Home » » Diet maut: Anoreksia dan Bulimia

Diet maut: Anoreksia dan Bulimia

Diet Melampau
Setiap kali memandang cermin, rasa tertekan dan benci melihat susuk tubuh yang gemuk serta berlemak di sana-sini sehingga sering menjadi bahan ejekan teman.

Diri bagai disisih dan terasing, apatah lagi kebencian pada bentuk badan menjadikan seseorang itu mulai obses untuk mencantikkan bentuk tubuh dan mahu menurunkan berat badan sehingga sanggup melakukan apa saja demi memenuhi keinginan untuk kurus.

Keinginan kurus yang melampau hingga menghukum diri apabila gagal mencapai matlamat seperti yang digambarkan dalam kisah hidup kebanyakan selebriti dan model antarabangsa turut dialami gadis remaja tempatan.

Anoreksia Nervosa atau masalah tabiat makan celaru bukan setakat membabitkan aspek pemakanan, tetapi turut berkaitan psikologi penghidapnya yang mengamalkan diet melampau hingga memudaratkan kesihatan, bahkan boleh membawa maut.

Begitu juga Bulimia nervosa atau masalah tabiat makan yang menunjukkan kecenderungan sama. Bezanya, ia menunjukkan tanda gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan yang baru saja dimakan.

Ketagihan kurus


Pakar Psikologi Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, berkata satu dalam 100 wanita berusia 12 hingga 18 tahun berkecenderungan mengalami tabiat itu dan hampir 10 peratus lelaki juga terdedah kepada masalah tabiat celaru makan.


Lebih dikenali dalam kalangan golongan atasan, Dr Nor Hamidah, berkata dari sudut psikiatri, ia mampu mendatangkan kemudaratan kerana menyebabkan seseorang itu mula mengasingkan diri, murung, cemas, obses dan hilang nafsu seks.

Mereka juga bertarung dengan emosi atau perasan seperti tidak berharga, sensitif, mudah tersinggung, mudah marah, ras bersalah, kehilangan minat untuk berinteraksi, tidak yakin pada diri, canggung berhadapan orang ramai, cenderung berbohong untuk menutup perilaku makan dan mengalami tekanan berpanjangan, jelasnya ketika membincangkan topik itu, barubaru ini.

Episod makan berulang

Dr Nor Hamidah berkata, sama seperti Anoreksia, Bulimia nervosa juga antara masalah kesihatan akibat tabiat makan yang bercelaru. Pesakit Bulimia akan makan makanan kegemaran dalam jumlah banyak dan kemudian muntah semula.

Jelasnya, penghidapnya bertindak menjolok anak tekak atau menggunakan pelbagai cara untuk mengeluarkan semula makanan dimakan kerana terlalu ingin mengurangkan berat badan dan pada masa sama, masih boleh memakan makanan kegemaran mereka.

Malangnya tindakan itu bukan saja mencederakan anak tekak, tapi asid perut turut dibuang bagi memastikan tiada makanan tersisa. Tabiat kerap muntah juga menyebabkan berlaku ketidakseimbangan garam dalam tubuh (elektrolit). Ia boleh menyebabkan kekejangan dan degupan jantung yang tidak teratur.

Bulimia memberi kesan buruk kepada seluruh tubuh seperti tidak datang haid, cenderung untuk sembelit dan dehidrasi, Kulit juga berubah kering dan berkedut, rambut dan kuku mudah pecah akibat kekurangan zat. Kekurangan mineral dan vitamin juga boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kegagalan buah pinggang, katanya.

Derita diet terlampau

Terdahulu, Pengurus Diet Gleneagles Kuala Lumpur, Lim Ai Leng menjelaskan aspek pemakanan haruslah diberi penekanan agar tubuh badan sihat. Selain itu, pemakanan betul dapat membekalkan tenaga agar kelihatan segar dan cerdas.

Katanya, penderita Anoreksia boleh menyebabkan berat badan menurun antara 25 hingga 50 peratus daripada berat badan mereka. Badan mereka juga akan berasa lemah, tidak bertenaga dan sukar memberi tumpuan.

