Home » » Aaron The Biggest Loser Asia Tak Mahu Gemuk Lagi

Aaron The Biggest Loser Asia Tak Mahu Gemuk Lagi

"Cuba tengok orang tu! Kalau adik tak jaga badan, nanti jadi gemuk macam dia," pesanan si bapa kepada anaknya sambil menunjuk ke arah lelaki gemuk berhampiran mereka yang menyangkakan lelaki itu adalah mat salih.


Namun, tanpa menyedari bahawa lelaki yang dimaksudkan itu sebenarnya orang Melayu yang begitu memahami kenyataan tersebut, si bapa dan anaknya hanya berlalu tanpa sebarang perasaan bersalah.

Ironinya, hati lelaki yang mendengar kata-kata itu benar-benar pedih dan terluka. Pesanan jujur seorang bapa yang bertujuan mengingatkan anaknya supaya menjaga badan agar tidak mengalami masalah berat berlebihan itu cukup terkesan di hati Aaron Ikram Mokhtar.

'Oh, tidak! Orang menunjuk ke arah aku untuk dijadikan contoh tidak baik kepada anak-anak mereka mengenai kegemukan dan berat badan berlebihan. Teruknya aku!', getus hatinya.

Insiden itu ternyata membakar lubuk hatinya untuk mengubah dirinya supaya menurunkan berat badan.

Apatah lagi, peristiwa itu berlaku sehari sebelum Aaron menyertai rancangan realiti mengenai individu gemuk, The Biggest Loser Asia (TBLA) untuk musim pertama tahun lalu.

"Sebenarnya, pada hari itu saya ke Tesco Shah Alam untuk membeli beberapa helai baju sukan untuk dibawa ke kem TBLA keesokan harinya.

"Tak sangka pula, insiden itu berlaku di depan mata saya sendiri. Memang saya rasa sangat terkilan apabila mendengar perkataan yang lahir daripada lelaki berkenaan. Tetapi, apabila memikirkan semula apa yang diungkapkan, memang ada kebenarannya.

"Sejak itu, saya nekad untuk menurunkan berat badan sejak saya berusia lapan tahun," jelas Aaron yang berjaya ke pusingan akhir program berkenaan daripada 30 peserta yang mengambil bahagian.

TBLA merupakan pertandingan menguji ketahanan mental dan fizikal di kalangan peserta yang terpilih untuk menurunkan berat badan menerusi program diet termasuk amalan pemakanan sihat dan aktiviti kecergasan.

Program rejim diet dan senaman itu dikendalikan oleh dua jurulatih profesional, Dave Nuku dan Kristy Curtis bertempat di A Famosa Resort, Melaka.

Rancangan akhir siri perlumbaan menurunkan berat badan itu menyaksikan kemenangan berpihak pada David Gurnani, seorang jurujual dari Indonesia selepas berjaya mencatat pengurangan sebanyak 83 kilogram (kg) berbanding berat asalnya 157kg.

Selain Aaron dan Gurnani, dua peserta akhir lain ialah Carlo Miguel dari Filipina yang mencatat penurunan 49kg daripada 132kg dan Martha Lai (Hong Kong) dengan 40kg daripada berat asal 127kg.

Gurnani yang digelar King David dalam program itu membawa pulang hadiah AS$100,000 (RM334,000) dan sebuah kenderaan SUV jenama Renault.

"Saya sangat gembira dengan kejayaan ini. Bagi saya, semua peserta akhir adalah pemenang kerana masing-masing telah melalui fasa perubahan yang menakjubkan," kata Gurnani sambil memberitahu banyak pengalaman berharga yang diperoleh daripada program tersebut.

Sebelum menyertai TBLA, Aaron mempunyai berat 159kg dan sering berdepan masalah yang dihidapi kebanyakan individu gemuk iaitu hipertensi, tahap kolesterol terlalu tinggi, kadar degupan jantung yang laju dan mudah penat apabila melakukan sesuatu kerja.

