Home » » Program Kata Kau Astro

Program Kata Kau Astro

Program Kata Kau buat pertama kalinya memberi peluang kepada pelanggan Astro untuk melibatkan diri.


Ketua Unit Hiburan Astro Entertainment, Bob Azrai memberitahu keputusan untuk melibatkan pelanggan sebagai menghargai sokongan mereka selama ini.

"Ia juga salah satu pendekatan baru yang kami lakukan untuk melahirkan program yang berbeza daripada sebelum ini.

"Selain berhibur, ini adalah peluang terbaik untuk mereka beramah mesra dengan artis kesayangan mereka dalam satu program," terangnya tentang program 26 episod itu.

Bob Azrai atau nama sebenarnya, Azrai Kamaruddin ditemui sejurus selepas berakhirnya rakaman program Kata Kau di Studio 2, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan Penerbit Kata Kau, Nor Haina Itam serta dua hosnya iaitu Reza Mohamad dan Scha Alyahya.

Bob menjelaskan pelanggan Astro hanya perlu menghantar lima calon artis pilihan yang mereka gemari untuk digandingkan dalam program tersebut.

"Daripada senarai itu, kami akan meneliti dan menilai pilihan mereka itu untuk dibawa ke pentas.

"Walau bagaimana pun, bukan semua artis yang dapat ditampilkan kerana kami juga perlu fikirkan tentang jadual serta komitmen artis itu sendiri," ujarnya yang memberitahu nama Datuk Siti Nurhaliza masih lagi menjadi pilihan utama sebahagian daripada pelanggan Astro untuk digandingkan.

Sementara itu, ketika menjawab persoalan tentang penggunaan Kata Kau sebagai judul program, Azlin menjelaskan istilah itu mempunyai konotasi yang cukup menarik.

"Sesuai dengan program yang berkonsepkan hiburan, maka kami dapat melihat kesannya juga dapat terhasil dengan penggunaan tajuk itu sendiri.

"Ditambah pula dengan gandingan mantap Reza dan Scha, kami percaya Kata Kau akan menjadi popular seperti mana Kelab Pop sebelum ini," jelas Azlin.

Nor Haina pula tidak menafikan kesukaran yang harus ditempuhi oleh produksinya khususnya dalam memilih permainan yang betul-betul sesuai untuk Kata Kau.

Apa yang penting, adalah untuk menjadikan Kata Kau sebagai permainan yang cukup menghiburkan hanya jika artis dan pelanggan Astro yang terlibat boleh bersikap sedikit terbuka.

"Sewaktu perbincangan hampir 25 jenis permainan yang dicadangkan dan selepas meneliti kesesuaiannya, akhirnya 10 sahaja yang dipilih dan dipersetujui.

"Bagi saya, setakat ini Kata Kau berjalan dengan lancar dan sempurna kerana pengacaranya memberikan komitmen yang cukup bagus.

"Mereka begitu profesional dan berjaya melunaskan tanggungjawab mereka dengan baik. Malah, mereka juga pantas mencipta keserasian," kata Nor Haina yang sebelum ini pernah menerbitkan rancangan popular seperti Macam-Macam Aznil, Anita Anak Wayang dan Akademi Fantasia.

10 permainan yang telah disusun khusus untuk Kata Kau adalah Ringtone Rentong, Bapak Kapak, Siapa Pulak Ni...?, Ikut Suka Kau!, Masihkah Kau Ingat, Video Songsang Baa..., CD Rongak, Ribut Petir Kebabom, Studio Berdengung dan Joget Spontan.

Antara artis-artis tempatan yang terlibat dalam rakaman Kata Kau termasuklah Saida, Sairah, Meet Uncle Hussain, Liyana Jasmay, Diddy Hirdy, Riz, Lufya, Marsha, Anding, Dafi, Edleen, Sherry Ibrahim dan ramai lagi.

Kata Kau akan ditayangkan bermula 19 Jun ini menerusi saluran Astro Ria (saluran 104, Astro) setiap Sabtu pukul 10 malam.



 
Chatroom