Home » » Berhati-hati dengan kad kredit

Berhati-hati dengan kad kredit

Kad kredit sekiranya digunakan dengan bijak dapat mengawal perbelanjaan sepanjang percutian. Namun, jika tidak dipantau berhati-hati, boleh menyebabkan pengguna kerugian lantaran bebanan hutang untuk tempoh panjang.
Ketika percutian, aspek keselamatan kad kredit perlu dititikberatkan memandangkan banyak kes membabitkan klon, pemalsuan dan penipuan sering dipaparkan media sejak akhir-akhir ini.

Panduan berikut mungkin memberi anda maklumat berguna terutamanya dalam merancang percutian akan datang!

1. Sebelum berlepas di negara asing, pastikan anda menghubungi syarikat kredit atau bank untuk memaklumkan kepada mereka destinasi dan tempoh percutian. Ini dapat mengelakkan transaksi anda disekat apabila membuat pembelian di negara asing sekali gus mengganggu mood percutian.

Periksa juga had kredit terakhir yang boleh dibelanjakan. Maklumat penting seperti nombor kad, talian kecemasan bank di negara berkaitan perlu disimpan dalam bentuk salinan bagi memudahkan aduan dibuat dalam kes kehilangan kad.

2. Jangan sesekali memberi kad anda kepada sebarang pihak dan pantau secara dekat ketika melakukan pembayaran. Ada kes di mana pekedai meleret kad sebanyak dua kali sekali gus mengenakan caj berganda di negara asing.

Jika berkunjung ke luar negara, sentiasa utamakan urus niaga dalam mata wang tempatan. Jangan dengar nasihat pekedai yang mahu pembayaran dilaksanakan dalam mata wang Dolar Amerika kerana mereka cuba membuat untung atas angin.

Sentiasa bertanya kadar caj untuk transaksi di negara asing. Ada yang tidak mengenakan sebarang caj atau sehingga tiga peratus daripada nilai pembelian. Peniaga yang jujur akan menerangkan kepada pembeli caj terlindung ini.

3. Sentiasa waspada apabila melakukan urus niaga dalam talian. Jika terlepas pandang, ikon yang diklik seperti CashSend boleh menyebabkan anda kerugian beribu ringgit tanpa anda sedari.

Jika melayari laman web untuk pembayaran atau pemindahan wang, sentiasa perhatikan ikon mangga yang menjadi ciri keselamatan utama di Internet ketika ini.

Skim penipuan paling popular dan paling mudah ketika ini adalah penyebaran e-mel menyuruh pengguna memasukkan nama dan kata laluan untuk memasuki akaun bank mereka.

Tetapi di negara asing pula, ikon seperti CashSend seperti di Afrika Selatan boleh memindahkan wang dari akaun anda kepada akaun ketiga hanya dalam beberapa saat saja.

Petua saja tidak berguna sekiranya anda tidak bertanggungjawab kepada keselamatan sendiri ketika berbelanja.

Susunan Syah Rul Aswari Abdullah



 
Chatroom