Menjalani kehidupan biasa

Tetapi selepas lima bulan mengikuti program tersebut, kini hidup Aaron mula berubah sepenuhnya. Bergelar salah seorang daripada empat finalis, bapa kepada dua cahaya mata perempuan itu berjaya mencatat pengurangan berat badan sebanyak 60kg sejurus program berakhir.

Sejumlah 46kg diturunkan sepanjang empat bulan berada di dalam kem manakala 14kg lagi sewaktu menjalani rutin diet dan senaman di luar program iaitu apabila pulang ke rumah masing-masing.

Kini, Aaron dengan berat badan 99 kg kembali menjalani kehidupan biasa. Bekerja. Meluangkan masa bersama keluarga dan latihan. Itu tiga perkara yang diutamakan lelaki berusia 30 tahun itu pada masa ini.

"Cuma, apa yang melucukan, tabiat lama sewaktu masih gemuk dahulu masih terbawa-bawa kerana saya terlupa bahawa tubuh saya sudah tidak seperti dulu.

"Bayangkan dahulu untuk mengikat tali kasut, saya perlu meletakkan kaki ke atas satu tempat. Ini kerana saya tidak mampu menundukkan badan atau berlutut disebabkan fizikal yang terlalu gemuk.

"Selain itu, apabila hendak menggaru belakang badan, saya akan mencari sesuatu barang atau sudut yang tajam untuk menggeselkan badan yang gatal. Tetapi, hakikatnya tangan saya sudah boleh mencapai bahagian belakang badan yang dimaksudkan," ujar Aaron sambil memberitahu kini kadar denyutan jantungnya mencatat bacaan yang lebih baik.

Namun, apa yang lebih menggembirakan, Aaron sudah berjaya mengalahkan anaknya, Iman apabila mereka bermain bersama.

Perkara itu diakui oleh isterinya, Nur Marina Mohd. Noh Mokhtar, 30. Menurut Marina yang kini hamil anak kembar, situasi itu benar-benar mengujakan Aaron.

"Buat kali pertamanya selepas balik dari TBLA, sewaktu Aaron meluangkan masa bermain bersama Iman, anak sulung kami itu yang minta untuk berhenti kerana tidak larat dan berasa penat.

"Sedangkan sebelum itu, seringkali Aaron sahaja yang mengangkat bendera putih kepada Iman yang memang lincah dan bersemangat apabila bermain," tutur Marina yang bangga dengan pencapaian suaminya itu.

SESIAPA yang ingin berhubung atau mengikuti perkembangan lanjut Aaron, boleh layari laman sosial twitter.com/aaronmokhtar, facebook.com/aaron mokhtar dan laman web http://blog.aaronmokhtar.com.

Baru-baru ini, Aaron telah dipanggil untuk bercakap mengenai cara mengurangkan berat badan dan dia seronok dapat berkongsi pengalaman dengan mereka yang mempunyai nasib serupa iaitu yang berdepan masalah obesiti.

Sementara itu, jurulatih kecerdasan TBLA, Kristy dan Dave menegaskan bahawa dalam menanam impian mendapatkan berat badan yang ideal, ia memerlukan kesungguhan dan menuntut pengorbanan yang tinggi.

Bagaimanapun, faktor utama yang mampu menyumbang ke arah penurunan berat badan ialah kombinasi antara amalan pemakanan dan cara hidup sihat perlu diseimbangkan dengan aktiviti kecerdasan sehari-hari.

"Jangan memilih jalan singkat seperti pengambilan pil kurus atau pembedahan sedut lemak yang memang ketara hasilnya dalam tempoh jangka pendek kerana ia terbukti bukan cara selamat untuk kurus.

"Sebaliknya, berusahalah untuk kurus dengan mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat dan luangkan masa untuk bersenam. Itu cara paling ideal yang tidak boleh dinafikan," kata Kristy.

Bagi Dave pula, paling tidak seseorang itu perlu bersenam setiap hari walaupun ia hanya satu pergerakan ringkas kerana dengan cara itu, mereka dapat mendidik diri menjadi individu yang cergas.



 
Chatroom