Home » » Kurangkan Gula Dalam Diet Anak Elak Obes

Kurangkan Gula Dalam Diet Anak Elak Obes

Pemakanan seimbang penting untuk anak
Pemakanan yang sihat dan seimbang merupakan satu perkara yang penting dalam kehidupan kanak-kanak. Selain membekalkan tenaga, ia juga membantu perkembangan otak dan tumbesaran.

Tanpa pemakanan yang seimbang, perkembangan dan pembesaran anak-anak akan terjejas.

Pemakanan yang berlebihan dan tidak teratur juga mendorong ke arah kesihatan yang tidak baik dan lebih membimbangkan, kanak-kanak boleh menjadi obes.

Kebiasaannya, kanak-kanak obes cenderung membesar sebagai individu dewasa gemuk sekiranya pemakanan mereka tidak di kawal.

Golongan kanak-kanak ini juga mudah mendapat penyakit yang berbahaya ekoran berat badan mereka.

Pengarah Pusat Kajian Nutrisi Kanak-Kanak (CNRC), University of Queenland, Australia, Prof. Peter Davies berkata, ketidakseimbangan tenaga iaitu antara pengambilan dan penggunaan kalori banyak mempengaruhi keadaan itu.


Tegas beliau, kekeliruan antara definisi dan fungsi gula juga memberi kesan yang mendalam kepada kesihatan kanak-kanak.

"Sudah menjadi lumrah setiap ibu bapa untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak.

"Sebab itu, mereka perlu memahami dan mengetahui berkaitan dengan diet yang diperlukan oleh anak-anak,'' katanya ketika di temui pada bengkel Fakta Mengenai Gula-Mana Yang Betul dan Mana Yang Salah, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Jelas beliau, ibu bapa sendiri perlu memahami dan mengetahui tentang pemakanan yang baik dan mengenali pilihan makanan yang sihat untuk anak-anak.

Katanya, sekiranya kanak-kanak tidak mencapai keseimbangan antara pengambilan dan penggunaan kalori , berat badan mereka akan meningkat dengan ketara.

Malah berdasarkan kajian The American Journal Of Clinic Nutrision tahun lalu, dianggarkan 43 juta kanak-kanak prasekolah seluruh dunia mengalami permasalahan berat badan berlebihan.

"Keadaan ini sangat membimbangkan memandangkan kanak-kanak tersebut akan membesar dalam keadaan kesihatan yang membimbangkan dan menyebabkan mereka membesar sebagai dewasa obes,'' ujarnya.

Oleh itu, ibu bapa perlu mengambil tahu setiap kandungan yang terdapat kepada makanan anak-anak kita bagi memastikan tubuh badan kanak-kanak menerima khasiat yang diperlukan.

"Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar, tindakan membiasakan anak dengan makanan manis sebenarnya akan menyebabkan mudah dijangkiti penyakit berbahaya.

"Oleh itu, tindakan mengehadkan jumlah pengambilan gula tambahan dalam diet mereka sememangnya amat penting.

"Memilih makanan yang padat dengan khasiat dapat memastikan tubuh kanak-kanak menerima keperluan sepatutnya yang diperlukan untuk perkembangan dan tumbesaran mereka.

"Oleh itu, ibu bapa perlu sedar akan hakikat ini apabila membuat keputusan mengenai jenis makanan dan minuman yang disediakan untuk anak mereka," katanya.



 
Chatroom