Home » » Pencarian Model Estée Lauder 2010

Pencarian Model Estée Lauder 2010

Pencarian Model Estée Lauder menjadi platform bagi mereka yang mahu berjaya dalam bidang peragaan. Semestinya ia membuka peluang kepada wanita anggun, moden dan penuh keyakinan untuk beraksi depan lensa kamera.


Hasilnya, mereka tampil menawan di pentas fesyen dan mampu terus mengorak langkah ke hadapan dalam dunia peragaan.

Kebanyakan nama yang menyertai Pencarian Model Estée Lauder yang bermula sejak 2007 tidak pernah dikenali sebelum ini. Namun ternyata pertandingan itu membawa sinar baru buat mereka untuk muncul di persada peragaan tempatan.

Pencarian Model Estée Lauder telah membuka ruang dan merealisasi impian wanita yang menyimpan cita-cita bergelar model.

Kini, Estée Lauder sekali lagi melancarkan Pencarian Model Estée Lauder 2010 yang bermula sejak 27 April lalu dan akan berakhir pada 13 Julai ini.

Berbekalkan falsafah cantik tanpa mengira usia, Estée Lauder menampilkan dua kategori iaitu A untuk mereka yang berumur 29 tahun ke bawah, manakala kategori B bagi wanita berumur 30 tahun ke atas.

Pencarian bermula dengan penjelajahan lapan destinasi melalui enam negeri dengan harapan dapat bertemu dengan dua wanita Malaysia yang berupaya mewakili ciri Estée Lauder.

Kepada yang berjaya, hadiah bernilai RM258,000 menanti. Peserta separuh akhir daripada setiap lokasi akan dipilih untuk bersaing menerusi undian secara online untuk mendapat tempat di peringkat akhir yang akan berlangsung di Concourse, Suria KLCC, pada 13 Julai ini.

Menariknya, semua peserta akhir bakal diberikan latihan catwalk sehari oleh Andrew's Model bagi menyediakan para peserta berjalan di atas pentas peragaan pada pertandingan akhir.

Pengadil akan memilih pemenang bagi setiap kategori berdasarkan cara peserta berjalan, personaliti dan gambar potret mereka.


Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH



 
Chatroom