Home » » Berhenti merokok sebelum terlambat

Berhenti merokok sebelum terlambat

Berhenti merokok sebelum terlambat

MOHD YUSUF, 59 mula merokok sejak berumur 14 tahun. Dua tahun lalu, enam hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya ternyata mengubah kehidupannya. Akibat penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD) kerana tabiat merokok, Mohd Yusuf menjalani kehidupan yang sukar.

Sejak remaja, purata rokok yang dihisap sehari ialah 15 batang. Ketika hanya keseronokan yang dirasainya. Sepanjang itu, pernah juga dia merasa sakit dada dan batuk tetapi Mohd Yusuf menganggapnya sakit biasa. Tak pernah kenal apa itu COPD, Mohd Yusuf seronok merokok. 19 hari berada di wad hospital tanpa rokok memberi galakan kepada dirinya untuk berhenti merokok.

Walaupun sebelum ini harga rokok pernah ditingkatkan dan larangan anti merokok diperluaskan, Mohd Yusuf tidak pernah mahu berhenti merokok. Malah, hidupnya dirasakan tidak sempurna tanpa rokok. Itu kisah sepanjang 40 tahun dia merokok. Namun, ketika disahkan COPD, dia mula sedar tatkala mengenangkan nasib isteri dan sembilan orang anaknya. Nasihatnya kepada perokok lain, kesedaran datang dari dalam diri sendiri jika hendak berhenti merokok. Kepada remaja sama ada lelaki atau wanita, sebaiknya jangan cuba merokok. Apabila sudah gian, sukar untuk menghentikan tabiat ini.

Ini adalah kisah bekas perokok yang mula merokok sejak remaja lagi. Senario ini ternyata membimbangkan masyarakat kita. Lebih-lebih lagi remaja wanita yang merokok telah menunjukkan peningkatan. Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Zarihah Mohd Zain, walaupun data terkini menunjukkan perokok lelaki menurun tetapi perokok wanita meningkat. Ia juga berlaku di kalangan perokok bawah umur. Data menunjukkan peningkatan perokok wanita bawah umur pada tahun 2003 ialah 4.2 peratus dan ia telah meningkat pada tahun lalu. Sebaliknya, jumlah perokok lelaki bawah umur sebanyak 36.3 peratus telah menurun pada tahun lepas.

Laporan baru-baru ini menunjukkan terdapat tiga juta perokok di Malaysia dengan 0.2 juta daripadanya di bawah umur.

Daripada data itu, peningkatan jumlah perokok bawah umur sejak beberapa tahun kebelakangan ini sangat membimbangkan.

"Tabiat merokok juga sudah menyerang anak gadis di negara ini kerana mereka sangat mudah untuk melihat golongan wanita merokok di kawasan awam. Tidak terkecuali golongan wanita di lapangan profesional," ujarnya.

Di Malaysia, jumlah perokok wanita juga semakin ketara. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mencatatkan 2.5 peratus wanita pernah merokok, 1.6 peratus masih merokok dan 0.9 peratus berjaya berhenti merokok. Di kalangan lelaki, 57.6 peratus pernah merokok, 46.4 peratus masih merokok, manakala 11 peratus berjaya berhenti merokok.

Sejak 1998, semakin banyak negara bertegas dalam menangani perokok. Banyak negara sudah mensyaratkan semua rokok di pasaran mesti dibungkus dengan grafik komplikasi merokok, misalnya barah paru-paru dan keguguran janin.

Di Malaysia, sejak 1 Jun 2009, semua kotak rokok di pasaran mesti mempunyai 40 peratus amaran bergambar di bahagian hadapan dan 60 peratus di belakang kotak.

Hasilnya menurut Dr Zarihah, daripada kajian yang dibuat, kebanyakan perokok berasa terancam dari segi psikologi dengan kotak rokok beramaran. Daripada enam amaran bergambar (barah paru-paru, keguguran janin, kelahiran pramatang, barah mulut, barah tengkuk dan gangrene) perokok lebih memilih rokok dengan gambar beramaran 'cap kaki' (gangrene).




