Home » » Tarian Poco Poco untuk kesihatan

Tarian Poco Poco untuk kesihatan

POCO-POCO seakan menjadi fenomena di kalangan masyarakat bandar hari ini. Gerakan tarian berirama rancak itu juga menjadi senaman alternatif yang menyeronokkan, santai dan tidak lagi membosankan bertepatan dengan amalan gaya hidup sihat.

Berkongsi keterujaan terhadap tarian tersebut, Unit Pengurusan Korporat Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dengan kerjasama Persatuan Wanita Frim (PWFRIM) telah menganjurkan pertandingan Poco-Poco Terbuka FRIM 2010 sempena Bulan Kesihatan FRIM yang berlangsung sepanjang April lalu.

Sebanyak enam kumpulan bersaing merebut kejuaraan termasuk tiga kumpulan daripada oleh kakitangan FRIM sendiri ialah Hey Ladies, Unique Dance dan Peseni.

Sementara tiga lagi kumpulan ialah Puspanita Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Jasnita daripada Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan Calnite daripada Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

Pengerusi PWFRIM dan Puspanita FRIM, Datin Halidah Kasmin berkata, pertandingan Poco-Poco merupakan program kesihatan yang memberi kebaikan kepada warga kerja FRIM yang bukan sahaja menyihatkan tubuh tetapi dapat menyemarakkan persahabatan sesama sendiri.

''Saya percaya program ini dan semua aktiviti yang telah dilaksanakan sebelum ini telah memberi kesedaran kepada warga FRIM mengenai pengetahuan asas dan cara-cara yang betul bagi menjaga kesihatan.

''Amalan cara hidup sihat dapat meningkatkan tahap kesihatan, mengurangkan risiko menghidap penyakit kronik seperti serangan jantung, strok, kanser atau tekanan darah tinggi,'' ujarnya.

Beliau menambah, peranan wanita terhadap pembangunan sesebuah institusi keluarga yang merupakan asas pembentukan masyarakat dan pembangunan sesebuah negara adalah amat penting.

Justeru, adalah penting bagi setiap wanita menjaga dan mengambil berat tentang tahap kesihatan masing-masing.

Sifat semula jadi wanita yang amat mengutamakan pasangan dan keluarga kadang-kala membuatkan mereka lupa untuk menjaga kesihatan diri sendiri.

''Kita semua perlu bertindak bijak dengan melakukan amalan cara hidup sihat serta melakukan pemeriksaan saringan kesihatan secara berkala dan mendapatkan rawatan awal sebelum terlambat.

"Kesihatan adalah harta yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, kehidupan seolah-olah tidak bermakna dan seseorang itu akan mengalami pelbagai kesengsaraan.

''Sebanyak 70 peratus daripada rakyat Malaysia terutamanya wanita tidak pernah bersenam. Trend yang tidak sihat ini menyebabkan ramai rakyat Malaysia mengalami masalah obesiti dan lebih berat badan serta menghidap penyakit-penyakit kronik.

''Kaum wanita adalah insan yang paling rapat dengan anak-anak sekali gus menjadi contoh dalam keluarga. Keistimewaan yang ada pada para ibu ditambah dengan pengetahuan yang betul mengenai kesihatan boleh digunakan bagi membentuk dan mendidik seluruh ahli keluarga tentang kesihatan, amalan cara hidup sihat serta pemeriksaan saringan kesihatan secara berkala,'' kata Halidah lagi.

Sementara itu, setiap kumpulan yang mengambil bahagian telah menunjukkan kebolehan menari Poco-Poco yang digabungkan bersama tarian dan muzik pilihan masing-masing ditambah lagi dengan fesyen pakaian yang menarik.

Pemarkahan dikira daripada variasi, pelbagai gaya, pelbagai muzik, pembuka tirai dan penutup tirai.

Seunik nama dan gerak tariannya kumpulan Unique Dance dinobatkan sebagai juara, diikuti kumpulan Hey Ladies di tempat kedua dan Calnite menduduki tempat ketiga.

Oleh MERAN ABU BAKAR



 
Chatroom