Bukan mudah menjadi pengacara TV apatah lagi membuat ulasan spontan menerusi program secara langsung. Namun, cabaran itu disempurnakan dengan cemerlang Syazwani Diyana Mohamad Isa untuk mencipta nama sebagai juara program realiti, Top Host 2010.
Pada final program terbitan TV3 itu yang diadakan di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama kelmarin menyaksikan Syazwani menewaskan empat peserta lain - Fadhil Mohd Isa, Za'im Helmi Zaini, Nur Liyana Adnan dan Nabihah Mohd Rosdi.
Terlebih dulu, Syazwani dicabar Fadhil yang dipilih dua peserta melalui tugasan ketiga pada final itu. Pada cabaran pertama, Syazwani mendapat tugasan membuat ulasan mengenai pilihan raya Britain diikuti semua finalis bertemu panel empat juri profesional yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.
Setiap peserta mendapat topik berbeza. Begitu juga, peserta diajukan soalan ketua juri yang mahu menguji tahap intelektual diri agar menyerlah berbanding peserta lain.
Untuk tugasan ketiga, peserta mempunyai kelulusan Ijazah Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini diberi kesempatan menemu bual secara eksklusif bersama penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin. Ketika temu bual itu yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV3, Syazwani berjaya menunjukkan kemahiran pengacaraan dengan baik daripada aspek mengajukan soalan dan berkomunikasi dengan tetamu di studio.
Syazwani, 24, ditemui pada sidang media selepas program itu berakhir, menyatakan pengalaman selama empat tahun sebelum ini dalam bidang penyiaran bersama stesen TV lain banyak membantu dirinya aspek persediaan menjadi pengacara.
Walaupun pengalaman lalu lebih merujuk pada kerja belakang tabir sebagai penolong produser dan penolong pengarah, dia sebaliknya menyatakan minatnya lebih cenderung pada bidang pengacaraan.
"Saya sememangnya sukakan cabaran dalam bidang ini dan apa yang penting, saya ingin berkongsi sesuatu dengan masyarakat. Untuk menggalas tugas ini, saya terbuka menerima apa jua pandangan yang diberikan.
"Sepanjang hampir tiga bulan berada dalam program ini, ia memberi banyak cabaran kepada saya. Namun, segala tunjuk ajar yang diberikan adalah pengajaran terbaik untuk saya mendalami bidang ini.
"Saya memilih TV3 sebagai pilihan kerjaya terbaik kerana saya berpandangan stesen ini dekat dengan masyarakat. Apabila dipilih sebagai juara, saya bersedia menggalas cabaran lebih besar selepas ini.
"Saya juga berhasrat membaiki pertuturan menggunakan bahasa Malaysia dengan betul. Jika boleh, saya ingin menjadi perintis pada gaya penyampaian sebegini agar menaikkan martabat bahasa kebangsaan," katanya.
Selaku juara, Syazwani membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai RM10,000 bersama tawaran kerja di TV3 dan berpeluang mengendalikan program baru nanti.
Syazwani berkata, dia berhasrat bekerja dengan TV3 bukan kerana bayaran, tetapi lebih menjurus pada impian mengembangkan minat dalam bidang pengacaraan. Sambil menyumbang hadiah wang kemenangan untuk kedua-dua ibu bapanya, dia menganggap pengalaman kerja belakang tabir dan menjadi pengacara adalah penghargaan buat dirinya untuk memajukan diri.
Farid pula berkata, pemilihan Syazwani sebagai juara adalah tepat berdasarkan prestasi peserta itu sepanjang berada dalam program ini. Penilaian kesemua peserta dibuat bersama empat juri lain iaitu Pengurus Besar Jabatan Produksi Majalah & Dokumentari, Primeworks Studios, Ahmad Kamaludin Zabaai, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Sherina Nordin dan Pengurus, Unit Pembangunan Kandungan, Primeworks Studios, Nurin Marini Ramlan.
"Kelima-lima finalis ini memang setanding daripada aspek kekuatan dan memang sukar untuk juri membuat pilihan. Namun, penilaian ini bukanlah hanya bergantung pada persembahan mereka pada malam ini semata-mata, tetapi Syazwani menunjukkan konsisten dalam melaksanakan tugasan sebelum ini.
"Dia juga mempunyai kematangan dan menyerlah bakat dalam diri sebagai pengacara. Atas perbincangan bersama juri, kami sebulat suara mengambil kelima-lima finalis ini bekerja bersama TV3.
"Namun, hanya Syazwani dan Fadhil diserap sebagai pengacara manakala tiga peserta lain ditawarkan jawatan wartawan penyiaran. Mungkin peserta lain juga diberi peluang untuk berkhidmat di stesen di bawah Media Prima Berhad (MPB)," katanya.
Berdasarkan sambutan program ini, Farid berkata program ini mempunyai potensi untuk diterbitkan musim baru pada masa akan datang. Katanya, peserta yang dibimbing dalam program ini berjaya menunjukkan prestasi yang lebih baik, efektif, teliti dan serius untuk menjadi pengacara.
Mengenai program baru yang akan dikendalikan Syazwani, ia belum diputuskan, tetapi juara ini dilihat mempunyai potensi dalam program berkonsepkan majalah. Buat sementara waktu, dia terlebih dulu diberi pendedahan mengacara program sedia ada.
Pada final itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menyampaikan hadiah kepada Syazwani dan Fadhil selaku juara dan pemenang tempat kedua.
Bagi Fadhil, dia tetap bersyukur dengan kedudukan naib juara walaupun pada final itu, dia kelihatan begitu gementar terutama ketika membuat ulasan mengenai Kejohanan Piala Thomas.
Memberikan semangat, Fadhil menerima sorakan gemuruh daripada peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang turut hadir memberi sokongan ketika final itu berlangsung.
Fathil, 25, yang pernah menimba pengalaman sebagai penyampai berita Bernama TV berhasrat meluaskan pengalaman dalam bidang pengacara.
"Saya pernah menjadi jurulatih PLKN sebelum ini dan mungkin kerana itu, mereka hadir beramai-ramai menyokong saya. Apapun, saya beranggapan sudah membuat yang terbaik pada saingan kali ini.
"Menerusi pembabitan program ini, ia menjadi pencapaian terbaik dalam hidup saya. Apa yang saya harapkan agar kehadiran saya menjadi muka baru yang mewarnai bidang pengacaraan di TV3," katanya.
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick
-
Lirik Lagu Akan Bercinta - Janna Nick Berkali-kali aku merasa indahnya
rindu walau menyiksa setiap hari aku menanti saat kau akan datang bertemuku
bila kau...