Namun, ia masih kurang mendapat sambutan.

Lebih-lebih lagi perokok di bawah umur khususnya pelajar kini mendapat wang poket yang mewah.

Selain itu, pelbagai perisa rokok turut menggalakkan orang ramai membeli rokok. Tanpa disedari ia sebenarnya menjadi tarikan perokok wanita.

Beliau berkata wanita di seluruh dunia menjadi ketagih kepada rokok kerana kebanyakan mereka mudah percaya dengan dakwaan iklan-iklan itu yang mendakwa kononnya amalan merokok boleh mengurangkan berat badan dengan mudah.

"Ada sesetengah iklan mendakwa dengan merokok wanita boleh mengurangkan berat badan dengan mudah, dan sesetengah kaum wanita pula tertarik dengan pembalut rokok itu sendiri. Situasi ini lebih mudah berlaku di kalangan remaja," katanya.

Gejala merokok perlu ditangani bukan saja di kalangan pelajar wanita, malah merangkumi semua peringkat umur. Dalam membanteras tabiat merokok ini, pendidikan perlu diberi perhatian serius ketika di rumah dan sekolah. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memantau setiap pergerakan dan aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak di dalam aktiviti yang tidak sihat ini.

"Usaha ini tidak akan berjaya jika tiada sokongan padu daripada semua pihak dalam melahirkan pelajar yang bersahsiah tinggi dan cemerlang pada masa akan datang. Ibu bapa misalnya, perlu kenal raka-rakan anak-anak mereka." katanya.

Kenapa remaja merokok?

1) Diri sendiri.

Rokok dikatakan identiti bagi seorang pelajar yang ingin dikenali sebagi seorang yang macho dan bergaya. Apakah ia benar? Sebenarnya remaja merupakan masa krisis identiti berlaku. Pada ketika ini mereka tercari-cari gaya yang sesuai dengan diri. bagi pelajar lelaki, rokok seperti satu kemestian. Manakala wanita juga sudah mengikut trend ini. Lebih-lebih lagi ramai golongan wanita bekerja yang mula terlibat dengan aktiviti merokok. Ibarat prestij diri, remaja wanita gemar melihat gaya mereka. Mereka juga percaya rokok boleh mengurangkan berat badan seperti seorang model.

Remaja juga percaya rokok dapat menghilangkan tekanan. Sebenarnya tidak, ia sebenarnya menambah gian pelajar untuk mencubanya lagi.

Golongan ini juga tidak perlu risau kerana poket sentiasa berisi duit. Hasilnya, mereka mudah mendapatkan rokok kerana ia dijual di mana-mana sahaja tanpa mengira amaran KKM yang melarang rokok dijual kepada golongan bawah umur.

2) Pengaruh rakan-rakan sebaya.

Faktor ini dikatakan yang paling banyak mempengaruhi remaja. Tanpa mengabaikan kesan rokok apabila meningkat dewasa, mereka seronok merokok bersama rakan-rakan. Ada juga yang didesak atau dicabar. Jika tidak melakukannya, mereka berasa malu kerana dikutuk.

3) Faktor keluarga.

Keluarga yang mempunyai masalah seperti kemiskinan atau penceraian sering menjadi faktor remaja merokok. Remaja percaya tabiat ini boleh melegakan mereka. Ada yang lebih berani, cuba mengambil dadah. Seperti dadah, mereka juga akan ketagih rokok. Bagi yang tidak berduit, remaja mula terlibat dengan gejala tidak sihat seperti lumba haram, mencuri atau meragut.

4) Persekitaran

Iklan dan penjualan rokok secara berleluasa turut mempengaruhi situasi ini. Seharusnya, semua premis perniagaan mematuhi undang-undang agar tidak menjual rokok kepada mereka yang di bawah umur.



 
Chatroom