Home » » Panduan Memahami Tangisan Bayi (Kenapa Bayi Menangis)

Panduan Memahami Tangisan Bayi (Kenapa Bayi Menangis)

Memahami tangisan bayi

Tangisan bayi selepas dilahirkan ke dunia adalah perkara paling dinantikan petugas perubatan, iaitu doktor dan jururawat bagi menentukan tahap kesihatan bayi termasuk mengesan sebarang komplikasi berkaitan organ deria.

Ia perkara asas dalam kehidupan bayi baru lahir (newborn) kerana cara mereka berkomunikasi melalui tangisan.

Perunding Dunstan Baby Language Malaysia, Uswatun Hasanah Mohd Habib, berkata mendengar tangisan anak yang pertama adalah petanda membahagiakan buat ibu dan bapa bayi kerana tahu bayi berkeadaan sihat.

Namun, hakikat mendengar tangisan bayi sepanjang proses tumbesaran sehingga usianya empat bulan berisiko menimbulkan tekanan pada pasangan pertama kali bergelar ibu dan bapa.

Uswatun berkata, adalah biasa bagi ibu bapa baru kelam kabut memikirkan punca tangisan bayi, mengamuk, berkelakuan di luar kawalan dan menangis tanpa henti dalam pelbagai bentuk nada.

Jelasnya, ia berikutan bayi menghasilkan bunyi pra vokal sebelum berjaya menjalani proses meniarap, bercakap, dan berjalan.

"Tangisan bayi berbeza dan bersifat universal hasil tindak balas dalam badan. Apabila bayi merasa lapar, paras glukosa dalam badannya menurun dan sistem dalaman bayi melakukan gerakan menyedut (sucking) sebagai tanda bersedia menerima makanan. Apabila bunyi ditambah kepada tindakan balas (sucking reflex), terhasil bunyi lapar.

Ibu bapa wajib mengenal pasti lima bunyi rutin tangisan bayi dalam mengungkapkan keperluan harian mereka seperti lapar (neh), mengantuk (owh), sendawa (eh), ketidakselesaan (heh) dan masalah kembung perut (eairh)," katanya menjelaskan situasi berkenaan seperti aktiviti sendawa dalam kalangan individu dewasa.

Meningkat kemahiran ilmu keibubapaan
Berbanding lelaki, naluri keibuan seorang wanita lebih tangkas mengesan jenis tangisan bayi mereka namun, adakalanya mereka terkeliru dan sukar mengenalpasti maksud keperluan bayinya.

Hakikat mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, ibu bapa boleh mempelajari jenis tangisan, mendengar, memahami serta menafsir tangisan bayi mereka daripada Dunstan Baby Language.

Dunstan Baby Language adalah sistem pertama di dunia mengajar ibu bapa mengenali makna tangisan bayi secara tepat.



Kajian penyelidikan lebih 10 tahun oleh pasukan berpangkalan di Sydney, Australia itu disokong menerusi kaji selidik - Independence Research Studies yang dijalankan pada 2006 dan 2007 di Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kajian berkenaan membabitkan 1,000 bayi daripada 30 jenis kerakyatan, latar belakang, etnik dan bahasa dan pertama kali diperkenalkan menerusi rancangan popular, The Oprah Winfrey Show.

Hasil kajian menunjukkan kesan positif terhadap kualiti ilmu keibubapaan dengan 90 peratus ibu bersetuju Dunstan Baby Language membantu mereka menangani masalah tangisan anak segera dan mengelakkan masalah bayi digoncang. Manakala, dua daripada tiga bapa melaporkan menjalani kehidupan positif, kurang tertekan dan mula tahu cara mengendalikan bayi bersama pasangan selepas mengamalkan produk berkenaan.

Lebih daripada 70 peratus ibu bapa turut mendapati diri mereka berkeyakinan, tenang dan terkawal menjalani kehidupan harian dan 50 peratus ibu merasakan hubungan ibu-anak berlangsung lebih hebat serta kualiti tidur terkawal.





Panduan tenangkan bayi menangis

- Peka dengan tangisan bayi. Jika bunyi `neh' bermaksud bayi lapar. Anda boleh praktikkan lapan posisi menyusukan bayi.

- Tangisan berbunyi `owh' kerana bayi mengantuk. Gunakan kaedah menepuk, membelai atau meriba bagi memberikan keselesaan pada bayi.

- Jika bayi merengek memerlukan perhatian, cuba curi perhatian mereka dengan mainan atau objek kesukaan mereka.

- Kanak-kanak autisme akan menangis tanpa kawalan. Kadang-kadang terlampau kuat sehingga mengganggu individu di sekelilingnya. Tarik anak jauh daripada orang ramai dan berikan makanan atau keselesaan.

- Ajar cara kendalikan tangisan anak kepada individu terdekat seperti pembantu rumah supaya mudah untuk memahaminya.



 
Chatroom