Anoreksia boleh menyebabkan kematian akibat kelaparan atau cubaan membunuh diri. Rawatan dan pemulihan diberikan adalah denga n menera ng ka n kepada mereka mengenai pemakanan secara sihat dan seimbang diiringi latihan senaman betul untuk jangka masa panjang.

Penghidap Anoreksia juga akan mengalami gangguan degupan jantung, rembesan hormon terjejas, gangguan kitaran haid, kemandulan, tulang rapuh, ketidakseimbangan bahan galian dalam badan dan gangguan pada sistem saraf.

Kemahiran lain seperti pembinaan harga diri yang baik, memperbaiki perhubungan keluarga yang positif dan memperkukuhkan jalinan sokongan psikososial juga penting bagi penghidap Anoreksia, jelasnya.

Gandingan faktor Bulimia

Seiringan itu, Lim berkata merawat pesakit Bulimia adalah usaha bersama pelbagai pihak. Pakar perlu meyakinkan pesakit bahawa dia perlu percaya, sanggup bekerjasama dan bersifat terbuka untuk pulih sepenuhnya kerana banyak pembaharuan dan perubahan perlu dilakukan membabitkan gaya hidup pesakit dan keluarga.

Berpendapat motivasi pesakit perlu dibangunkan kerana untuk pulih ia masih bergantung kepada disiplin dan kekuatan dalaman pesakit, katanya, corak psikologi memainkan peranan penting untuk mengubah nafsu makan mereka.

Pesakit Bulimia terlalu tertekan dan sangat emosi, jadi mengikut fasa tertentu kami mengajar mereka teknik untuk membina harga diri, bertenang, menilai semula cara senaman mereka dan mengubah suai cara mereka bersenam selepas mengenal pasti masalah psikologikal lain.

Bulimia bukan disebabkan banyak faktor termasuk budaya penjenamaan sosial sering dipaparkan media cetak dan elektronik seperti tubuh langsing, kulit cerah yang dilabelkan sempurna dan ideal.

Anoreksia

- Dianggarkan satu daripada 10 orang meninggal dunia akibat penyakit ini.

- Anoreksia dan Bulimia bererti kelainan pola makanan sering terjadi kepada wanita dan remaja.

- Faktor memudaratkan iaitu gemuk adalah hodoh dan kurus adalah cantik, faktor genetik dan faktor gangguan imej tubuh memberikan kesan psikologi kepada pesakit.

`Bulimia nervosa' berasal daripada perkataan latin ('bous Limos Nervosa') iaitu lapar dan juga gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan baru saja dimakan.

- Perasaan menyesal selepas makan membawa kepada perbuatan menjolok anak tekak dan melakukan senaman keterlaluan dan berpuasa secara keterlaluan.

- Pesakit `bulimia' menilai diri, kehidupan dan kecantikan diri hanya berasaskan kepada penampilan, berat badan dan makanan.

- Aktiviti harian terganggu kerana gaya hidup yang terlalu berahsia, suka menghilangkan diri kerana mahu memuntahkan makanan menyebabkan mereka kurang bersosial dan kurang berkawan.

- Pesakit ini sanggup mengubah dan menyesuaikan gaya hidup mengikut tabiatnya yang suka memuntahkan makanan.

`Anoreksia' ditandai oleh ketakutan yang tidak wajar terhadap kemungkinan mengalami kenaikan berat badan dan kehilangan kemampuan mengawal makan.

- Tidak mahu mempertahankan berat badan pada aras normal atau sedikit diatas normal - Ketakutan keterlaluan terhadap obesiti dan berusaha keras untuk menjadi kurus.

- Ketakutan berat badan akan naik.

- Menganggap berat badannya sudah ideal

- Penderita `Anoreksia' sedar mereka berasa lapar, namun takut untuk memenuhi keperluan makan mereka kerana fikir ia boleh mengakibatkan bertambahnya berat badan.

- Persepsi terhadap rasa kenyang terganggu hinggakan pengambilan jumlah hidangan kecil akan segera berasa kenyang dan mual.

- Mereka terus menerus melakukan diet bermati-matian untuk mendapatkan tubuh kurus.

- Akhirnya keadaan ini boleh menimbulkan kesan berbahaya iaitu kematian si penderita.

Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar



 
Chatroom