuti seketika daripada mengunjungi gimnasium

> Bawa tuala mandi anda sendiri

> Mandi sebaik habis bersenam

> Elak berkongsi sabun mandi

> Lindungi kaki dengan memakai selipar ketika mandi di bilik mandi awam untuk mengelak jangkitan fungus

> Jika mahu mandi sauna, perhatikan jika ada luka atau lebam

> Beri perhatian pada tanda yang ditunjukkan badan seperti luka, lebam atau bengkak

Tingkat daya ketahanan badan

> Kurangkan tekanan. Belajar cara untuk menangani tekanan. Jadikan setiap tekanan sebagai cabaran untuk lebih mematangkan diri.

> Banyakkan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu; 20 hingga 30 minit setiap sesi.

> Jangan takut dengan sinar matahari, terutama pada waktu pagi. Sinaran matahari pagi adalah sumber vitamin D paling murah dan baik.

> Kurangkan pengambilan gula, garam dan lemak.

> Makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.

> Mendapat rehat dan tidur secukupnya.

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



0 Komen:

Catat Komen

 
Chatroom