Home » Akademi Al-Quran musim keempat (AQ4)

Akademi Al-Quran musim keempat (AQ4)

Siti Aishah Baain yang berusia 13 tahun menjadi peserta paling muda dalam program Akademi Al-Quran musim keempat (AQ4) yang akan memulakan siarannya 21 Mei ini di TV9, bermula jam 9 malam.


Selain Siti Aishah, seramai 11 peserta lain bakal menguji kemahiran dan kemerduan suara masing-masing dalam memperdengarkan bacaan al-Quran menerusi program ini.

Mereka ialah Yahya Ali (23), Ahmad Tirmizi Ali (25), Mohd Ramadan Razali (22), Mohd Hassan Adli Yahya @ Yahuza (25) dan Mohd Nazif Zuhairi (17), Husni Ali Hassan (25), Mohd Ahmad Zahid (15), Mohd Kamarulzaman Daud (24), Nor Aslam Faiz Othman (24), Amirul Shahida Md Noor (22), dan Rusli Abd Latif (22).

Pada musim ini, kriteria calon yang menjalani uji bakat program ini dilonggarkan bagi menarik lebih ramai peserta remaja mendekati al-Quran sekali gus menjadikan kitab suci itu sebagai pegangan hidup remaja masa kini.

Ketua Pengurusan Penjenamaan TV9, Rozaina Zainul Abidin berkata, daripada maklum balas yang diberikan pihak madrasah dan sekolah rendah agama yang sering mengikuti program itu tahun sebelumnya, program ini mampu memartabatkan al-Quran di kalangan remaja.

“Kami mahu menjadikan program ini bagi melahirkan generasi al-Quran. Selepas melakukan persediaan dan perbincangan terperinci tahun lalu, kami memutuskan bahawa program AQ4 musim ini dengan pengisian yang lebih ringan agar semua peringkat usia dapat mengikutinya.

“Sebab itu juga kami bersetuju untuk mengurangkan syarat umur tahun ini dengan menerima peserta berusia 13 ke atas untuk turut serta,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media baru-baru ini.
Rozaina berkata, AQ4 mengalami banyak perubahan berbanding musim sebelum ini tetapi masih menekankan pendedahan berkaitan pembacaan al-Quran yang betul.

“Selain melonggarkan syarat had umur, kami turut menekankan ilmu pembacaan al-Quran di mana peserta harus fasih dan lancar membaca selain dikehendaki menguasai ilmu tafsiran al-Quran.

“Peserta yang terpilih bukan diambil berdasarkan tahap yang begitu sempurna di dalam penguasaan al-Quran tetapi dipilih berdasarkan kemampuan peserta itu untuk memajukan lagi diri mereka di dalam pengajian al-Quran. Sebenarnya kita mahukan penonton dapat bersama mempelajari al-Quran ini bersama peserta biarpun berada di rumah,” katanya.

Penerbit AQ4 Shukri Ibrahim berkata, semua peserta ini ditempatkan di Masjid Al-Ghuffran Taman Tun Dr Ismail selama tiga bulan bagi mendalami ilmu al-Quran bersama tenaga pengajar yang terlatih.

“Mereka akan memulakan pembelajaran di bawah perhatian tiga mursyid yang juga pensyarah di dari Akademi al-Quran iaitu Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Anuar Hasin dan Ibrahim Abdullah.

“Sepanjang tiga bulan berkampung di sini jadual mereka dipenuhi dengan pelbagai aktiviti dan kemasyarakatan seperti bersukan, bergotong-royong membersihkan masjid, tanah perkuburan dan melawat rumah kebajikan.

“Aktiviti ini adalah kelainan yang cuba dipaparkan pada musim ini yang mana mereka bukan saja harus mengikuti ilmu di kelas tetapi aktiviti sosial mereka. Markah diberikan sebanyak 70 peratus dari segi pembacaan dan 30 peratus aktiviti luar mereka,” katanya.



 
Chatroom